Lima Sebab Kenapa Penggabungan UEM Sunrise-EcoWorld Bakal Rugikan Rakyat
Penggabungan di antara syarikat gergasi hartanah, UEM Sunrise dan EcoWorld terus mendapat kritikan daripada kalangan rakyat. Terdapat beberapa pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap penggabungan yang dianggap sebagai tidak strategik dan tidak menguntungkan rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizam Abdullah Hamdi mempersoalkan langkah penggabungan ini dan beranggapan bahawa ia sebagai satu langkah mem’bail-out‘ EcoWorld.
” Dalam pandangan saya, penggabungan ini mempunyai objektif yang serupa seperti yang saya katakan tahun lain. Ia bertujuan untuk menyelamatkan EcoWorld. Mereka berada di dalam keadaan meruncing sekarang dan banyak projek tidak berjalan dengan baik. Sekarang, mereka ingin menggunakan kerajaan untuk menyelamatkan mereka ” kata beliau di dalam sebuah portal berita atas talian.
Selain beliau, bekas Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Jalil Rasheed turut menzahirkan pandangan yang serupa melalui untaian di akaun Twitter miliknya. Beliau berkata bahawa syarikat yang besar bukan bermaksud ia lebih baik kerana banyak syarikat yang besar tetapi tidak cekap.
“ Kita harus tanya, kenapa EcoWorld ingin bergabung ( dan hilang kawalan pemilikan ) melainkan mereka tidak berada dalam keadaan yang baik “
Beliau turut berkata penggabungan ini mungkin bertujuan untuk memudahkan perbincangan urusniaga bersama dengan bank berikutan ia mempunyai sokongan daripada institusi dana seperti Khazanah susulan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh EcoWorld.
Hujah-hujah yang dikemukan ini mempunyai asas yang kukuh. Analisa Ekonomi Rakyat turut menemukan dapatan yang serupa dimana penggabungan ini tidak menguntungkan rakyat Malaysia secara amnya.
Berikut merupakan lima sebab mengapa penggabungan ini tidak menguntungkan rakyat Malaysia
Saham EcoWorld telah jatuh merudum 71% dari RM1.40 pada lima tahun lalu kepada RM0.40. Ini sesuatu keadaan yang tidak normal kerana EcoWorld mencatatkan keuntungan yang tinggi tahun demi tahun.
Keuntungan EcoWorld telah meningkat dari RM44 juta pada tahun 2015 kepada RM203 juta pada tahun 2019. Namun dalam masa yang sama harga saham telah jatuh RM1.00 meskipun keuntungan yang lebih tinggi dicatatkan.
Ini menunjukkan bahawa pelabur telah memberikan petunjuk jelas bahawa keuntungan yang dicatatkan tidak selari dengan realiti yang dialami oleh EcoWorld. Tidak logik bagi sebuah syarikat yang mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi tetapi nilai sahamnya kian merudum hari demi hari.
Keduanya, aset tunai EcoWorld telah jatuh hampir 50% dari RM510 juta ( Oktober 2018 ) kepada RM261 juta ( Julai 2020 ) dalam tempoh kurang dua tahun. Dalam kata lain, EcoWorld kehilangan tunai lebih kurang RM125 juta setiap tahun dan ini memberikan masalah yang besar buat aliran tunai EcoWorld.
Jika keadaan ini berterusan, tunai EcoWorld dijangka habis dalam tempoh dua tahun.
Pinjaman jangka pendek EcoWorld pula meningkat dari RM1.95 bilion kepada RM1.98 bilion pada Julai 2020. Dengan liabiliti semasa sebanyak hampir RM4 bilion, situasi semasa EcoWorld kelihatan agak tenat pada ketika sekaligus menimbulkan persoalan adakah penggabungan yang melibat entiti milik kerajaan iaitu UEM Sunrise sebagai satu langkah yang bijak. Adakah UEM Sunrise bakal menanggung beban yang dihadapi oleh EcoWorld?
Ketiganya, model perniagaan EcoWorld juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat Malaysia secara umumnya. Harga-harga rumah yang dilancarkan oleh EcoWorld bukanlah menyasarkan rakyat marhaen tetapi hanya tertumpu kepada golongan elit saja.
Apakah ada keperluan untuk kerajaan untuk terlibat dengan model perniagaan seperti ini? Menurut laporan tahunan EcoWorld, purata harga jualan unit hartanah EcoWorld adalah sekitar RM900,000 setiap unit.
