Di dalam teori asas ekonomi, buruh merupakan salah satu daripada empat faktor pengeluaran yang penting dalam menggerakkan ekonomi, selain tanah, modal dan keusahawanan. Bagi menghargai jasa buruh ataupun pekerja dalam membangunkan ekonomi dan negara, Hari Buruh disambut pada 1 Mei setiap tahun di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia.Â
Sambutan Hari Buruh pada hari ini rata-ratanya disambut dengan aman damai. Malah, di kebanyakan negara, Hari Buruh dimasukkan dalam senarai cuti umum yang memberikan para pekerja peluang untuk berehat sebentar daripada kesibukan bekerja untuk satu hari. Walau bagaimanapun, Hari Buruh mempunyai sejarah yang agak tragis.
Sejarah Tragis Hari Buruh
Ia dikatakan bermula daripada sebuah protes yang dilancarkan oleh Persekutuan Buruh Amerika di Chicago, Amerika Syarikat (AS) pada 1 Mei 1886. Protes yang disertai oleh ribuan pekerja itu menuntut jumlah waktu bekerja dikurangkan kepada 8 jam sehari. Keadaan dan nasib golongan pekerja pada waktu itu sangatlah teruk, apabila seringkali dieksploitasi secara ekstrim oleh majikan. Lazimnya, mereka dipaksa bekerja dalam tempoh masa yang terlalu lama, terdedah dengan persekitaran pekerjaan yang berbahaya, manfaat dan perlindungan sosial yang hampir tidak wujud serta gaji yang terlalu sedikit.
Walau bagaimanapun, protes yang berlanjutan sehingga beberapa hari tersebut telah bertukar ganas memasuki hari keempat apabila bom dilempar terhadap polis yang mahu menyuraikan pekerja-pekerja yang menyertai protes tersebut. Sebagai tindak balas, pihak polis mula menembak secara rambang ke arah orang ramai. Insiden yang dikenali dengan nama Haymarket affair atau Haymarket riot ini telah mengorbankan tujuh anggota polis dan empat orang awam, di samping ratusan lagi yang tercedera.
Meskipun berakhir dengan tragedi berdarah, peristiwa Haymarket affair ini telah menyemarakkan lagi semangat para pekerja dan kesatuan buruh untuk terus menuntut supaya hak-hak dan nasib mereka dibela dengan lebih baik. Tahun-tahun selepas itu menyaksikan 1 Mei terus dipilih menjadi tarikh untuk para pekerja berdemonstrasi di jalanan.Â
Ia berterusan sehinggalah pada tahun 1899, apabila Kongres Sosialis Antarabangsa mengisytiharkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja Sedunia bagi memperingati peristiwa Haymarket affair. Pada tahun 1904, Kongres Sosialis Antarabangsa di Amsterdam, Belanda mengarahkan organisasi-organisasi proletariat (kumpulan pekerja, working class) supaya tidak bekerja pada 1 Mei. Lama kelamaan, tarikh 1 Mei mula diterima secara terbuka sebagai Hari Pekerja dan juga cuti umum di banyak negara.
Hari Buruh Mula Disambut Secara Rasmi di Malaysia Pada Tahun 1973
Di Malaysia, terdapat beberapa versi kisah asal-usul sambutan Hari Buruh. Ada versi yang mengatakan bahawa Hari Buruh telah disambut untuk kali pertamanya di Ipoh, Perak pada tahun 1921 oleh sekumpulan pekerja dan pelajar. Ada juga versi lain yang mengatakan Hari Buruh disambut pada tahun 1955 apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaya mengadakan perhimpunan bagi menuntut keadaan bekerja serta gaji yang lebih baik. Namun, Hari Buruh disambut secara rasmi apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman mengisytiharkan 1 Mei sebagai cuti umum bermula tahun 1973.
Sambutan Hari Buruh yang telah berlangsung di seluruh dunia selama ratusan tahun sejak dahulu sehingga kini telah memperlihatkan banyak penambahbaikan yang positif telah dibuat terhadap hak dan nasib pekerja dalam beberapa dekad yang lepas.Â
Misalnya, purata jumlah waktu bekerja di AS telah menurun dengan begitu ketara, daripada 60 jam seminggu kepada 34 jam seminggu antara tahun 1870 dan 2017. Trend yang sama turut dapat dilihat di kebanyakan negara, terutamanya negara-negara maju seperti UK, Jerman dan Australia. Pengurangan waktu bekerja ini memberikan para pekerja lebih banyak masa untuk diri sendiri ataupun diluangkan bersama keluarga, sekali gus mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik.Â
Golongan pekerja juga mula diberikan pelbagai manfaat dan perlindungan sosial, yang mana turut menyaksikan penglibatan pihak majikan yang lebih aktif dalam soal kebajikan pekerja. Misalnya, di Amerika Syarikat, pekerja dan majikan wajib membayar cukai Social Security yang mula diperkenalkan sejak tahun 1935. Skim yang dikawal selia oleh Social Security Administration (SSA) ini memberikan manfaat-manfaat seperti simpanan persaraan serta insurans sekiranya berlaku sebarang kematian atau kehilangan upaya untuk para pekerja dan keluarga mereka.
Di peringkat antarabangsa, organisasi-organisasi seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah mengeluarkan pelbagai konvensyen buruh yang standard sebagai garis panduan untuk diikuti dan diratifikasi oleh negara-negara ahli. Antaranya termasuklah Konvensyen Buruh Paksa, 1930 (C029), Konvensi Diskriminasi (dalam Pekerjaan dan Jabatan), 1958 (C111), Konvensyen Polisi Pekerjaan, 1964 (C122) dan Konvensyen Gaji Sama Rata, 1951 (C100). Malah, salah satu daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang ditetapkan oleh PBB ialah untuk mencapai Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi (Matlamat 8).
Begitu juga dengan pihak Kerajaan sebagai pembuat dasar yang turut memainkan peranan yang penting dalam meluluskan undang-undang perburuhan untuk dipatuhi bagi memastikan nasib pekerja tidak terus dieksploitasi. Antaranya termasuklah dengan menetapkan jumlah jam bekerja yang lebih jelas, pentakrifan kontrak yang lebih terperinci antara majikan dan pekerja, penetapan hak-hak antara seorang pekerja dan majikan, penetapan kaedah perkiraan dan pembayaran gaji, dan sebagainya.Â
Di UK misalnya, undang-undang perburuhan mula digubal seawal memasuki abad ke-19 menerusi Master and Servant Act 1823. Namun, pada ketika itu, undang-undang buruh yang digubal adalah berat sebelah kepada pihak majikan dan lebih kepada untuk menghalang pekerja daripada menyertai atau mengadakan sebarang protes. Mana-mana pekerja yang didapati menyertai protes pada ketika itu boleh dijatuhkan hukuman penjara. Namun, lama kelamaan, ledakan revolusi industri serta populariti ideologi sosialisme yang semakin meningkat naik pada ketika itu menuntut Kerajaan untuk lebih tegas dalam menangani isu-isu eksploitasi buruh dengan meluluskan undang-undang buruh yang lebih adil kepada golongan pekerja.
Langkah-langkah penambahbaikan hak-hak pekerja ini mula diikuti oleh negara-negara membangun dan mundur. Malah, ada antara model dan peruntukan undang-undang yang diguna pakai pada hari ini adalah warisan daripada apa yang ditinggalkan oleh penjajah dari negara-negara kolonial.Â
Di Malaysia misalnya, kedua-dua pihak pekerja dan majikan di sektor swasta wajib mencarum dalam skim simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan menerusi Ordinan KWSP 1951. Selain itu, mereka turut diwajibkan mencarum dalam skim-skim keselamatan sosial yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Liputan bagi skim insurans sosial di bawah KWSP dan PERKESO telah ditambah baik dalam beberapa tahun yang lepas dengan menawarkan skim-skim caruman sukarela kepada golongan bekerja sendiri, pekerja gig dan suri rumah.
