Kudeta di Myanmar – Kenapa Tatmadaw Lakukan Rampasan Kuasa

Share it

Aung San Suu Kyi, pemimpin de facto Myanmar dan beberapa lagi pemimpin kanan negara itu telah ditahan oleh Angkatan Tentera Myanmar yang dikenali sebagai Tatmadaw pada pagi Isnin. Serbuan awal pagi Isnin dibuat selang beberapa jam sebelum Parlimen Myanmar dijadualkan bersidang di Naypyidaw, wilayah pentadbiran kerajaan Myanmar.

Tatmadaw sebelum ini telah membuat ancaman kepada kerajaan Myanmar susulan kemenangan besar Parti Liga Demokrasi Nasional ( NLD ) pimpinan Suu Kyi di dalam Pilihanraya Umum Myanmar yang berlangsung hujung tahun lalu.

Menurut Tatmadaw, terdapat penyelewengan di dalam Pilihanraya Umum dan mereka enggan menerima keputusan yang telah diumumkan.

” Kita harus patuh pada perlembagaan, Jika undang-undang tidak dipatuhi, kita harus mansuhkan meskipun ia perlembagaan ” kata Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dengan nada mengancam. Kedutaan Amerika Syarikat bersama-sama kedutaan lain mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Tatmadaw untuk menerima keputusan Pilihanraya Umum dengan hati terbuka.

Tatmadaw kemudiannya cuba meredakan ketegangan politik pada Sabtu lalu apabila Pejabat Panglima Angkatan Tentera mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa mereka akan menghormati perlembagaan.

Namun kesemuanya berubah pada awal pagi Isnin. Hampir kesemua ahli-ahli parlimen Myanmar telah berhimpun di bandar pentadbiran Naypyidaw yang terletak 320km utara Yangon. Tatmadaw mengambil kesempatan ini untuk menahan beberapa pimpinan kanan NLD.

Perhubungan diantara Yangon dan Naypyidaw terputus kerana talian telefon tidak berfungsi. Beberapa saluran televisyen seperti Channel News Asia telah disekat pihak tentera begitu juga dengan talian internet.

Saluran televisyen milik Tatmadaw, Myawaddy TV kemudiannya melaporkan Naib Presiden Myanmar, U Myint Swe yang merupakan wakil Tatmadaw di dalam kerajaan NLD telah mengisytiharkan darurat selama setahun di bawah Artikel 417 Perlembagaan 2008.

Pada petangnya, Tatmadaw menyatakan bahawa mereka akan melaksanakan Pilihanraya Umum semula setelah segala langkah-langkah darurat telah dilaksanakan.

Kenapa Tatmadaw Lakukan Rampasan Kuasa?

Tatmadaw merupakan entiti yang berpengaruh di Myanmar. Dari tahun 1962 hingga 2011, Myanmar telah diperintah oleh junta tentera dimana tiada proses demokrasi mengambil tempat. Pengaruh Tatmadaw di dalam senario politik di Myanmar agak besar disebabkan beberapa faktor.

Perlembagaan yang dirangka sebelum mereka mengembalikan mandat rakyat telah mengambil kira kedudukan mereka sebagai entiti politik yang akan kekal berpengaruh. Perlembagaan yang ditulis pada 2008 itu disediakan dengan agak berat sebelah. Sebanyak 25% kerusi parlimen di Myanmar dikhaskan buat Tatmadaw.

Ini bermaksud jika parlimen Myanmar ingin meminda perlembagaan, mahu tidak mahu mereka ( NLD ) memerlukan sokongan dan persetujuan Tatmadaw kerana pindaan hanya boleh dipinda jika sokongan melebihi 75%.

Selain itu, jawatan-jawatan kanan seperti Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan juga Menteri Imigresen turut dikhaskan untuk wakil tentera. Dalam erti kata lain, pihak tentera mempunyai hampir sepenuh kuasa berkaitan hal ehwal keselamatan.

Pelbagai lagi undang-undang dibuat bagi menyekat pengaruh musuh politik mereka iaitu NLD yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi. Sebagai contoh, jawatan presiden tidak boleh diisi oleh rakyat Myanmar yang berkahwin dengan warga luar.

