M40 Jatuh B40. Apa Maknanya?

Share it
8% Isi Rumah M40 Kini Berpendapatan Di Bawah RM4,850 Sebulan

Kenyataan sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi bahawa 600,000 isi rumah M40 di Malaysia jatuh ke dalam kategori B40 akibat kesan Covid-19 telah mendapat liputan meluas media di negara ini. Ada yang bertanya, bagaimana M40 boleh jatuh ke dalam kategori B40?

Hakikatnya, kenyataan tersebut mungkin disalahpetik oleh pihak media dalam menggambarkan keadaan isi rumah M40 di Malaysia. Hal ini kerana jika kenyataan M40 jatuh ke dalam B40 benar-benar berlaku, ia bermaksud terdapat B40 yang telah naik ke dalam kategori M40.

Ini kerana istilah B40 dan M40 ini bermaksud Bottom 40% dan Middle 40%. Adalah mustahil untuk kumpulan 40% Terbawah mempunyai 48%. Apa yang ingin disampaikan oleh media adalah pendapatan kumpulan M40 di Malaysia telah jatuh dan sebanyak 8% ( 600,000 ) isi rumah M40 kini meraih pendapatan di bawah RM4,850 sebulan.

Kenapa RM4,850? Ini kerana klasifikasi B40 di Malaysia merujuk kepada mereka yang berpendapatan RM4,850 dan kebawah. Manakala pendapatan isi rumah M40 pula berada dari paras RM4,850 hingga RM10,959. Dalam kata lain, mereka yang berpendapatan melebihi RM10,959 dikategorikan sebagai isi rumah T20.

Bagaimana Jabatan Perangkaan Malaysia mendapat had ambang B40, M40 dan T20?

Selang dua atau tiga tahun, Jabatan Perangkaan Malaysia akan melaksanakan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah bagi mengetahui keadaan dan pendapatan isi rumah di Malaysia. Lebih 85,000 isi rumah telah ditemubual bagi menyiapkan laporan ini.

Had ambang untuk kategori kumpulan isi rumah ini diperoleh bagi menggambarkan pendapatan keseluruhan isi rumah di Malaysia.

Had Ambang Kumpulan Pendapatan

Bayangkan terdapat 10 orang di dalam sebuah bilik. Pendapatan Orang 1 sehingga Orang 10 disusun dari yang paling rendah hingga ke paling tinggi. Pendapatan orang nombor empat itu dikategorikan sebagai had maksimum untuk pendapatan B40. Manakala sesiapa yang memperoleh pendapatan melebihi orang nombor lapan dikategorikan sebagai T20.

Di dalam statistik yang dikongsikan oleh Majlis Tindakan Ekonomi, ia jelas menunjukkan terdapat kejatuhan sekitar RM600 bagi isi rumah M10 sehingga menjerumuskan mereka ke dalam pendapatan di bawah RM4,850.

Dalam maksud lain, jika dahulu kita mempunyai 2.92 juta isi rumah yang berpendapatan dibawah RM4,850 sebulan, kini kita mempunyai 3.52 juta isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,850 sebulan.

Apa jadi pula dengan B40?

Krisis Covid-19 yang telah berlanjutan ini telah memberi kesan kepada semua pihak terutamanya golongan B40. Kumpulan ini lebih terdedah dengan pekerjaan-pekerjaan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang kebanyakkan memerlukan pekerjanya berada di lokasi pekerjaan.

Sebagai contoh, pekerja yang bekerja sebagai operator di kilang tidak dapat bekerja ketika ini. Namun bagi golongan T20, kebanyakkan kerja boleh dilakukan secara atas talian.

Kadar Kemiskinan di Malaysia Meningkat Kepada 8.4%

Oleh itu, B40 lebih terkesan berbanding kumpulan-kumpulan lain. Kenyataan media Menteri Ekonomi pada 17 Jun lalu menunjukkan kadar kemiskinan telah meningkat dari 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020.

Ini bermaksud terdapat lebih 600,000 isi rumah di Malaysia yang meraih pendapatan di bawah garis pendapatan kemiskinan iaitu RM2,208 sebulan, meningkat berbanding 405,000 pada tahun 2019.

Angka ini mungkin nampak kecil, tetapi hakikatnya bilangan isi rumah miskin sebenarnya telah meningkat 50% dalam tempoh setahun dengan anggaran 2.36 juta orang tinggal di dalam kemiskinan

Pandemik Covid-19 yang kini bertukar menjadi endemik merupakan antara detik paling gelap dalam sejarah pembentukan negara ini selain tragedi rusuhan 13 Mei. Tempiasnya bukan sahaja dirasai dari sudut kesihatan, tetapi juga telah melumpuhkan hampir keseluruhan aktiviti ekonomi di negara ini.

Namun demikian, masih banyak data-data yang tidak dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia kepada orang ramai. Sepanjang Covid-19, hanya sekali saja Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan bancian khusus mengenai krisis ini iaitu pada awal tahun lalu.

Perkara ini memberi tekanan buat penganalisis bebas untuk mendapatkan maklumat bagi menilai dan meneliti keadaan ekonomi di negara ini.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY