Bank Negara Malaysia dijadualkan akan mengumumkan keputusan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada 8 September ini dimana penganalisis ekonomi meramalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka akan ditingkatkan.
OPR ataupun kadar bunga/faedah merupakan salah satu alat penting bagi mempengaruhi aktiviti ekonomi. Di Malaysia, jawatankuasa dasar monetari yang dianggotai oleh sembilan orang ahli bersidang selama enam kali setahun .
Sejak Mei lalu, Bank Negara telah secara perlahan-lahan meningkatkan kembali kadar bunga dari 1.75% kepada 2.25% seperti yang ditetapkan pada mesyuarat terakhir pada 6 Julai 2022. Bank Negara di dalam laporan prestasi ekonomi suku kedua terus memberi bayangan untuk terus meningkatkan kadar bunga ke paras asal.
“It is important to remember that we are coming from a historically low OPR level. This means that despite the OPR adjusments, monetary policy would remain accomodative this year to support the economic recovery. Going forward, the MPC will continue to assess evolving conditions and tehir impolications on the overall outlook to domestic inflation and growth. Any future policy rate adjustment would be done in a measured and gradual way”
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Shamsiah Yunus juga memberi penerangan di sebalik rasional langkah berkenaan. Menurut beliau, peningkatan kadar bunga adalah bertujuan untuk mengekang inflasi yang didorong oleh permintaan setelah permintaan domestik kembali pulih.
OPR juga perlu ditingkatkan secara berkala bagi memastikan Bank Pusat tidak berada di dalam situasi dimana mereka perlu meningkatkan OPR secara drastik yang mungkin membebankan orang ramai.
Meskipun peningkatan kadar bunga sesuatu yang telah dijangka, namun langkah ini bukanlah satu tindakan yang popular buat rakyat. Hal ini kerana peningkatan OPR akan menyebabkan bayaran ansuran untuk sebilangan jenis pinjaman seperti pinjaman perumahan, pembiayaan peribadi ataupun pembiayaan pelaburan meningkat.
Rentetan itu, terdapat pihak yang mendesak Bank Negara untuk terus mengekalkan kadar bunga pada paras yang rendah buat seketika waktu. Antara individu yang melakukan gesaan ini adalah Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda UMNO.
Jelas di sini kenaikan OPR tidak akan dapat menurunkan kadar inflasi walaupun permintaan domestik mungkin sedikit berkurangan kerana inflasi yang tinggi ketika ini bukan didorong oleh tarikan permintaan yang berlebihan.
Di negara kita pula, keputusan Kerajaan untuk tidak menaikkan harga bahan api (petrol dan diesel) , tarif elektrik dan air jelas lebih berjaya menahan kadar inflasi dari melambung lebih tinggi seperti di negara lain. Justeru, tidak perlulah BNM menaikkan OPR yang berisiko memberi dampak negatif dan kontradik dengan Pelan Pemulihan Ekonomi yang dirancang.
– Dr Asyraf Wajdi Dusuki, 3 September 2022
Turut berkongsi pandangan yang serupa adalah Prof Jomo KS, tokoh ekonomi negara yang telah diwawancara oleh Ekonomi Rakyat pada Ogos lalu. Beliau menyifatkan bahawa langkah menaikkan kadar bunga tidak akan meredakan inflasi kerana punca inflasi didorong oleh kejutan bekalan akibat wabak Covid-19.
Jomo menjelaskan bahawa konflik Ukraine-Rusia telah menyebabkan harga komoditi meningkat. Menurut beliau, eksport gandum buat Ukraine yang telah terjejas akibat konflik Ukraine-Rusia sekaligus menyumbang kepada peningkatan harga makanan.
Selain itu, sekatan terhadap perdagangan Rusia juga telah mengakibatkan harga minyak global melonjak tinggi.
Jomo yang merupakan bekas Pembantu Setiausaha Agung Pembangunan Ekonomi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga menyifatkan langkah meningkatkan kadar bunga bagi meredakan inflasi sebagai tidak praktikal.
” Hujah-hujah yang dikemukakan itu (untuk meningkatkan kadar bunga bagi mengawal inflasi) dari segi teorinya boleh diterima akal. Tapi dari segi praktikal dan apa yang sedang berlaku di dunia mahupun di Malaysia, ini tidak boleh diterima akal. “
Beliau yang ditemuramah secara atas talian itu sempat mengkritik obsesi sebilangan Bank-Bank Pusat di seluruh dunia terhadap sasaran inflasi (inflation targeting).