Ini mengakibatkan Suu Kyi tidak layak menjawat jawatan tersebut kerana beliau berkahwin dengan warga British sekaligus menyebabkan parti NLD mewujudkan jawatan canselor bagi Suu Kyi dilantik menjadi pemimpin de facto di negara itu.

Tatmadaw juga kekal berpengaruh di Myanmar kerana konflik di utara Myanmar termasuk di Arakan yang melibatkan etnik Rohingya. Selain di Arakan, Tatmadaw turut mempunyai konflik bersenjata di beberapa negeri lain seperti di negeri Shan dan Kachin.

Oleh itu, bagi sebilangan nasionalis, Tatmadaw dianggap sebagai pelindung perlembagaan buat etnik Bamar yang merupakan etnik majoriti di negara tersebut.

Disebabkan kawalan politik lebih 50 tahun, Tatmadaw turut terlibat dengan pelbagai aktiviti perniagaan di seluruh Myanmar. Daripada sektor pembinaan, pelancongan hinggalah pengeluaran permata turut dikawal oleh entiti tentera ini.

Kawalan Tatmadaw ini menyebabkan mereka tidak terlalu bergantung terhadap dana kerajaan. Ini kerana mereka mampu untuk membiayai aktiviti mereka sendiri kerana terdapat pelbagai sektor ekonomi yang telah dikuasai oleh mereka.

Namun segala kekuasaan dan pengaruh Tatmadaw kelihatan bakal berakhir dek kerana kemenangan besar NLD di dalam PRU ke-2 pada tahun lalu. NLD telah memenangi 920 kerusi daripada 1,117 kerusi yang dipertandingkan di seluruh negara. Manakala bilangan kerusi Parti USDP tajaan tentera semakin merosot.

Kerajaan rakyat ataupun civilian government semakin hari semakin mendapat sokongan rakyat. Bagi Tatmadaw, ia satu ancaman terhadap status quo Tatmadaw dan merasakan mereka akan dipinggirkan. Perasaan insecure ini membawa kepada krisis yang berlaku kini dimana Tatmadaw merampas mandat rakyat dan mewujudkan pemerintahan tentera.

Apa Respon Dunia?

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengecam sekeras-kerasnya penahanan Aung San Suu Kyi dan pemimpin kanan yang lain. Beliau  menggesa kepimpinan tentera untuk menghormati mandat rakyat dan selesaikan perselihan mengikut lunas undang-undang.

Amerika Syarikat turut memberi reaksi serupa. Nyatakan Washington berdiri teguh di belakang rakyat Myanmar demi kebebasan, demokrasi dan pembangunan negara itu.

Wisma Putra juga menggesa pihak tentera dan pihak-pihak yang terlibat untuk memberi keutamaan terhadap kelangsungan keamanan dan keselamatan Myanmar. Nyatakan mereka menyokong penuh proses peralihan kuasa yang dibuat secara demokratik.

Beberapa pemimpin lain termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan ADUN Rantau, Mat Hassan yang merupakan Timbalan Presiden UMNO turut mengecam rampasan kuasa tersebut.

Namun demikian, kuasa besar China memberikan respons yang agak berbeza. Mereka menyatakan bahawa mereka mengambil maklum terhadap perkembangan politik di Myanmar tanpa sebarang ulasan lanjut. China merupakan antara rakan dagang terbesar Myanmar dan mempunyai pengaruh yang kuat di negara itu.

Ada ura-ura mengatakan bahawa rampasan kuasa ini direstui oleh Beijing susulan pertemuan Menteri Luar China dan Jeneral Min Aung Hlaing pada pertengahan Januari lalu.

Kedudukan Myanmar yang terletak bersebelahan dengan Teluk Bengal menyebabkan negara itu berada di dalam lokasi strategik bagi China untuk merealisasikan Belt & Road Initative.

Apa yang berlaku beberapa hari ini akan menjadi penentu masa depan Myanmar. Segala usaha dan keringat beberapa tahun ini untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat akan menjadi sia-sia. Perjuangan Aung San Suu Kyi yang mencecah puluhan tahun hanya akan menjadi sejarah reformasi yang mati di tengah-tengah jalan akibat pengaruh tentera yang terlalu besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *