Mengapa Reformasi Pendidikan Sering Gagal di Malaysia?

Share it

Pendidikan kanak-kanak yang berkualiti merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang yang sangat penting untuk terus memacu pembangunan negara. Hal ini kerana kanak-kanak inilah yang akan membawa legasi untuk terus menyumbang kepada negara. Malah, mereka adalah generasi yang akan menjadi pemimpin keluarga, masyarakat dan negara di masa hadapan.

Dari sisi lain pula, akses pendidikan yang berkualiti mampu memberikan peluang mobiliti sosial kepada kanak-kanak tersebut untuk membina kehidupan yang lebih baik, terutamanya buat kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik. Melalui pendidikan, mereka mampu membesar menjadi seorang manusia yang berilmu dan terpelajar, lantas membolehkan mereka lebih berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi serta penglibatan sosial yang lebih aktif, yang mana kesemuanya ini adalah kunci utama untuk meningkatkan taraf hidup serta menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Namun begitu, tahap kualiti pendidikan yang tersedia untuk kanak-kanak ini bergantung kepada sejauh mana keberkesanan dasar-dasar yang direncana di peringkat atasan, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang mengamalkan pendekatan ‘top-down’ seperti di Malaysia. Tanpa dasar pendidikan yang efektif, potensi kanak-kanak ini mungkin tidak dapat dikembangkan sepenuhnya, lantas menyukarkan hasrat negara untuk mencapai pembangunan dan kemajuan yang inklusif.

Jika disingkap sejarah, dasar pendidikan di Malaysia telah mengalami evolusi yang panjang, bermula daripada Ordinan Pelajaran 1957, sehinggalah kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ada pada hari ini. Dasar-dasar pendidikan negara juga terus berkembang seiring dengan peredaran semasa, contohnya seperti Dasar Pendidikan Digital 2023 yang menekankan kepada aspek pendidikan digital. 

Masa bersilih ganti telah memperlihatkan bahawa isu pendidikan kekal relevan apabila sering menjadi topik utama dalam perbahasan di Dewan Rakyat, perbincangan-perbincangan ilmiah di seminar, forum dan sebagainya, mahupun perbualan-perbualan harian dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai laporan dan indikator juga telah dibangunkan bagi menilai pencapaian dan seterusnya mengenal pasti apakah punca serta isu utama yang melanda sektor pendidikan negara.

Misalnya, baru-baru ini Bank Dunia Malaysia telah menerbitkan siri laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) yang terbaru, dengan menampilkan topik pendidikan sebagai tema utama laporan tersebut. Laporan yang berjudul “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills” ini mendedahkan beberapa penemuan yang agak membimbangkan dalam sistem pendidikan negara, terutamanya membabitkan aspek kualiti pendidikan di Malaysia.

Skor PISA Malaysia susut pada tahun 2022

Antara isu yang dikenal pasti ialah kebanyakan pelajar berdepan dengan masalah kemiskinan pembelajaran, terutamanya kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah. Situasi ini berlaku apabila perkara-perkara asas seperti membaca, menulis dan mengira tidak dapat dikuasai dengan baik sejak awal, yang pada akhirnya menyebabkan mereka sukar untuk mengecapi hasil pembelajaran (learning outcome) yang telah dirangka. Selain itu, wujud juga masalah-masalah lain seperti guru ponteng, guru terbeban dengan tugas-tugas tambahan, sekali gus mencerminkan pelaksanaan dasar pendidikan yang masih lemah.

Rentetan laporan ini, Ekonomi Rakyat memfokuskan topik pendidikan untuk dikupas di dalam siri artikel dan wawancara pada kali ini, dengan menemu ramah seorang aktivis pendidikan, Tuan Hasrizal Abdul Jamil, yang juga merupakan Pengarah Pendidikan Yayasan Pendidikan Khalifah. Ketika era Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Tuan Hasrizal pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, mencerminkan pengalaman luas beliau dalam aspek pembangunan dasar pendidikan.

Sistem Pendidikan Bersifat Sistemik, Sukar Diubah Melainkan Secara Keseluruhan (Whole System Reform)

Tuan Hasrizal ketika ditemubual oleh Ekonomi Rakyat secara atas talian

Di awal sesi wawancara, Ekonomi Rakyat telah menanyakan kepada Tuan Hasrizal apakah punca yang menjadikan sistem pendidikan di Malaysia sukar untuk ditambah baik dan seterusnya terhalang daripada mencapai potensi yang sebenar. Keadaan ini berlaku walaupun pelbagai polisi pendidikan telah dirangka dan bajet Kerajaan Persekutuan yang mencecah jutaan ringgit telah dibelanjakan saban tahun terhadap sektor pendidikan negara. 