” Soal apa yang dikatakan inflation targeting (sasaran inflasi). Ini satu khayal besar. Menteri Kewangan New Zealand (ketika itu) dia main politik sebenarnya. Dia nak cari cogan kata untuk tarik undi. Akhirnya, ia menjadi satu mazhab bagi Bank Pusat di seluruh dunia. “
Sasaran inflasi merupakan salah satu dasar monetari yang ingin dicapai oleh sebilangan Bank-Bank Pusat di seluruh dunia bagi mengecapi kestabilan harga. New Zealand merupakan negara pertama yang memperkenalkan sasaran inflasi sekitar 2% pada tahun 1989 dan kini diadaptasi oleh beberana Bank Pusat lain.
Jomo mengingatkan peningkatan kadar bunga memberi kesan yang meluas kepada masyarakat kerana ramai pihak mempunyai pinjaman dan pembiayaan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Shamsiah ketika ditemuramah oleh Berita Harian pada Julai lalu bagaimanapun menjelaskan bahawa kenaikan kadar bunga tidak meningkatkan kadar ansuran pinjaman secara ketara.
“Contohnya, bagi pinjaman perumahan bernilai RM300,000 untuk tempoh 35 tahun, kenaikan OPR sebanyak 50 mata asas akan meningkatkan bayaran balik bulanan sebanyak RM85, manakala bagi pinjaman perumahan bernilai RM500,000 untuk tempoh sama, peningkatan adalah sebanyak RM142,”
-Tan Sri Shamsiah Yunus, 21 Julai 2022
Lihat Dari Keseluruhan Aspek
Meskipun bayaran ansuran tidak meningkat ketara secara langsung, namun kesannya mungkin memberi bebanan yang besar buat sebilangan pihak. Simulasi mudah Ekonomi Rakyat menunjukkan bayaran ansuran ketika ini (2.25%) telah meningkat sekitar 8% berbanding bayaran ansuran pada waktu pandemik dimana OPR berada di paras terendah iaitu 1.75%.
Jika OPR dinaikkan ke paras 3.25% seperti sedia kala kelak, peminjam perlu membayar sekitar 25% lebih tinggi berbanding bayaran ansuran pada ketika pandemik. Ini sudah pastinya membebankan pembayar jika pendapatan mereka tidak meningkat pada kadar yang lebih tinggi.
Andai pendapatan mereka tidak berubah, pendapatan boleh guna mereka juga mungkin berkurangan setelah caruman bahagian pekerja kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja kembali dinaikkan pada Julai lalu kepada 11% berbanding 9% ketika pandemik.
Harus diingatkan bahawa sebahagian besar pekerja di Malaysia mempunyai gaji yang begitu rendah. 56.7% atau 5.32 juta pekerja bergaji di Malaysia hanya mempunyai gaji kurang dari RM2,500 sebulan. Angka ini jauh lebih rendah berbanding gaji wajar sebanyak RM2,700 ditetapkan oleh Bank Negara untuk pekerja yang tinggal di Kuala Lumpur.
Pengurangan 2% pendapatan boleh guna sudah semestinya memberi kesan besar buat mereka yang bergaji kecil.

Penyelidik ekonomi, Dr Zouhair Rosli dari DM Analytics berkata isu inflasi juga memberi kesan yang teruk buat isi rumah di Malaysia ketika ini terutamanya golongan berpendapatan rendah. Ini kerana kumpulan ini membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka terhadap barangan keperluan asas yang mengalami kenaikan inflasi yang tinggi.
Keluarga yang berpendapatan rendah memperuntukkan perbelanjaan bulanan yang lebih tinggi untuk barangan keperluan asas berbanding keluarga yang berpendapatan tinggi. Daripada jumlah perbelanjaan bulanan, kumpulan B40 memperuntukkan 37% untuk makanan di rumah dan di kedai, berbanding hanya 26% yang diperuntukkan untuk makanan di kalangan golongan T20.
Secara purata, keluarga B40 akan berbelanja sebanyak RM1,200 untuk makanan setiap bulan, di mana sekitar RM800 dibelanjakan untuk barangan dapur dan RM400 dibelanjakan untuk pembelian makanan di kedai. Pada Julai lalu, harga barang mentah untuk dimasak di rumah telah meningkat sebanyak 6.1%. Begitu juga dengan makanan di kedai (di luar rumah) di mana harga telah meningkat sebanyak 6.6%.
