Mengimbau Krisis Kewangan Asia 1997

mengimbau Krisis kewangan asia
Share it
Kadar Tukaran Matawang berbanding USD

Negara-negara Asia Tenggara sedang melalui zaman kegemilangan pada tahun 90-an. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia secara purata tumbuh sekitar 8.5% dari tahun 1990 hingga 1997. Kadar Pengangguran pula menurun dari 5.1% ke 2.4% dalam tempoh yang sama.

Kewangan negara berada dengan keadaan memberangsangkan apabila mencatatkan belanjawan lebihan untuk lima tahun berturut-turut dari tahun 1992. Anwar Ibrahim yang ketika itu yang memegang jawatan Menteri Kewangan diiktiraf sebagai ‘Minister of Finance of the Year’ oleh majalah kewangan, AsiaMoney pada tahun 1996.

Pelbagai projek-projek mega sedang dijalankan seperti KLCC, KLIA dan Putrajaya yang menelan belanja berpuluh bilion ringgit. Indeks pasaran saham KLCI naik dari 600 mata pada 1990 kepada paras tertinggi lebih 1,200 mata pada awal 1997. Ada yang berhenti kerja semata-mata untuk ‘main saham’.

Namun pada 2 Julai 1997, bibit-bibit kegawatan mula kelihatan di Thailand. Selepas beberapa bulan matawang Baht diserang oleh spekulator-spekulator matawang, kerajaan Thailand terpaksa mengapungkan matawang yang menyebabkan nilai Baht jatuh 14% setelah membelanjakan lebih kurang $40 bilion dari rizab asing untuk mempertahankan nilai Baht.

Malaysia dan beberapa negara lain turut menerima nasib yang serupa. Nilai Ringgit berbanding USD telah susut dari RM2.52 pada Jun 1997 kepada RM4.62 pada Januari 1998 selepas Bank Negara membelanjakan sekitar $1.5 bilion untuk mempertahankan matawang.

Indeks pasaran saham menjunam ke paras terendah iaitu 300 mata dalam tempoh setahun berbanding 1,200 mata pada awal Januari.

Bermula 1 September 1998, Malaysia telah melaksanakan kawalan modal dengan mengehadkan pembelian aset-aset kewangan di Malaysia. Simpanan Ringgit yang berada diluar negara pula dibekukan untuk mengelak spekulasi berpanjangan. Pada 2 September, nilai matawang Ringgit telah ditambat kepada RM3.80 untuk setiap dolar Amerika.

Dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim pula telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sekaligus menambahkan lagi krisis di dalam negara.

Pada 12 September, Bank Negara mengeluarkan kenyataan bahawa wang not RM500 dan RM1,000 tidak akan sah digunakan untuk urusan bermula 1 Julai 1999 dan menyarankan pemegang not ini untuk menukar atau mendepositkan segera wang tersebut ke dalam akaun bank. Orang ramai juga tidak dibenarkan untuk membawa keluar lebih dari RM1,000 daripada Malaysia.

Apa Punca Krisis Kewangan Asia?

Terdapat beberapa pandangan dalam kalangan pakar ekonomi bagi merungkai punca Krisis Kewangan Asia. Ada yang mengatakan bahawa ia berpunca dari serangan matawang oleh spekulator-spekulator antarabangsa. George Soros salah seorang individu yang dikaitkan dengan kegiatan ini oleh Dr Mahathir apabila menggelarkan beliau sebagai moron.

Beliau yang pernah menghuru-harakan ekonomi Britain suatu ketika dahulu dilaporkan turut terlibat dengan dagangan matawang Baht sekitar $1 bilion. Meskipun begitu, beliau menafikan bahawa dirinya menjadi punca krisis matawang di Asia Tenggara dan menyalahkan Bank Pusat Thailand terhadap  kelakuan mereka dalam menguruskan pertukaran matawang.

