Mampukah Threads Saingi Twitter?

Share it

Beribu tahun yang lalu, manusia sudah mula berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan pelbagai kaedah. Tinggalan sejarah yang berharga seperti bahasa dan tulisan yang diukir di pelbagai permukaan seperti dinding gua dan tablet batu menjadi bukti wujudnya tamadun di sesebuah tempat. Sejak daripada itu, teknologi komunikasi yang menghubungkan antara manusia berkembang pesat sehingga mencipta sebuah dunia tanpa sempadan yang ada pada hari ini.

Antara perkembangan terbesar yang berlaku dalam tempoh beberapa dekad lepas ialah platform media sosial. Jika dahulu medium komunikasi hanya terhad menerusi surat, panggilan telefon atau e-mel semata-mata. Kehadiran media sosial bukan sahaja memberi ruang untuk berkomunikasi dengan keluarga atau rakan-rakan, bahkan menghubungkan hampir segenap pelusuk penduduk di bumi ini.  

Media sosial boleh dikatakan sudah menjadi sebuah perkara yang begitu penting dalam kehidupan seseorang manusia moden, terutamanya dengan penggunaan Internet yang meluas pada ketika ini. Menurut data Smart Insights, terdapat sejumlah 4.8 billion identiti pengguna media sosial dikesan setakat April 2023, mewakili kira-kira 60% daripada populasi penduduk Bumi. Ini bermaksud enam daripada sepuluh manusia di Bumi sekurang-kurangnya memiliki sebuah akaun media sosial.

Bagi generasi Milennials yang lahir sekitar tahun 1980an hingga hujung 1990an, sudah pasti ‘familiar’ dengan kisah jatuh bangun beberapa platform media sosial. Sebelum nama-nama besar platform media sosial yang ada pada ketika ini termasuklah Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter, wujud beberapa platform media sosial yang cukup popular suatu ketika dahulu seperti Friendster dan MySpace. Namun, masa bersilih ganti menyaksikan ada antara platform media sosial ini yang tenggelam ditelan persaingan yang begitu hebat.

Baru-baru ini, syarikat induk pemilik Facebook, Meta melancarkan sebuah aplikasi baharu yang diberi nama Threads. Aplikasi berasaskan teks ini dikatakan mampu menjadi pesaing baharu kepada Twitter kerana beberapa persamaan yang wujud antara kedua aplikasi ini. Malah, ada sebahagian penganalisis media sosial menyifatkan pelancaran aplikasi Threads oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg ini sebagai ‘tumbukan tepat ke muka’ CEO baharu Twitter, Elon Musk. 

Krisis di Twitter, Peluang buat Threads

Sejak Elon Musk membeli Twitter dengan harga AS$44 billion sekitar Oktober tahun lalu, perjalanan beliau menguruskan aplikasi media sosial tersebut penuh dengan liku-liku, barangkali tidak semudah menguruskan syarikat kenderaan elektrik Tesla. Setakat April 2023, kira-kira 80% atau lebih 6,500 staf Twitter telah dibuang kerja. Elon Musk menerusi temu bual bersama BBC mendedahkan Twitter memiliki kira-kira 8,000 staf ketika beliau mula-mula membeli syarikat itu, berbanding hanya lebih kurang 1,500 staf yang masih ada sekarang. 

Tidak cukup dengan isu tenaga kerja, Twitter juga mengalami penurunan nilai yang sangat ketara. Nilai Twitter dilaporkan telah jatuh hampir dua pertiga kepada AS$15 billion setakat Mei 2023, berbanding nilai asal AS$44 billion ketika Elon Musk mula-mula membeli syarikat tersebut. Penguatkuasaan beberapa polisi dan peraturan baharu juga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna Twitter. Misalnya, baru-baru ini Elon Musk meletakkan syarat seseorang pengguna Twitter yang belum disahkan (unverified) hanya boleh membaca 600 hantaran dalam masa satu hari. Manakala, bagi pengguna yang sudah melanggan Twitter Blue, iaitu akaun yang disahkan, mereka dibenarkan untuk membaca 10 kali ganda lebih banyak, 6,000 hantaran dalam masa sehari.

Gabungan masalah-masalah yang bertimbun di atas kepala Elon Musk ini memberikan peluang yang berharga buat Mark Zuckerberg untuk melancarkan aplikasi pesaing, Threads. Peluang sebegini juga diibaratkan bak ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ buat Mark Zuckerberg dalam usaha beliau mendominasi platform media sosial. Tidak sampai seminggu dilancarkan, aplikasi Threads dilaporkan sudah memiliki kira-kira lebih 100 juta pengguna, menurut statistik laman sesawang Open AI Master. Sebagai perbandingan, aplikasi TikTok mengambil masa sembilan bulan untuk mencecah 100 juta pengguna, manakala dua tahun setengah untuk aplikasi Instagram mencapai angka jumlah pengguna yang sama.

Bertahun sebelum aplikasi mirip Twitter ini dilancarkan, Mark Zuckerberg sudah pun meluaskan empayar beliau dengan membeli beberapa buah platform media sosial. Antaranya termasuklah Instagram yang dibeli pada harga AS$1 billion pada tahun 2012. Dua tahun berikutnya, Mark Zuckerberg yang pernah menjadi ‘self-made’ billionaire termuda di usia 23 tahun, turut membeli WhatsApp dengan harga AS$19.6 billion.

