Tanggal 24 Februari ini, tumpuan seluruh rakyat di negara ini akan terarah kepada pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Antara ‘acara’ yang paling ditunggu-tunggu setiap kali pembentangan belanjawan negara ialah pengumuman bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Lazimnya, bantuan-bantuan sebegini akan difokuskan kepada golongan yang menerima pendapatan dalam kategori 40% terbawah, juga disebut sebagai golongan B40. Bantuan sosial seperti ini juga secara kebiasaannya memerlukan pemohon untuk mengesahkan jumlah pendapatan isi rumah mereka terlebih dahulu untuk dinilai samada mereka layak ataupun tidak untuk menerima bantuan berkenaan.
Meskipun tidak dinafikan bantuan-bantuan ini banyak membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah di negara ini, sistem klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 yang digunapakai untuk membezakan kelas pendapatan antara rakyat Malaysia penuh dengan pelbagai kemusykilan dan persoalan yang wajar untuk dibangkitkan.
Setiap satu kelas pendapatan ini mempunyai julat pendapatan bulanan yang tersendiri untuk membezakan antara mereka. Bagi isi rumah B40, pendapatan mereka di bawah RM4,360. Manakala bagi isi rumah M40, jumlah pendapatan isi rumah ialah antara RM4,360 hingga RM9,619. Bagi isi rumah yang memiliki pendapatan tertinggi 20%, pendapatan bulanan mereka adalah melebihi RM9,619.
Mengikut statistik terkini dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah Dan Insiden Kemiskinan 2020, jumlah isi rumah dalam kategori B40 dan M40 masing-masing sebanyak 2.78 juta, manakala terdapat 1.33 juta isi rumah T20.
Di negara luar, sistem yang membezakan kelas pendapatan sebegini boleh dikatakan hampir langsung tidak wujud. Sistem yang sering digunakan di negara-negara maju lebih tertumpu kepada golongan termiskin yang mempunyai pendapatan lebih rendah daripada pendapatan garis kemiskinan.
Sekiranya kelas pendapatan dibezakan sekali pun, pengelasan itu hanyalah dibuat untuk melihat perbezaan jurang pendapatan antara rakyat, bukannya dijadikan sebagai asas mekanisme bagi menentukan kelayakan untuk menerima sesuatu bantuan.
Dari sudut sejarahnya, tidak begitu jelas bilakah terma B40, M40 dan T20 ini mula-mula diperkenalkan, sehinggalah menjadi obsesi buat pembuat-pembuat dasar di negara ini sejak beberapa tahun lepas. Hal ini kerana jika diamati dalam Rancangan-Rancangan Malaysia yang terawal, istilah B40, M40 dan T20 ini tidak wujud.
Peningkatan ketidakseimbangan pendapatan antara Bumiputera dan kumpulan etnik Cina ini sebahagian besarnya disebabkan perbezaan pertumbuhan pendapatan isirumah bagi kumpulan 20 peratus tertinggi dan 40 peratus terendah. Bagi isirumah dalam kumpulan 40 peratus pertengahan, kedua-dua Bumiputera dan kumpulan etnik Cina mencatat kadar pertumbuhan pendapatan isirumah yang hampir sama. – Dokumen RMK-7, halaman 70
Istilah B40, M40 dan T20 ini hanya dikesan muncul dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) (1996-2000) ketika pemerintahan Perdana Menteri Keempat Tun Dr. Mahathir Mohamad, seterusnya dipopularkan oleh Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Mohd Najib menerusi pemberian bantuan-bantuan kewangan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang ditujukan kepada golongan B40.
Tidak Mengambil Kira Faktor Saiz Isi Rumah dan Kos Sara Hidup di Negeri yang Berbeza
Klasifikasi pendapatan berdasarkan isi rumah sebegini juga menimbulkan masalah yang besar kerana tanggapannnya seolah-olah semua isi rumah di Malaysia ini memiliki saiz serta jumlah tanggungan yang sama. Sedangkan, realiti sebenarnya sungguh berbeza.
Disebabkan ini, masalah sering timbul bagi menentukan siapakah yang lebih berhak dan layak dalam menerima bantuan-bantuan Kerajaan. Sebagai contoh, sebuah keluarga B40 yang menetap di luar bandar, serta mempunyai dua orang anak mungkin memiliki kehidupan yang lebih selesa berbanding sebuah keluarga M40 yang mempunyai empat orang anak, namun menetap di bandar.
Namun apabila bantuan-bantuan diumumkan Kerajaan, keluarga di luar bandar ini yang menerima bantuan tersebut sedangkan mereka mungkin tidak begitu memerlukannya sepertimana keluarga yang menetap di bandar sebentar tadi, lebih-lebih lagi melihatkan kepada kos sara hidup yang jauh lebih tinggi di bandar.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hampir 90% isi rumah di Malaysia ketika ini adalah mereka yang bersaudara iaitu ahli keluarga. Hampir 10% lagi merupakan isi rumah yang tidak bersaudara seperti individu bujang yang menyewa bilik di tengah ibu kota.
Purata bilangan penerima pendapatan bagi sesebuah isi rumah ialah sekitar 1.8, ataupun jika digenapkan sebanyak dua orang bagi setiap isi rumah. Maka, bagaimana pula dengan individu bujang?
Sistem klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 ini sekali lagi menimbulkan masalah, terutamanya bagi individu bujang. Lebih merumitkan, struktur sesebuah isi rumah yang terdiri daripada individu-individu bujang ini juga berbeza kerana lazimnya mereka mempunyai tahap pendapatan dan perbelanjaan yang berlainan bagi setiap penyewa dalam sesebuah rumah sewa itu.
Maka, konsep isi rumah secara kolektif seperti sesebuah keluarga ini boleh dikatakan tidak terpakai buat mereka. Cuba bayangkan sekiranya sebuah rumah sewa itu disewa oleh empat individu bujang yang masing-masing mempunyai pendapatan dalam lingkungan RM2,500 hingga RM3,000. Maka, jumlah pendapatan isi rumah mereka sudah tentu menyebabkan mereka ini tergolong dalam isi rumah kategori T20, walhal hakikatnya jauh sekali.
Disebabkan inilah ramai dalam kalangan individu bujang di negara ini yang mempertikaikan sekiranya mereka tidak tersenarai untuk menerima bantuan-bantuan kewangan Kerajaan, kerana mereka sering menyangkakan bahawa mereka masih lagi tergolong dalam B40 walaupun sebenarnya tidak.
Contohnya, seorang pekerja bujang yang menerima gaji sebanyak RM2,500 sebulan mungkin beranggapan dia tergolong dalam kategori B40. Namun begitu, sekiranya gajinya didarab dengan 1.8 (purata bilangan penerima pendapatan isi rumah), jumlah pendapatannya menjadi RM4,500, melebihi julat pendapatan yang ditetapkan bagi kategori B40 (<RM4,360).
Mewujudkan Tanggapan Salah B40 = Miskin, T20 = Kaya, Isi Rumah Berpendapatan Sederhana Diketepikan
Antara ‘dosa’ terbesar sistem B40, M40 dan T20 ialah mewujudkan tanggapan bahawa jika sesebuah isi rumah itu B40, maka sudah semestinya keluarga itu miskin. Dalam masa yang sama, sekiranya keluarga itu mempunyai jumlah pendapatan T20, sudah tentu mereka tergolong dalam kategori ‘kayangan’ atau ‘orang kaya-kaya’.

Sekiranya dilihat taburan isi rumah-isi rumah B40, M40 dan T20 ini di manakah mereka tinggal, hampir 87% isi rumah B40 menetap di luar Kuala Lumpur dan Selangor. Hanya lebih kurang 13% sahaja isi rumah B40 yang tinggal di KL dan Selangor.