Menurut Tuan Hasrizal, sistem pendidikan adalah bersifat sistemik, atau dalam erti kata lainnya, ia sangat berkait rapat antara satu sama lain. Ini bermaksud, sebarang perubahan dasar pendidikan yang dilakukan akan mempunyai impak yang sangat besar kepada sekolah, guru dan murid. 

Beliau memberikan contoh isu beg berat yang dihadapi murid-murid sekolah. Solusi yang lebih straightforward ialah dengan mengurangkan atau menghapuskan penggunaan buku teks. Walau bagaimanapun, ianya tidak semudah itu kerana penggunaan buku teks di sekolah-sekolah di Malaysia adalah bersangkut paut dengan pelbagai aspek yang lain melibatkan pedagogi pendidikan yang digunapakai, falsafah pendidikan dan sebagainya. 

…nak mengurangkan buku teks itu kita kena faham kenapa kena ada buku teks. Sebab pendidikan kita, sistem dia, falsafah dia itu bergantung kepada buku teks. Maknanya apa yang nak dipelajari, apa yang nak diajar oleh cikgu memerlukan buku teks itu untuk wujud.”

Beliau menghuraikan bahawa sistem pendidikan di Malaysia masih bersifat essentialism. Apa yang dimaksudkan dengan essentialism ialah silibus pendidikan digubal dengan mengumpulkan kandungan-kandungan ataupun maklumat-maklumat yang dirasakan perlu diketahui oleh seorang kanak-kanak, lalu dimuatkan ke dalam medium seperti buku teks, berbanding memberikan ruang kepada kanak-kanak tersebut untuk meneroka ilmu pengetahuan dengan ruang pembelajaran yang lebih fleksibel dan terbuka. Perkara ini menyebabkan berlakunya kebergantungan yang tinggi kepada buku teks sebagai sumber pembelajaran utama, sehingga menyebabkan isu buku teks berat tidak dapat diselesaikan dengan efektif. 

Kita tak boleh meringankan buku teks dengan menukar daripada buku cetak kepada buku digital, PDF. Kerana kalau dia jadi PDF, maka pedagogi dia bertukar… Jadi basically, nak mengurangkan berat buku teks itu dia memerlukan kepada mengubah kurikulum. Dan nak ubah kurikulum kena ubah falsafah mengajar dan belajar. Dan bila kita tak tackle benda itu, apa jua perubahan yang cuba dibuat akhirnya berbentuk tempelan dan akan ada tersangkut di sana sini.” 

Reformasi Pendidikan Mesti Disepakati Semua Pihak dan Bebas Dari Politik

Tuan Hasrizal turut menjelaskan bahawa perubahan yang dilakukan terhadap sistem pendidikan negara haruslah bersifat menyeluruh, atau disebut sebagai ‘whole system reform’. Beliau yang pernah menetap dan menjadi seorang guru di Finland turut memetik contoh kejayaan reformasi pendidikan di negara Nordik tersebut. Menurut Tuan Hasrizal, reformasi pendidikan berjaya dilakukan di Finland kerana ia disepakati oleh semua pihak, baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang, tanpa sebarang kepentingan atau agenda yang tersendiri.

Namun, perkara yang sama sukar dilakukan di Malaysia kerana ahli-ahli politik lebih gemar berpolitik sepanjang masa yang didorong oleh struktur komposisi kaum di Malaysia. Situasi ini lantas menyukarkan kesepakatan tersebut untuk dicapai bagi menjayakan agenda reformasi pendidikan dengan lebih efektif. Tuan Hasrizal menegaskan bahawa selagi tidak bebas daripada pengaruh politik, reformasi pendidikan akan sukar untuk memperoleh hasil yang diinginkan.

Contohnya ini adalah projek kerajaan semasa. Jadi bila sifat dia macam itu, kalau bertukar kerajaan, kerajaan berikutnya mungkin agak berbelah bahagi untuk meneruskannya. Kerana kalau diteruskan dan berjaya, kreditnya akan dapat kepada kerajaan yang terdahulu mengusahakannya.“

Baca artikel kedua [ klik sini ] Ekonomi Rakyat yang membincangkan mengenai pendidikan di Malaysia.