Aplikasi WhatsApp yang dibeli Mark Zuckerberg pada tahun 2014 terus catat peningkatan jumlah pengguna setiap tahun

Meskipun Whatsapp dibeli pada harga 20 kali ganda lebih besar berbanding Instagram, pembelian ini seringkali disebut-sebut sebagai antara pembelian terbaik Mark Zuckerberg. Aplikasi WhatsApp mempunyai trend pertumbuhan pengguna yang cukup memberangsangkan, terutamanya dalam kalangan negara-negara Asia. Lihat sahaja di Malaysia, boleh dikatakan setiap individu yang memiliki telefon pintar sudah tentu memiliki aplikasi WhatsApp. Ketika Mark Zuckerberg mula-mula membeli WhatsApp, penggunanya hanyalah berjumlah 409 juta, berbanding kira-kira 2.4 billion pengguna WhatsApp yang ada pada ketika ini. Ini bermaksud setiap tahun dari 2014 hingga 2022, pengguna WhatsApp bertambah sebanyak 17.5%.  

Perkembangan positif Whatsapp bukan sahaja dari sudut jumlah pengguna, bahkan aplikasi ini turut menjana hasil yang signifikan buat Meta. Hasil tahunan yang disumbangkan WhatsApp pada tahun lalu dilaporkan berjumlah AS$906 juta.

Diversifikasi Perniagaan, Langkah Berisiko buat Elon Musk?

Antara aspek utama yang membezakan antara Elon Musk dan Mark Zuckerberg ialah dari sudut konsistensi elemen perniagaan. Berbanding Elon Musk, perniagaan yang diceburi Mark Zuckerberg lebih tertumpu kepada industri komunikasi, atau secara spesifiknya platform media sosial. Ini menjadikan beliau lebih fokus dalam merancang strategi pengurusan platform-platform media sosial yang dimiliki. Kelebihan dalam strategi perniagaan Mark Zuckerberg ini memberikan beliau peluang untuk mengekalkan dominasi dalam industri media sosial.

Namun, lain pula kisahnya buat Elon Musk yang memiliki pelbagai jenis perniagaan dalam sub-sektor industri yang berlainan. Antara produk keluaran syarikat-syarikat yang dimiliki Elon Musk terdiri daripada kenderaan elektrik (Tesla), kapal angkasa (SpaceX), penyembur api dan topi (The Boring Company) serta teknologi implan otak (Neuralink). Kepelbagaian jenis perniagaan yang diceburi Elon Musk ini mungkin baik dari sudut diversifikasi, namun berisiko menjejaskan kelangsungan perniagaan untuk jangka masa panjang. 

Sebagai contoh, saham Tesla dilaporkan jatuh 28% dalam tempoh dua bulan selepas Elon Musk membeli Twitter. Modal pasaran Tesla turut susut AS$705 juta antara April hingga Disember tahun lalu. Antara punca nilai saham Tesla mengalami penyusutan yang dahsyat ialah kerana para pelabur merasakan Elon Musk terlalu sibuk menguruskan Twitter, berbanding Tesla. Akibatnya, nilai bersih Elon Musk lenyap hampir AS$182 billion, rekod terbesar dalam sejarah, sehingga menyebabkan takhta yang dimiliki beliau sebagai Manusia Terkaya Dunia Forbes 2022 dipintas oleh taikun barangan mewah LVMH, Bernard Arnault pada senarai kemas kini tahun ini.

Facebook miliki hampir 3 billion pengguna aktif ketika ini, manakala Twitter hanya 536 juta pengguna aktif

Pada ketika ini, Threads sudah memiliki lebih 100 juta pengguna, tidak lah begitu jauh berbanding 450 juta pengguna aktif bulanan yang dimiliki Twitter setakat tahun lalu. Antara faktor utama yang membantu Threads untuk berkembang dengan cepat ialah disebabkan rangkaian platform yang dikongsi bersama aplikasi Instagram dan Facebook di bawah Meta, yang masing-masing memiliki kira-kira 1.4 billion dan 3 billion pengguna aktif bulanan. Aplikasi Threads ini turut didorong oleh fenomena fear of missing out (FOMO) dalam kalangan pengguna yang ingin cuba merasai pengalaman menggunakan aplikasi media sosial baharu ini. Populariti yang dimiliki ikon media sosial Mark Zuckerberg juga sudah tentu akan memudahkan pasukan Meta untuk melaksanakan strategi pemasaran dengan lebih efektif. 

Kebelakangan ini, terdapat juga desas-desus kedua-dua billionaire ini akan bersemuka dalam pertarungan ‘cage fight’. Mungkin tidak cukup berseteru di media sosial, mereka mahu berlawan pula secara fizikal. Walau apa pun yang akan berlaku, persaingan antara Twitter dan Threads ini hanya akan ditentukan oleh masa dan strategi masing-masing. Hal ini kerana meskipun Elon Musk berdepan laluan permulaan yang sukar dalam mengendalikan Twitter, beliau memiliki ‘track record’ yang baik setiap kali beliau menceburkan diri dalam industri yang berasaskan teknologi. Mungkin Elon Musk memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk beliau benar-benar menyesuaikan strategi serta membawa Twitter mencapai potensi yang lebih tinggi dalam persaingan platform media sosial.