Di samping itu, Akta Buruh 1955 (Akta 265) telah digubal sebagai peruntukan undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan utama terhadap hak-hak pekerja dan majikan serta perkara-perkara lain yang berkaitan aspek perburuhan di Malaysia. Akta tersebut telah dipinda dari semasa ke semasa dengan mengambil kira perkembangan terkini. Misalnya, beberapa peruntukan baharu telah dimasukkan dalam pindaan terkini yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Antara pindaan yang dibuat adalah mengenai aturan kerja fleksibel, pengurangan waktu bekerja daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu dan pemberian cuti materniti berbayar yang lebih lama kepada pekerja perempuan yang mengandung.
Walau bagaimanapun, di sebalik penambahbaikan yang dibuat dari semasa ke semasa terhadap skim-skim insurans sosial serta undang-undang buruh di Malaysia, persoalan yang wajar dibincangkan ialah sejauh manakah ia telah membantu dalam membela nasib dan kebajikan golongan pekerja dengan lebih baik di negara ini. Hal ini kerana biarpun wujudnya undang-undang buruh yang benar-benar kuat sekalipun, ia tidak semestinya akan menjamin nasib dan kebajikan golongan pekerja akan sentiasa terbela sekiranya pelaksanaannya tidak dikuatkuasakan dan dipantau dengan tegas oleh pihak berkuasa.
Tambahan lagi, nasib golongan pekerja akan terus diketepikan seandainya polisi-polisi dan hala tuju pembangunan ekonomi dan industri negara hanya di tumpukan ke arah mencapai indikator-indikator materialistik seperti meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK), membawa masuk lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan sebagainya yang mempunyai impak minimal terhadap nasib dan hak pekerja.
Obsesi Terhadap KDNK Mengakibatkan Nasib dan Hak Pekerja Terus Dipinggirkan
Pendekatan yang terlalu menumpukan kepada indikator-indikator materialistik ini telah mendapat kritikan hebat oleh ramai ahli ekonomi sejak kebelakangan ini. Antara yang paling lantang ialah penerima Hadiah Nobel Ekonomi 2001, Professor Joseph Stiglitz.Â
Menurut beliau, masalah yang sering berlaku ialah bilamana ahli-ahli politik menggembar-gemburkan pertumbuhan KDNK yang positif sebagai sesuatu yang mencerminkan tahap kemajuan ekonomi yang baik untuk negara dan rakyat. Meskipun tidak dinafikan pertumbuhan KDNK adalah suatu petanda yang positif untuk perkembangan ekonomi, ia tidak memberikan big picture yang sebenar.Â
Sebagai contoh, ia langsung tidak menggambarkan sejauh manakah pertumbuhan ekonomi tersebut telah merosakkan alam sekitar, menurunkan kualiti hidup rakyat, menjejaskan agihan pendapatan dalam kalangan rakyat, merosotkan tahap demokrasi dan pelbagai kesan buruk yang lain. Tanggapan sebegini menyebabkan ahli-ahli politik ini menganggap pertumbuhan KDNK ini sesuatu yang baik secara keseluruhannya dan mereka pun meneruskan polisi ekonomi sedia ada bagi terus meningkatkan KDNK.Â
Akibatnya, obsesi terhadap pencapaian KDNK ini telah menjadikan aspek-aspek manusiawi seperti kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat dan pekerja, serta memastikan rakyat mendapat akses yang secukupnya kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas (seperti jalan raya, pendidikan, kesihatan awam dan lain-lain) seolah-olah dianggap bukan prioriti utama dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi.Â
Secara tidak langsung, pemikiran ini turut mempengaruhi tingkah laku industri (baca: majikan) apabila output ataupun keuntungan syarikat dijadikan keutamaan mengatasi segalanya. Sistem ekonomi bersifat laissez faire atau pasaran bebas (free market) menganggap campur tangan dan kawal selia oleh Kerajaan, termasuklah dalam menambah baik nasib pekerja, sebagai sesuatu yang kolot dan hanyalah akan membantutkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan produktiviti.Â
Lihat sahaja bagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan majikan di negara ini yang seringkali memberikan reaksi negatif setiap kali pihak Kerajaan ingin melakukan sesuatu yang baik untuk golongan pekerja, seperti meningkatkan gaji minima, memanjangkan tempoh cuti materniti dan sebagainya.
