Oleh Muhammed Abdul Khalid dan Zouhair Rosli
Beberapa minggu lepas, Kementerian Ekonomi telah mengeluarkan laporan berkaitan pendapatan, perbelanjaan, kemiskinan dan ketidaksamarataan dalam kalangan isi rumah rakyat Malaysia, iaitu Laporan Survei Pendapatan/Perbelanjaan Isi Rumah 2022, Laporan Kemiskinan di Malaysia 2022 dan Laporan Ketidaksamarataan Pendapatan Malaysia 2022 .
Apabila kita mengkaji data-data yang telah diterbitkan, tepatlah kata pepatah – yang miskin masih miskin, yang kaya bertambah kaya. Ini tidak memeranjatkan, kerana apabila pandemik melanda, bantuan yang diberikan amat kecil sekali. Malah, secara relatifnya bantuan tersebut adalah lebih rendah dari negara yang lebih miskin dari Malaysia. Maka, sebab itu berulang kali kita telah mengingatkan bahawa Menteri Kewangan pada ketika itu amatlah kedekut dan tidak bertanggungjawab kerana bantuan yang amat kecil diberikan kepada golongan miskin dan rentan. Kesannya jelas dan mengecewakan, apabila laporan terkini menunjukkan jumlah yang miskin makin bertambah berbanding pra-pandemik pada tahun 2019. Manakala, jurang antara kaya dan miskin makin melebar.
Walaupun kita dicanangkan bahawa ekonomi telah pulih dan berkembang sejak pandemik bermula, pertumbuhan ini lebih memanfaatkan si kaya, bukannya si miskin, mahupun golongan pertengahan. Â
Kadar Kemiskininan Tahun Lalu Lebih Tinggi Berbanding Pra-Pandemik
Pertama, kadar kemiskinan masih tinggi. Malah, makin ramai yang jatuh miskin ketika ini berbanding sebelum pandemik. Kadar kemiskinan tahun lepas adalah pada tahap 6.2%, iaitu lebih tinggi daripada paras pra-pandemik pada tahun 2019 iaitu 5.6%. Ini hanya bukan sekadar angka, akan tetapi angka-angka ini memberi maksud bahawa bilangan isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan telah meningkat sebanyak 20% kepada 490,000 isi rumah pada tahun 2022. Nah, pulihkah ekonomi Makcik Kiah dan yang seangkatan dengan beliau? Jelas tidak.
Bukan itu sahaja, kadar kemiskinan turut meningkat di hampir semua negeri, kecuali di Putrajaya dan Labuan. Sabah, Kelantan dan Sarawak kekal sebagai tiga negeri yang mempunyai insiden kemiskinan tertinggi. Statistik ini tidak berubah sejak 2019. Negeri yang kaya dengan sumber asli juga tidak terlepas dari turut terkesan, apabila peningkatan kemiskinan yang tertinggi direkodkan di negeri Pahang.
Pertumbuhan Ekonomi Tahun Lalu Dipacu Sebahagian Besar Dari Rakyat Sendiri
Kedua, walaupun ada yang mendabik dada dan berbangga apabila ekonomi negara merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.7% pada tahun 2022, mereka ini sebenarnya buta hati dan pekak telinga terhadap realiti sebenar. Pertumbuhan ini sebenarnya dipacu dari rakyat sendiri, apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang simpanan persaraan KWSP disebabkan Kerajaan kedekut tidak mahu membantu. Yang paling terkesan dari dasar tidak bertanggungjawab ini adalah kaum Bumiputera, di mana simpanan mereka jatuh 70%, berbanding hanya satu peratus untuk kaum Cina.
Pertumbuhan ekonomi yang baik haruslah bersifat inklusif dan memanfaatkan semua, terutamanya mereka yang di bawah. Akan tetapi perkara ini tidak berlaku, apabila jurang pendapatan ketika ini adalah lebih teruk berbanding semasa tahun 2014. Apabila kita diberitahu dengan megahnya ada kemasukan pelaburan berbilion-bilion, projek sana sini yang dibawa dari negara China atau dari Pak Arab, siapakah yang beroleh laba? Tentunya, yang makin untung adalah si kaya, bukannya anak muda yang menjadi pemandu Grab, ataupun graduan yang masih terkial-kial mencari kerja. Apalah ertinya jika kita bersorak gembira dengan singkatan yang hebat seperti KDNK, FDI dan istilah jargon yang begitu canggih, namun yang kaya semakin kaya, manakala si miskin semakin terperuk? Inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita ketika ini, iaitu jurang makin melebar.