Akibatnya, perbelanjaan tambahan yang harus dihadapi oleh keluarga B40 ini adalah sebanyak RM75 sebulan. Ini bukanlah satu jumlah yang sedikit. Ianya akan memberi impak yang besar terhadap item perbelanjaan asas lain seperti bayaran elektrik atau wang saku perbelanjaan anak-anak mereka di sekolah.

Beliau juga berkata inflasi untuk barang yang kerap dibeli oleh rakyat mengalami kenaikan harga melebihi kadar inflasi yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Kadar inflasi untuk rakyat kebanyakan berkemungkinan adalah lebih tinggi berbanding dari apa yang diumumkan oleh berita di luar sana. Sebagai contoh, IHP yang dilaporkan setiap bulan mengambil kira 833 item barangan dan perkhidmatan. Rakyat kebanyakan tidak mungkin membeli kesemua 833 item ini.
Justeru, jika dilihat pada beberapa item barangan yang mungkin selalu dibelanjakan oleh rakyat, kadar inflasi adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, kadar inflasi yang diumumkan bagi bulan Julai 2022 ialah 4.4%. Tetapi, jika diambil kira barangan keperluan bulanan yang selalu dibeli oleh rakyat, kadar inflasi adalah lebih tinggi, iaitu pada tahap 5.3%. Item barangan dan perkhidmatan asas ini merangkumi makanan di rumah dan kedai, bayaran sewa rumah, penginapan, dan kos penyelenggaraan kenderaan.
OPR Naik – Berita Baik Untuk Industri Perbankan
Industri perbankan antara penerima manfaat terbesar dari peningkatan OPR di Malaysia. Pulangan ekuiti (ROE) untuk kebanyakan bank dijangka merekodkan pulangan melebihi 10% pada tahun ini manakala margin pendapatan bersih (NIM) diramalkan meningkat sehingga 4% bagi setiap kenaikan sebanyak 25 mata asas.

Bagi suku kedua tahun ini, industri perbankan merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11.2 bilion, 17.2% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Penurunan kos rosot nilai dan peruntukan-peruntukan lain menyumbang kepada peningkatan semula keuntungan sektor ini.
Walaubagaimanapun, cukai makmur setinggi 33% dijangka memberi implikasi tinggi buat keuntungan bersih syarikat-syarikat perbankan yang rata-rata merekodkan keuntungan sebelum cukai jauh melebihi RM100 juta.
Bank Negara Dijangka Ikut Rentak Bank-Bank Pusat Di Negara Lain
Trend meningkatkan kadar bunga setelah ekonomi kembali memulih bukan saja diamalkan oleh Bank Pusat negara ini. Beberapa negara lain juga telah meningkatkan kadar bunga mereka pada kadar yang lebih agresif lagi.
Bank Pusat Amerika Syarikat misalnya telah meningkatkan Fed Fund Rate sebanyak 75 mata asas dari 1.75% kepada 2.50% pada Julai. Situasi ini turut mendorong kepada pengukuhan Dolar Amerika sekaligus menyebabkan menyebabkan nilai matawang-matawang asing susut akibat aliran modal ke Amerika Syarikat.
Indeks Dolar Amerika (DXY) telah meningkat kepada 109.2 berbanding 96.2 pada awal tahun ini. Nilai matawang Ringgit berbanding Dolar Amerika juga susut 7.7% dari RM4.18 pada awal tahun ini kepada hampir RM4.50 ketika ini.
Fenomena ini turut menyumbang kepada inflasi di Malaysia.

Bank Negara Malaysia juga tidak terkecuali untuk meneruskan siri peningkatan OPR bagi mengawal permintaan domestik seperti yang dijelaskan sebelum ini. Walaupun langkah ini selari dengan teori buku teks ekonomi, namun keberkesannya bagi mengawal inflasi di dunia sebenar masih lagi dipersoal.
Tambahan lagi apabila data-data menunjukkan peningkatan kos komoditi yang menyumbang kepada inflasi tinggi di seluruh dunia.
One thought on “” Naikkan OPR Tidak Akan Redakan Inflasi ” – Tokoh Ekonomi”
Comments are closed.