Majoriti Anak Muda Bergaji Bawah RM2,200, Sukar Menabung

Share it
Gaji Minimum & Gaji Penengah di Malaysia

Media sosial dihangatkan dengan reaksi orang ramai terhadap ucapan Menteri Kewangan beberapa hari lalu selepas Tengku Zafrul Aziz memetik kajian Bank Negara Malaysia yang menyatakan 40% anak muda di Malaysia berbelanja melebihi kemampuan mereka.

Dalam Majlis Kembara Bijak Wang 2020 tersebut, beliau turut menerangkan bahawa jika seseorang individu berusia 20 tahun ingin mempunyai simpanan RM1 juta menjelang usia 60 tahun, individu tersebut pula menyimpan RM500 sebulan.

Kenyataan ini tidak disambut positif oleh warga internet. Rata-rata menyifatkan kenyataan beliau itu sebagai ” out of touch ” kerana tidak berpaksikan realiti sebenar. Namun begitu, kenyataan Menteri Kewangan tersebut dibuat berdasarkan kajian yang dibuat oleh institusi yang berpengaruh seperti Bank Negara Malaysia.

Jadi, Mengapakah Pengguna Sosial Media Marah?

Rasa berang yang ditunjukkan oleh warga maya ada asasnya. Pertama, mereka tidak melihat sikap sebagai seperti berbelanja melebihi kemampuan sebagai punca permasalahan. Pengguna media sosial beranggapan bahawa masalah sebenar terletak pada gaji bukannya sikap.

Pandangan warga maya ini disokong oleh angka dan fakta. Data yang dikutip oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan majoriti anak muda yang berusia dibawah 30 tahun mempunyai gaji yang sangat rendah. Bagi anak muda berusia 20-24 tahun, gaji penengah mereka hanyalah RM1,577 sebulan manakala bagi pekerja berusia 25-29 tahun, gaji penengah yang direkodkan adalah sebanyak RM2,206 sebulan.

Dalam erti kata lain, purata gaji penengah diantara dua kumpulan umur ini hanyalah RM1,891 sebulan. Angka ini jauh lebih rendah berbanding gaji wajar yang ditetapkan oleh Bank Negara iaitu pada RM2,700 sebulan jika tinggal di Kuala Lumpur.

Statistik yang dilaporkan ini diambil pada tahun 2019 dimana negara belum terkesan dengan pandemik Covid-19. Angka terkini gaji penengah di Malaysia mungkin akan menjadi lebih rendah disebabkan impak negatif krisis kesihatan ini.

Kajian Agensi Kauseling & Perkhidmatan Kredit ( AKPK ) turut menyatakan bahawa kos sara hidup yang tinggi serta ketiadaan lebihan pendapatan merupakan penyebab utama rakyat Malaysia untuk tidak mampu menabung.

Laporan AKPK juga menunjukkan 28% responden daripada pelbagai peringkat umur terpaksa meminjam untuk membeli barangan asas. Selain itu, dapatan kajian mereka mendapati bahawa 18% responden tidak mempunyai sebarang simpanan untuk tempoh enam bulan yang lepas.

Kumpulan Isi Rumah Berpendapatan Rendah Membelanjakan 2/3 Perbelanjaan Mereka Untuk Barangan Keperluan

Adakah Golongan Miskin Tidak Pandai Berbelanja?

Meskipun kita tidak mempunyai data yang lengkap mengenai sikap perbelanjaan anak muda. Namun cara perbelanjaan golongan miskin di Malaysia boleh dinilai melalui laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Laporan Perbelanjaan Isi Rumah 2019.

Laporan terkini yang diterbitkan pada tahun lalu menunjukkan isi rumah dengan pendapatan terendah 10% membelanjakan lebih satu per empat ( 27.5 ) perbelanjaan mereka untuk barang makanan. Purata perbelanjaan makanan bagi keseluruhan isi rumah di Malaysia pula hanyalah 17.2%.

Kumpulan isi rumah termiskin di Malaysia membelanjakan 66% daripada keseluruhan perbelanjaan mereka untuk tiga perkara keperluan iaitu perbelanjaan makanan di rumah, kos perumahan termasuk utiliti dan juga kos pengangkutan.

Perbelanjaan-perbelanjaan tidak perlu yang diperuntukan mereka seperti minuman beralkohol dan tembakau, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan serta makan di luar hanyalah 15.9%. Berbeza dengan kumpulan dengan pendapatan tertinggi dimana mereka memperuntukkan 22.4% daripada keseluruhan perbelanjaan mereka untuk aktiviti-aktiviti sedemikian.

Petikan Akta Gaji Minimum

Literasi Kewangan Mungkin Tidak Mampu Mengubah Nasib Mereka

Bagi golongan yang berpendapatan rendah, menyarankan mereka untuk memasuki ke kelas literasi kewangan mungkin tidak memberikan apa-apa kesan kepada mereka. Hal ini kerana isu utama yang dihadapi mereka bukanlah ketidakmampuan menguruskan kewangan, namun masalah pendapatan yang rendah.

Buat sebilangan pembuat dasar, menyatakan gaji yang rendah sebagai punca masalah mungkin akan mencerminkan kegagalan mereka dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, menyalahkan sikap dan gaya hidup orang ramai mungkin menjadi pilihan yang lebih baik golongan ini dalam cubaan mereka merungkai masalah kewangan anak muda.

Untuk anak muda pula, gaji minimum mungkin penyelesaian sementara yang dinanti-nanti bagi menampung kenaikkan kos sara hidup saban hari. Apatah lagi kadar gaji minimum di luar bandar masih lagi tidak ditingkatkan buat sekian lama meskipun Akta Gaji Minimum menyatakan agar gaji minimum disemak setiap dua tahun.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini diĀ https://t.me/EkonomiRakyatMY