Akibatnya, fokus dan keutamaan pihak industri hanyalah lebih kepada untuk mengejar keuntungan semata-mata, tanpa mempedulikan impaknya terhadap golongan pekerja (dan juga alam sekitar). Bagi mereka, kesan-kesan negatif yang timbul daripada aktiviti ekonomi ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan apa yang lebih penting ialah untuk terus memeras pekerja menggandakan output bagi meraih keuntungan yang lebih besar.
Maka, disebabkan itu ada sesetengah majikan yang tidak kisah untuk membiarkan pekerja untuk terus bekerja dalam persekitaran kerja yang tidak selamat, menerima gaji yang rendah, menafikan kenaikan gaji serta bekerja melebihi masa kerja yang ditetapkan sehingga menyebabkan berlakunya burnout dan tiada work-life balance.Â
Aspek-aspek sosial seperti memastikan kesaksamaan agihan pendapatan yang lebih setara juga dianggap tidak penting. Kekayaan dan kemewahan yang dihasilkan daripada aktiviti-aktiviti ekonomi terus di bolot oleh segelintir individu yang memegang kedudukan-kedudukan yang tinggi dalam industri, dengan cara mengekalkan gaji yang rendah kepada para pekerja.Â
Sepertimana yang dikupas dalam artikel Ekonomi Rakyat yang terdahulu, perbezaan gaji bulanan antara seorang CEO dan pekerja boleh mencecah sehingga beratus-ratus kali ganda di Malaysia. Sebagai contoh, seorang pekerja di sektor pembinaan hanya menerima penengah gaji sebanyak RM2,164 sebulan, manakala CEO pula menerima gaji sebanyak RM438,333 sebulan, iaitu 203 kali ganda lebih tinggi.
Meskipun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) menggalakkan syarikat-syarikat besar yang tersenarai supaya menzahirkan sepenuhnya imbuhan yang diterima setiap ahli pengurusan kanan secara terperinci, hanya segelintir syarikat sahaja yang didapati berbuat demikian. Malah, ada sesetengah syarikat yang pada asalnya menyahut seruan SC dengan menyatakan imbuhan yang diterima pengurusan tertinggi mereka, tidak lagi meneruskan amalan tersebut atas alasan-alasan seperti ‘privasi’, ‘keselamatan peribadi’ serta bagi mengelakkan daripada CEO-CEO mereka ‘dicuri’ oleh pesaing-pesaing mereka.
Lebih aneh, SC sendiri tidak lagi menerbitkan senarai imbuhan CEO-CEO syarikat secara terperinci dalam Laporan Tinjauan Urus Tadbir Korporat sebegaimana yang diterbitkan mereka pada sebelum ini. Kali terakhir imbuhan CEO didedahkan adalah di dalam edisi laporan tahun 2019.
Di dalam buku Confronting Capitalism: Real Solutions for A Troubled Economic System yang ditulis oleh Profesor Philip Kotler, beliau menegaskan bahawa antara isu terbesar pada sistem kapitalisme ialah ia telah menyebabkan agihan pendapatan dan kekayaan menjadi tidak seimbang dalam kalangan masyarakat, terutamanya antara ‘bos-bos’ (termasuk mereka yang terdiri daripada kalangan ahli-ahli lembaga pengarah) dan para pekerja.Â
Hal ini kerana satu perkara yang perlu diingati ialah apabila setiap kali ditunjukkan data mengenai ketidaksamarataan pendapatan yang berlaku di negara ini, boleh dikatakan antara punca terbesarnya datang daripada ketidaksamarataan gaji yang wujud di pejabat-pejabat antara ‘bos-bos’ dan pekerja. Lebih-lebih lagi di Malaysia, 63% sumber pendapatan isi rumah merupakan daripada kategori pekerjaan bergaji, maka sudah tentu ia mempunyai pengaruh yang signifikan dalam menentukan tahap agihan pendapatan.