Satu daripada empat isi rumah M40 didapati menetap di negeri Selangor, menjadikannya negeri teramai yang mempunyai isi rumah kategori M40. Secara perbandingannya, Selangor dan KL mempunyai kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
Dasar Kerajaan yang terlalu memfokuskan kepada B40 sahaja menyebabkan golongan M40 yang menetap di Lembah Klang tercicir daripada menerima sokongan secukupnya, sedangkan kebanyakan mereka menderita daripada isu kemiskinan bandar. Selangor misalnya, merupakan negeri yang memiliki peratusan insiden kemiskinan relatif kedua tertinggi di Malaysia, sebanyak 14.5% pada tahun 2019.
Golongan M40 seringkali terperangkap dalam dilema kerana mereka tidaklah begitu miskin untuk melayakkan mereka menerima bantuan-bantuan Kerajaan, namun dalam masa yang sama mereka tidak cukup kaya untuk meneruskan kehidupan dengan benar-benar selesa.
Begitu juga dengan golongan T20, walaupun nampak seolah-olah mereka ini kaya kerana mempunyai pendapatan yang tinggi, adalah tidak adil dan realistik untuk meletakkan mereka dalam satu kumpulan pendapatan yang sama dengan bilionair-bilionair di Malaysia seperti Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Polisi Seharusnya Mengambil Kira Saiz Isi Rumah dan Lokaliti
Apa yang diperlukan ketika ini ialah untuk menyemak serta merombak semula sistem B40, M40 dan T20 ini bagi memastikan polisi-polisi sosial negara dapat dioptimumkan dengan sebaiknya. Pendekatan yang lebih sesuai ialah dengan menumpukan saiz isi rumah yang berbeza-beza bagi setiap isi rumah. Jika diteliti dalam Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, terdapat hampir 55% isi rumah di Malaysia yang mempunyai saiz isi rumah empat orang dan lebih.

Angka ini sebenarnya agak besar jika dibandingkan dengan saiz isi rumah yang lebih kecil seperti seorang (7.7%), dua orang (18.4%) dan tiga orang (19.3%). Data saiz isi rumah bagi empat orang dan lebih itu boleh dipecahkan lagi bagi melihat sejauh manakah variasi serta perbezaan dalam corak pendapatan dan perbelanjaan bagi sesebuah isi rumah yang mempunyai ahli yang ramai. Lebih-lebih lagi apabila insiden kemiskinan mutlak di Malaysia adalah yang tertinggi bagi kategori isi rumah empat orang dan lebih (15.3%).
Kewujudan data yang lebih terperinci seperti di atas juga membolehkan sistem pengelasan pendapatan untuk diintegrasikan dengan mengambil kira faktor kos sara hidup yang berbeza-beza antara negeri di Malaysia demi mewujudkan sebuah indikator yang lebih komprehensif. Sekiranya pendapatan garis kemiskinan boleh dibezakan mengikut negeri, maka pendekatan yang sama patut diambil dalam membangunkan sistem pengelasan pendapatan di negara ini.
Ada sesetengah bantuan-bantuan kewangan yang diberikan secara ‘runcit-runcit’ dan ‘mengejut’ juga boleh ditukarkan menjadi bantuan bersifat universal yang lebih menjimatkan kos pengurusan (bagi menentukan siapakah yang layak menerima ataupun tidak). Sebagai contoh, bantuan warga emas diberikan menerusi sistem pencen sosial yang bersifat universal di Thailand dan Vietnam.
Sebenarnya tidak menjadi satu masalah sekiranya Malaysia mahu menggunakan sistem ataupun indikator ekonomi yang tersendiri. Kadang-kadang, ada sesetengah sistem yang dibangunkan secara ‘lokal’ ini lebih sesuai dengan konteks dan ciri-ciri masyarakat tempatan.
Misalnya, almarhum Prof Diraja Ungku Abdul Aziz pernah membangunkan sebuah model yang unik dan tersendiri, dinamakan sebagai ‘Indeks Sarong’ bagi mengukur tahap kemiskinan di kampung-kampung di luar bandar suatu ketika dahulu. Namun begitu, indikator atau sistem ekonomi ini haruslah dibangunkan secara lebih rasional, supaya tidak menjejaskan polisi-polisi ekonomi negara yang akan dilaksanakan untuk tempoh jangka masa panjang.