Mampukah China Pulihkan Imej Mereka Yang Tercalar?

Share it

Sepanjang Covid-19 melanda, hubungan geopolitik antara negara kononnya menjadi kendur akibat perlahannya ekonomi dunia dan penutupan sempadan. Ini benar sekiranya geopolitik tidak hanya diterhadkan pada peperangan dan pergelutan ruang sempadan. Namun secara diam, China yang sedang diuji kekuasaanya mungkin umpama raksaksa yang memulih diri dari luka.

China sewaktu Covid-19 melanda diuji dengan isu persepsi antarabangsa , kemampuan pengendalian krisis dan penurunan produktiviti negara pada waktu mereka sudah setapak lagi untuk menjadi kuasa hegemoni dunia atau kuasa besar dunia.

Sejak awal China menghadapi persoalan persepsi antarabangsa iaitu Sinophobia, yakni tanggapan skeptik, takut dan curiga terhadap kebangkitan China. Sebaik sahaja Covid-19 meletus, sinophobia ini memuncak. Pada awalnya ia digelar Wuhan Virus, nama ini cukup mengambarkan pemburukkan terhadap prestij kuasa China, ia mencalit arang. Presiden Donald Trump, turut memanggil virus tersebut sebagai “Chinese virus” di dalam sebuah hantaran ‘tweet’nya. Namun begitu, China berjaya melobi Pertubuhan Kesihatan Dunia ( WHO ) yang dikepalai oleh Tedros Adhanom Ghebreyesus, selaku Ketua Pengarah. Hasilnya, nama Wuhan Virus beransur ditukar kepada Covid-19 sekaligus melunturkan konotasi buruk terhadap China.

Tedros merupakan seorang yang beraliran Marxist yang dilihat ‘mesra’ dengan China bahkan terdapat tuduhan bahawa beliau bersekongkol menyembunyikan virus ini dari awal lagi. Selain itu, China juga dituduh menyembunyikan angka kematian sebenar di Wuhan .

Sinophobia ini boleh dilihat di dalam media-media antarabangsa yang cuba menyalahkan China, sehinggakan ke masyarakat awam terkena tempiasnya. Di Eropah, benua Arab sesiapa sahaja bermata sepet atau berasal dari Asia diperolok dengan panggilan ‘Corona’.

Oleh demikian, China berusaha keras dan mengunakan kekerasan untuk memperbaiki imej mereka di mata dunia. Ini  kerana Imej begitu penting dalam prestij untuk menjadi Kuasa Besar. China yang lemah dalam membina imej dan kuasa lunak kini perlahan-lahan memahami rentak politiknya.

Maka sebaik sahaja selesai masalah di Wuhan – Walaupun masih diperdebatkan sama ada masalah di China sudah reda ataupun tidak – China bergegas menghantar doktor perubatan dan peralatan perubatan  keseluruh pelosok dunia termasuk Itali, UK, Turki, Iran, Amerika dan Malaysia. Kos ini menelan belanja besar kerana termasuk di dalamya penerbangan pakar-pakar perubatan, alat pengesan virus, penutup muka dan baju perlindungan dari virus tersebut. Ini tentu sahaja bakal memulihkan imej china yang dikutuk sebagai ‘punca’ pandemik global ini. Bahkan di saat kuasa-kuasa barat seperti Amerika dan Kesatuan Eropah melemah, respon China begitu pantas menjengah.

Dunia diramalkan bakal dilanda malapetaka yang lebih besar pasca-pandemik ini iaitu Kemelesetan Ekonomi. Bahkan tidak kurang dalam sebulan dua dalam krisis kesihatan antarabangsa ini produktiviti China sudah pun menurun dan perdagangan menjadi lembab. Kerugian dihadapi China sebagai ‘kilang terbesar dunia’ bukanlah luka kecil, kini cabaran kedua adalah bagaimana China  ingin memposisikan dirinya dalam Kemelesatan Ekonomi dunia sedang negara itu sendiri ditimpa luka ekonomi dan sistem kewangan negara yang rompong.

Cabaran kedua ini lebih besar, tetapi jika diurus baik, China bakal menduduki tangga Kuasa Besar dunia yang baharu dan secara tidak langsung bakal memperlihatkan Tatanan  Dunia ( World Order ) yang  berbeza. Mampukah China?

AmirulMukminin merupakan pelajar pasca-siswazah di universiti di Istanbul, pembantu penyelidik dan penganalisa bebas politik antarabangsa yang memfokuskan kajian terhadap geostrategi.