Jika kita lihat dari sudut yang lain, agihan kekayaan negara lebih memihak kepada si kaya. Setiap RM1 yang dijana dari perkembangan ekonomi, peratusan yang diperolehi oleh golongan B40 hanyalah 16 sen pada tahun 2022, lebih teruk berbanding tahun 2014 (16.8 sen) dan tahun 2016 (16.4 sen). Sudah lah ciput, semakin mengecil pula. Adilkah sebegini?
Jurang Antara Kaum Semakin Buruk
Ketiga, jurang antara kaum juga makin bertambah buruk. Pada tahun 2022, jurang pendapatan antara Cina dan Bumiputera adalah sebanyak RM2,400 sebulan berbanding sekitar RM2,000 sebulan pada tahun 2019. Dalam erti kata lain, jurang naik sebanyak 20%! Nisbah jurang pendapatan di antara kaum Cina dan Bumiputera juga bertambah buruk dalam tempoh sama. Keadaan jurang pendapatan ini adalah sama dengan keadaan 10 tahun yang lalu pada tahun 2012. Ini bermaksud segala inisiatif, perbelanjaan berbilion-bilion, pelan serta hala tuju ekonomi, dan sebagainya untuk kaum Bumiputera dalam tempoh satu dekad yang lalu ternyata tidak berjaya untuk merapatkan jurang dengan kaum Cina. Ke manakah duit berbilion-bilion yang dibelanjakan atas nama Melayu atau Bumiputera, tetapi hakikatnya data Kerajaan menunjukan kaum Melayu makin ke belakang berbanding kaum lain?
Subsidi dan Bantuan Kerajaan yang Tidak Efektif
Keempat, subsidi dan bantuan Kerajaan bukan hanya tidak efektif untuk membantu rakyat yang susah menangani krisis pandemik, sebaliknya oleh kerana Kerajaan kedekut, dasar Kerajaan sebenarnya telah melebarkan jurang. Selepas mengambil kira pindahan bantuan termasuklah yang diberikan Kerajaan, subsidi, bayaran zakat dan cukai, jurang pendapatan adalah lebih teruk. Dasar dan polisi Kerajaan sebenarnya telah melebarkan jurang, sekali gus membuatkan si kaya bertambah kaya. Â Ini tidak pelik memandangkan dasar cukai di negara ini lebih mesra si kaya. Contoh mudah adalah cukai kereta. Kenapa apabila Makcik Kiah membeli kereta Myvi berjumlah RM40,000, beliau harus membayar cukai jualan dan cukai jalan, akan tetapi si kaya yang membeli PorscheEV atau Mercedes EV berjumlah RM400,000 tidak dikenakan cukai langsung? Tidak hairanlah jurang makin melebar.
Pertumbuhan pendapatan isi rumah yang perlahan serta kadar kemiskinan dan jurang pendapatan yang tinggi menyukarkan kerajaan untuk mencapai beberapa sasaran yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Justeru, sasaran yang terdapat di dalam RMK12 harus disemak semula di dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan.
Dasar Jangka Panjang Haruslah Lebih Radikal
Dasar jangka panjang haruslah lebih radikal, dan tidak hanya sekadar pengumuman yang dibuat secara tergesa-gesa. Ekonomi MADANI yang diumumkan baru-baru ini tidak ubah seperti Model Ekonomi Baru yang telah dilaksanakan pada dekad yang lalu oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini merengkok di dalam penjara kerana mencuri. Sasaran yang dirangka tidak disertakan dengan strategi yang terperinci, dan tidak mesra si miskin dan golongan terpinggir.
Ekonomi MADANI haruslah berpaksikan polisi yang mesra Mak Cik Kiah, bukan hanya Tan Sri, Datuk Seri atau golongan elit sahaja. Tiada guna Malaysia menjadi negara ekonomi 30 terbesar di dunia jika Makcik Kiah kekal miskin dan terpinggir dan graduan kita merempat. Jika masalah ini tidak diatasi, Ekonomi MADANI akan mengulangi kegagalan Model Ekonomi Baru, di mana ianya hanya sekadar sebuah laporan lapuk yang tidak memberi impak kepada rakyat.