Mampukah Bank Laksanakan Moratorium Untuk Kali Kedua?

Share it

Desakan agar moratorium pinjaman bank dilaksanakan semakin kedengaran susulan langkah kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan buat kali ketiga. Peningkatan jangkitan baru Covid-19 melebihi 6,000 kes juga telah menyebabkan sebilangan rakyat menuntut agar PKP yang ketat untuk dilaksanakan.

Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan kelihatan mempunyai nada berbeza dalam menangani penularan ini. Nada Ketua Pengarah Kesihatan, DG Hisham seakan-akan berharap agar PKP penuh dapat dijalankan bagi meringankan beban sistem kesihatan negara.

Namun bagi Tengku Zafrul, beliau menyatakan PKP penuh seperti yang dilakukan pada tahun lalu bakal mengakibatkan kesan ekonomi yang amat besar kepada negara. Beliau menganggarkan PKP penuh bakal mengakibatkan ekonomi negara kehilangan RM2.4 bilion sehari disamping akan meningkatkan kadar pengangguran negara.

Kedua-duanya mempunyai objektif masing-masing. Di satu pihak, mereka ingin menyelamatkan nyawa. Manakala di satu pihak yang lagi, mereka ingin menyelamatkan ekonomi.

Rakyat mula menuntut agar kerajaan untuk memberikan bantuan yang setimpal andai PKP penuh kembali dilaksanakan. Selain tuntutan bantuan tunai, moratorium terhadap ansuran pinjaman juga antara desakan yang kian kedengaran saban hari.

Persoalannya, mampukah bank-bank di Malaysia melaksanakan moratorium untuk kali kedua?

Pada tahun lalu, Bank Negara Malaysia telah mengarahkan bank untuk melaksanakan moratorium secara menyeluruh selama enam bulan bermula Mac hingga September. Langkah ini meringankan tekanan kewangan keseluruhan pihak dalam mengharungi PKP.

Meskipun bank melaksanakan moratorium menyeluruh tahun lalu, laporan tahunan bank yang dikeluarkan menunjukkan bank tidak mengalami kerugian sepanjang tahun lalu. Prestasi kebanyakkan bank di Malaysia terkesan pada kadar yang begitu minimum.

Keuntungan bank sebelum cukai hanya jatuh dari RM41.5 bilion pada tahun 2019 kepada RM31.2 bilion pada tahun lalu.

Prestasi terkini bank-bank di seluruh Malaysia juga memberangsangkan. Keuntungan sebelum cukai pada suku pertama tahun ini telah meningkat kepada RM7.2 bilion berbanding RM6.3 bilion pada suku sebelumnya.

Dalam kata lain, bank-bank ini mampu untuk melaksanakan moratorium menyeluruh kepada peminjam-peminjam tanpa memberi kesan yang besar buat operasi mereka.

Penangguhan secara menyeluruh mungkin turut dimanfaatkan golongan yang tidak terkesan dengan pandemik ini sekaligus menjadi hujah penolakan langkah ini. Sebagai contoh, pegawai-pegawai kerajaan di Malaysia yang mendapat gaji penuh tidak mempunyai kesukaran bagi membuat ansuran bulanan.

Manakala bagi golongan yang paling susah pula, moratorium pinjaman mungkin tidak memberi apa-apa makna kerana sebilangan besar daripada mereka tidak mempunyai hutang kerana tidak layak untuk memohon pinjaman dari awal lagi.

Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan mekanisme bagi meringankan tekanan kewangan buat golongan yang memerlukan. Moratorium pinjaman kereta misalnya boleh dibuat secara menyeluruh bagi ansuran bulanan yang kurang dari RM1,000 bagi memastikan moratorium lebih tersasar.

Bagi orang ramai, melalui prosedur untuk memohon penangguhan dengan bank-bank yang menawarkan pembiayaan buat mereka merupakan satu proses yang melecehkan dan memakan masa. Perkara ini merugikan masa mereka yang boleh digunakan untuk kerja-kerja produktif yang lain.

Kerajaan perlu berusaha mencari jalan yang terbaik dalam membantu rakyat mengharungi detik sukar yang berpanjangan ini. Teori-teori ekonomi konvensional yang lapuk mungkin boleh diketepikan tatkala kita berhadapan dengan krisis seperti ini.

Bak kata pepatah ” unprecedented times required unprecedented measures

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini diĀ https://t.me/EkonomiRakyatMY