Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan apabila merekodkan pertumbuhan 14.2% untuk suku ketiga tahun 2022, menjadikannya peningkatan berturut-turut sejak kejatuhan mendadak pada suku yang sama tahun lepas (Q3-2021: -4.5%). Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku ketiga 2022 adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara ASEAN termasuk Singapura (4.4%), Indonesia (5.7%) dan Filipina (7.6%).
Pertumbuhan positif ini didorong sebahagian besarnya oleh permintaan domestik dan luar yang tinggi, pemulihan pasaran buruh negara serta dua sektor utama negara, sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang terus merekodkan pengeluaran yang memberangsangkan.
Sektor perkhidmatan naik 16.7% untuk suku ketiga 2022 berbanding hanya 12% pada suku sebelumnya. Pemerhatian secara lebih mendalam mendapati kesemua subsektor di bawah sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang positif, terutamanya subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat sebanyak dua digit pada suku ini.
Bagi sektor pembuatan pula meningkat kepada 13.2% jika dibandingkan dengan 9.2% untuk suku kedua 2022. Peningkatan ini disumbangkan oleh pengeluaran mantap yang dicatatkan oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (17.3%) serta alat kelengkapan pengangkutan (36.9%).
Sektor-sektor lain seperti sektor pertanian (1.2%), perlombongan (9.2%) dan pembinaan (15.2%) juga bertambah baik apabila kesemuanya merekodkan pertumbuhan positif untuk suku ini. Perbandingan antara sektor mendapati sektor pembinaan menunjukkan pemulihan yang paling besar apabila mencatatkan peningkatan pertumbuhan daripada hanya 2.4% pada suku kedua 2022 kepada 15.3% suku ini.
Daya saing Malaysia di pentas antarabangsa juga bertambah baik apabila pelaburan langsung asing (FDI) masuk sebanyak RM54.0 billion bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini berbanding hanya RM29.7 billion untuk tempoh yang sama tahun lepas. Bahkan, kemasukan FDI untuk 2022 adalah lebih tinggi berbanding sebelum era pandemik.
Jika sebelum ini, rakyat Malaysia terpaksa terperap dalam rumah masing-masing akibat pelaksanaan PKP, penjarakan sosial dan pelbagai peraturan untuk mencegah penularan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan mereka menjadi semakin kurang berbelanja.
Namun begitu, peralihan negara ke fasa endemik serta pemulihan pasaran buruh memberi peluang untuk rakyat Malaysia berbelanja lebih. Perkara ini dapat dilihat apabila perbelanjaan pengunaan akhir swasta terus kukuh pada 15.1% untuk suku ketiga 2022.
Secara amnya, pasaran buruh negara menuju ke arah yang lebih baik menerusi penurunan kadar pengangguran sebanyak 0.2% kepada 3.7% suku ini, berbanding 3.9% suku lepas. Jumlah penganggur juga menurun sebanyak 4.7%, daripada 642 ribu penganggur pada suku kedua 2022 kepada 612 ribu penganggur suku ini. Kadar penyertaan buruh juga meningkat kepada 69.4%, lebih tinggi berbanding sebelum pandemik, 69.1% pada suku keempat 2019.
Pasaran kewangan dan perbankan juga dilihat terus kukuh apabila terus mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM12.3 billion untuk suku ketiga 2022. Perbandingan tahun ke tahun mendapati keuntungan sebelum cukai naik 58% bagi sektor perbankan.
Pun begitu, walaupun Malaysia terus-menerus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, ada harga yang perlu dibayar di sebalik pertumbuhan ekonomi ini. Tekanan inflasi yang terus mencengkam rakyat Malaysia merupakan sebuah topik yang paling hangat diperkatakan semenjak beberapa bulan ini. Kadar inflasi telah meningkat secara konsisten sepanjang tahun 2022, mencatatkan paras tertinggi sebanyak 4.7% pada bulan Ogos 2022.
Apa yang lebih merisaukan ialah inflasi makanan yang menjejaskan keupayaan orang awam, terutamanya golongan rentan dan miskin, untuk membeli makanan yang mencukupi untuk keperluan seharian. BNM berpendapat dasar monetari yang ketat di negara-negara seluruh dunia mampu meredakan masalah inflasi.
Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada tekanan permintaan dan kos di peringkat global akibat harga komoditi yang semakin menaik. Inflasi yang tinggi berisiko memusnahkan kuasa membeli orang awam, serta menjatuhkan nilai matawang ringgit yang sudah pun berada pada tahap lemah berbanding USD sejak kebelakangan ini.
Meskipun nilai ringgit jatuh berbanding USD, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan perkara itu tidak menggambarkan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah krisis ekonomi yang teruk.
Beliau berkata nilai ringgit jatuh kerana USD sedang berada dalam keadaan yang kukuh dan sekiranya ekonomi Malaysia sedang mengalami krisis, sudah pasti KDNK negara akan menguncup, kadar pengangguran akan meningkat, penutupan besar-besaran perniagaan serta pasaran kewangan akan menjadi lemah. Namun, kesemua petunjuk bersifat negatif itu tidak wujud di Malaysia buat masa ini.
Dalam masa yang sama, Gabenor BNM juga yakin Malaysia tidak akan mengalami kemelesatan ekonomi tahun hadapan. BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi antara 4% hingga 5% untuk tahun 2023, walaupun Malaysia dijangka akan tetap berdepan dengan beberapa cabaran besar seperti inflasi yang tinggi, gangguan bekalan global serta ketengangan geopolitik Russia-Ukraine.