Angka ini sememangnya jauh daripada harga rumah mampu milik di Malaysia. Menurut Laporan Bank Negara, harga rumah mampu milik haruslah tidak lebih dari tiga kali pendapatan penengah tahunan isi rumah di Malaysia. Dalam erti lain, harga rumah mampu milik sepatutnya tidak melebihi RM211,000 berpandukan pendapatan penengah isirumah RM5,783 sebulan.
Penggabungan ini tidak memberikan keuntungan kepada rakyat Malaysia. Kerajaan seharusnya fokus untuk terlibat dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat bukannya berusaha keras untuk terlibat menjual rumah-rumah mewah yang tidak terjual.
Jika entiti milik kerajaan seperti Khazanah terus terlibat dengan pembinaan hartanah mewah. Masalah rumah mahal di Malaysia akan berlarutan sehingga bila-bila. Desakan REHDA seperti menggurangkan had minimum harga rumah untuk warga asing akan menyebabkan harga rumah kekal tinggi.
Rakyat yang dihimpit dengan kenaikan gaji yang terhad tidak akan memperoleh apa-apa hasil. Mereka akan dipaksa untuk terus menyewa dan menyewa kerana harga rumah yang terlalu tinggi selain gaji yang rendah.
Keempat, penggabungan atau pengambilalihan syarikat-syarikat tersenarai selalu dikaitkan dengan sinergi selain dapat meningkatkan modal pasaran menjadi lebih besar. Hakikatnya, ini tidak berlaku berdasarkan pengalaman lalu.
Bekas pemilik Sunrise, Datuk Tong Kooi Ong pada 2010 mendakwa bahawa penggabungan UEM dan Sunrise akan membawa kepada modal pasaran bernilai RM10 bilion. Namun semakan terkini menunjukkan nilai modal pasaran UEM Sunrise hanyalah sekitar RM1.7 bilion. Harga saham UEM-Sunrise telah jatuh dari RM1.20 pada 2015 kepada RM0.40.
Pengambilalihan Syarikat Pembinaan Setia atau lebih dikenali sebagai SP Setia turut menerima nasib yang serupa. PNB yang mengambil alih SP Setia pada harga RM3.90 sesaham dari Tan Sri Liew Kee Sin tidak memberikan sebarang keuntungan modal kepada institusi dana Bumiputera ini.
Harga saham SP Setia telah jatuh dari RM3.80 pada 2012 kepada RM0.74 pada harga saham semasa. Ini bermaksud di atas kertas, PNB telah rugi hampir 80% melalui pengambilalihan syarikat hartanah tersebut.
Dakwaan penggabungan syarikat untuk menjadi lebih besar akan mewujudkan kecekapan yang tinggi hanyalah mitos semata-mata. Syarikat-syarikat kecil juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti lebih fleksibel dalam membuat keputusan selain dapat mengadaptasi keadaan semasa dengan lebih pantas.
Kelima, kesanggupan Tan Sri Liew Kee Sin untuk kehilangan kawalan pemilikan terhadap syarikat yang dimilikinya agak mencurigakan. Ahli perniagaan yang biasa tidak akan cuba menjual syarikat yang beraksi cemerlang melainkan syarikat tersebut berada di dalam masalah.
Dengan situasi ekonomi semasa, adalah lebih menguntungkan buat Tan Sri Liew untuk menggabungkan syarikat miliknya dengan sebuah syarikat yang dimiliki kerajaan sekaligus mendapat sokongan institusi dana yang berpengaruh. Ini memberikan lebih bargaining power dalam urusniaga terutamanya melibatkan pihak bank.
Persoalannya, apakah manfaat yang bakal diperoleh UEM Sunrise hasil daripada penggabungan ini?
Industri hartanah tidak berada dalam keadaan yang baik sekarang ini berikutan krisis Covid-19 yang kian berlarutan.
Kerajaan China yang cuba mengekang pengeluaran modal ( capital flight ) dalam kalangan rakyat mereka juga menambah lagi masalah buat syarikat hartanah di negara ini yang menjadikan mereka sebagai sasaran. Pemaju Forest City, Country Gardens sebagai contoh telah menutup pusat pameran mereka di China susulan dasar kerajaan China.
Penggabungan UEM Sunrise dan EcoWorld bukanlah suatu langkah yang bijak oleh kerajaan dengan prospek hartanah yang semakin suram. Persoalan yang harus ditanya kepada pembuat keputusan ini adalah siapa yang memperoleh laba daripada urusniaga ini? Adakah benar ia sebuah bail-out menggunakan wang rakyat kepada syarikat swasta? Apakah manfaat yang diperoleh oleh rakyat melalui penggabungan ini?
Dan yang lebih penting…… Adakah kita pernah belajar daripada kesilapan-kesilapan yang lalu?