Profesor Philip Kotler mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah agihan pendapatan yang tidak setara ini, antaranya termasuklah dengan (i) meningkatkan gaji minima, (ii) memastikan sistem cukai adalah lebih progresif, (iii) menutup tempat-tempat perlindungan cukai luar pesisir (offshore tax havens), (iv) menetapkan had nisbah gaji eksekutif tertinggi supaya lebih seimbang kepada gaji pekerja, (v) menutup loophole cukai yang wujud dan (vi) menambah baik program-program bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan.
Tidak dinafikan, perkembangan ekonomi yang rancak dalam beberapa dekad yang lepas telah membawa kepada peningkatan taraf hidup yang lebih baik secara keseluruhannya. Ia dapat dilihat pada akses yang semakin bertambah baik terhadap perkhidmatan-perkhidmatan asas seperti bekalan air yang bersih, tenaga elektrik, akses pendidikan menerusi sekolah-sekolah dan sebagainya. Namun, penambahbaikan tersebut kadang kalanya bergerak dengan perlahan.
Dalam masa yang sama, meskipun negara saban tahun merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik, sebahagian besar rakyat terus dihimpit dengan isu-isu seperti peningkatan kos sara hidup, simpanan persaraan yang tidak mencukupi, keruntuhan sosial, ketidakstabilan politik dan sebagainya yang tidak dapat dicerminkan oleh angka-angka KDNK. Kesemuanya ini sekali gus merisikokan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka dalam jangka masa panjang.
Ia dapat dilihat pada Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) yang diterbitkan secara tahunan dan terdiri daripada dua buah komponen utama, iaitu ekonomi dan sosial. Antara tahun 2000 dan 2021, Indeks Kesejahteraan Ekonomi naik sebanyak 27.2 mata. Walau bagaimanapun, Indeks Kesejahteraan Sosial (yang terdiri daripada sub-komponen seperti kekeluargaan, penyertaan sosial, perumahan, alam sekitar, kesihatan dan lain-lain) didapati meningkat lebih perlahan, hanya sebanyak 14.7 mata dalam tempoh yang sama.
Meskipun KDNK meningkat saban tahun, nisbah pampasan pekerja kepada KDNK di Malaysia hanyalah berada di sekitar 32.4% pada tahun 2023. Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding di negara-negara maju seperti Singapura (38.5%). Dalam masa yang sama, KDNK per kapita adalah enam kali ganda lebih besar berbanding purata pendapatan isi rumah di Malaysia. Jurang yang semakin besar antara KDNK per kapita dan purata pendapatan isi rumah menggambarkan bahawa perkembangan ekonomi yang dicapai tidak dapat dirasai oleh semua orang secara adil.
Sepertimana yang dibincangkan oleh John De Graaf dan David Batker dalam buku mereka yang berjudul What’s the Economy For, Anyway?, rakyat ataupun golongan pekerja telah bekerja keras dalam memacu pertumbuhan ekonomi. Namun, bagaimanakah pertumbuhan ekonomi tersebut sepatutnya memberikan manfaat semula untuk rakyat? Persoalan-persoalan sebegini adalah antara yang wajar untuk dipertimbangkan dalam memaknai Hari Buruh, agar pembangunan ekonomi yang dicapai adalah lebih bersifat manusiawi untuk golongan pekerja. Â
Sekiranya pemikiran dan pendekatan yang mementingkan pembangunan ekonomi berasaskan indikator-indikator materialistik ini tidak diubah, maka hasrat negara untuk mencapai matlamat-matlamat pembangunan yang mampan dan menjamin kualiti hidup yang lebih baik kepada golongan pekerja dan rakyat boleh sahaja dilupakan.
Selamat Hari Pekerja!