
” Melayu Malas ” satu kata-kata yang penuh kontroversi di Malaysia dan seringkali dilemparkan kepada orang Melayu susulan kemunduran masyarakat ini terutamanya dari sudut penyertaan ekonomi.
Sejarah ” Melayu Malas ” bukanlah baru, ia sudah dibincangkan puluhan tahun lamanya. Akhbar Berita Harian misalnya telah menerbitkan pandangan pelajar-pelajar mengenai dakwaan ini pada tahun 1964 lagi.
Namun, topik ini kembali hangat apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masih teguh dengan pandangannya dengan mengatakan Melayu malas apabila beliau melihat keengganan pekerja-pekerja Melayu bekerja di dalam sektor-sektor yang berat seperti buruh kasar.
Pandangan ini mendapat reaksi negatif hampir daripada keseluruhan orang Melayu di negara ini.
Persoalannya, apakah benar Melayu Malas?
Profesor Diraja Ungku Aziz pada tahun 1987 menyatakan bahawa dakwaan ini telah dimomokkan oleh penjajah bagi melemahkan orang Melayu. Beliau bersependapat dengan pandangan ahli sosiologi terkenal, Prof Syed Hussein Alatas yang menulis karya agungnya bertajuk Mitos Pribumi Malas.
Ungku Aziz memberi contoh mengenai keadaan masyarakat Melayu di kampung sebagai bukti bahawa orang Melayu tidak malas.
” Pokoknya, siapakah yang sanggup keluar menoreh getah dari waktu subuh lagi. Siapakah yang pernah ke laut bermula jam dua pagi. Siapa pula yang sedia menajak atau meneggala sawah di tengah panas terik? Semua ini dilakukan oleh penduduk Melayu di desa-desa “
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan orang Melayu boros. Menurut tokoh ekonomi ini, hampir mustahil orang Melayu untuk berbelanja sakan kerana wang yang ingin dibelanjakan itu tidak mencukupi.
” Ini adalah dakyah semata-mata. Kalau pendapatan seseorang itu hanya $300 sebulan, orang itu mungkin tidak ada wang untuk diboroskan. Kebanyakkan penduduk desa berpendapatan $300-$500 sebulan manakala garis kemiskinan diletakkan pada kadar $384 sebulan “
Prof Ungku Aziz juga berpendapat bahawa orang Melayu tidak menolak sebarang kemajuan. Katanya, banyak tindakan yang diambil masyarakat Melayu pada ketika itu sejajar dengan perkembangan semasa. Anak-anak divaksinkan manakala pendidikan anak-anak turut diberikan penekanan.
Beliau menegaskan bahawa dakwaan orang Melayu enggan berubah adalah sesuatu yang tidak benar.
” Orang Melayu tidak mahu ubah sikapnya, tidak mahu tukar fikirannya. Ini adalah bohong paling besar “
Bagi Syed Hussein Alatas pula, beliau menerangkan bahawa dakwaan seperti ini ( Melayu Malas ) dilemparkan oleh penjajah kerana keenganan orang Melayu bekerja dibawah mereka ketika era penjajahan. Lantas, penjajah terpaksa mengambil buruh-buruh asing dari India dan China bagi menjalankan kerja-kerja eksploitasi hasil bumi di Tanah Melayu ini.
Perbincangan mengenai perkara ini terus berlanjutan sehingga kini. Kata-kata ‘Melayu Malas’ ataupun tidak kompetitif sering kali dijadikan alasan mudah bagi menerangkan kedudukan ekonomi orang Melayu yang masih terkebelakang berbanding etnik-etnik lain.

Kemunduran orang Melayu boleh dikatakan berpunca dari struktur ekonomi yang tidak menyebelahi orang Melayu dari awal lagi. Pembangunan seperti sekolah umpamanya dibuat di bandar-bandar besar ketika era penjajahan sekaligus memberi manfaat kepada etnik Cina.
Dalam artikel Ekonomi Rakyat terdahulu, kita dapat lihat bagaimana sebilangan tauke-tauke Cina meraih kekayaan luar biasa hasil aktiviti penjualan candu. Di Johor pula, aktiviti penanaman gambir yang menjadi pendapatan utama negeri itu turut dimonopoli oleh etnik Cina.
Orang Melayu yang tinggal di kawasan desa hanya kekal aktiviti ekonomi yang bersifat sara diri dan tidak produktif. Disebabkan kerja-kerja yang dilakukan oleh orang Melayu tidak mendapat pulangan hasil yang lumayan meskipun segala kudrat dikerah, orang Melayu kekal miskin. Dan disebabkan itulah, orang Melayu dilabel malas.