Soros melalui Quantum Fund bukanlah satu-satunya dana pelaburan ( hedge fund ) yang terlibat dalam urusniaga matawang ini. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa(IMF), dana-dana pelaburan dari seluruh dunia mampu menggerakkan sekitar $600 bilion sehingga $1 trilion untuk dipertaruhkan dengan matawang-matawang lain.

Ada juga menyatakan bahawa ketidakcekapan ekonomi merupakan penyebab kepada krisis ekonomi ini. Pelbagai negara telah mengambil hutang yang agak besar ketika ekonomi sedang rancak sekaligus mendedahkan risiko luar.

Thailand sebagai contoh mempunyai kadar hutang dengan bank luar sebanyak 45% daripada KDNK dengan kebanyakkan merupakan hutang jangka pendek. Indonesia juga tidak terlepas dengan pinjaman yang berisiko tinggi seperti pemberian pinjaman kepada anak Presiden Suharto, Tommy Suharto yang ingin melancarkan projek kereta nasional yang kemudiannya menjadi projek gajah putih.

Hutang-hutang swasta Malaysia pula banyak yang berkait dengan sektor hartanah. Ramai beranggapan bahawa pelaburan besar-besaran dalam sektor ini akan membuahkan keuntungan kerana pemaju-pemaju sedang menyasarkan prospek-prospek dari Hong Kong. Dengan saiz populasi komuniti Cina yang agak ramai, KL dianggap destinasi pilihan ahli-ahli perniagaan Hong Kong memindahkan operasi perniagaan kerana Hong Kong pada tahun 1997 akan diserahkan kembali kepada China.

Kesan Krisis Kewangan Asia Terhadap Ekonomi Malaysia

Krisis Kewangan Asia ini memberikan impak yang mendalam kepada ekonomi Malaysia. Kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang diswastakan dahulu seperti UEM. DanaHarta pula ditubuhkan bagi menguruskan hutang-hutang yang tidak berbayar ( Non-Performing Loan ) dan dilaporkan telah mengambil alih RM45.5 bilion NPL sehingga 31 Disember 1999.

Kadar pengangguran telah meningkat kepada 3.1% pada 1998 dengan 83,865 orang telah dibuang kerja, meningkat 345% berbanding tahun 1997 dimana hanya 18,863 orang dibuang kerja. Kadar kemiskinan turut naik sedikit dari 6.1% pada tahun 1997 kepada 7.0% pada tahun 1998.

Kerajaan turut mengambil langkah berjimat cermat dalam sektor pendidikan. Pelajar yang ditawarkan biasiswa pengajian ke luar negara tidak terbang sebaliknya melanjutkan pengajian di dalam  negara. Institusi pendidikan tinggi swasta serta PTPTN mula diwujudkan bagi memastikan lepasan sekolah mampu meneruskan pengajian mereka di dalam negara.

*Ini kerana pada tahun 90-an, Malaysia telah menghantar ramai pelajar-pelajar mereka ke luar negara. Data pada tahun 1995 menunjukkan 20% ataupun sekitar 100,000 dari keseluruhan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di luar negara.

Berdasarkan tulisan journal bertajuk Bubble Detection in the Malaysian Housing Market

Pasaran hartanah juga tidak terlepas dari tempias Krisis Kewangan Asia. Harga rumah dilaporkan menjunam masing-masing 9% dan 3% pada tahun 1998 dan 1999. KDNK negara pula menguncup 6.7% pada tahun 1998.

Meskipun Malaysia tidak mengambil bantuan IMF seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan dalam menyelamatkan negara dari kegawatan ini, namun Malaysia turut mampu memulihkan ekonomi dengan segera. Ekonomi Malaysia kembali berkembang dengan pertumbuhan 4.3% pada tahun 1999 seiring dengan negara-negara lain sekaligus berjaya keluar dari kemelesetan ekonomi Asia.

** Beberapa rajah diambil dari buku Malaysian Eclipse, Economic Crisis and Recovery yang disunting oleh Prof Jomo KS.