Negara-Negara Kaya Bolot Bekalan Vaksin Covid-19

Share it
Ketua Pengarah WHO sarankan untuk negara-negara kaya menderma vaksin kepada program COVAX

Negara-negara kaya di Barat terus memonopoli bekalan vaksin Covid-19 sekaligus memberikan tekanan buat negara-negara miskin dan membangun dalam menangani penularan wabak ini.

Situasi ini turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom yang menyuarakan isu ini sejak Febuari lalu dimana negara-negara kaya dengan 16% populasi dunia membolot 60% bekalan vaksin yang dikeluarkan.

Amerika Syarikat misalnya telah memberikan vaksin penuh kepada 119 juta orang bersamaan dengan 36% populasi negara tersebut. Manakala Malaysia sebagai perbandingan hanya berjaya memberikan vaksinasi penuh kepada 2.3% penduduk iaitu seramai 728,000 orang.

Jumlah suntikan harian vaksin Malaysia juga jauh lebih rendah iaitu sekitar 25,000 suntikan sehari, manakala di Amerika Syarikat sebanyak lebih 2 juta dos diberikan setiap hari.

Ketamakan beberapa negara barat yang juga pengeluar vaksin ini tidak terhenti di situ. Amerika Syarikat pada ketika ini sedang mempertimbangkan pula untuk memberikan vaksin kepada remaja dan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun setelah sebahagian besar warga dewasa di negara itu telah menerima vaksin.

Perkara ini terus menjadi isu kritikal terhadap agihan vaksin-vaksin terhadap negara-negara lain. Malaysia yang masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19 tidak terkawal tidak dapat membentuk imuniti kelompok dengan segera jika bekalan vaksin yang tiba di negara ini tidak mencukupi.

Purata kes harian Covid-19 di Malaysia kekal tinggi

Menurut laporan Bloomberg, Malaysia memerlukan hampir lima tahun untuk mencapai imunisasi kelompok dengan liputan sebanyak 75% kepada populasi. Proses vaksinasi yang perlahan ini sememangnya bakal memberi kesan dalam mengawal penularan Covid-19.

Vaksin sudah terbukti berkesan di beberapa negara dalam mengurangkan kes-kes baru Covid-19. Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel telah membuktikan bahawa penularan dapat dibendung dengan segera jika proses vaksinasi dijalankan dengan pantas.

Gesaan untuk memberikan pengecualian terhadap hak harta intelektual vaksin disambut baik oleh Amerika Syarikat namun masih tiada sebarang perkembangan positif. Syarikat-syarikat pengeluar vaksin seperti Pfizer juga agak dingin untuk membenarkan pihak lain untuk mengeluarkan vaksin kononnya ia bakal menjejaskan keselamatan vaksin tersebut.

Jika pengecualian hak harta intelektual dapat diberikan terhadap paten vaksin, ia mungkin bakal memberi ruang untuk vaksin dikeluarkan secara besar-besaran di seluruh dunia sekaligus mempercepatkan proses vaksinasi. Meskipun begitu, ada beberapa pihak yang masih menentang cadangan ini.

Hanya 0.3% bekalan vaksin diberikan kepada negara-negara miskin

Bill Gates umpamanya berpendapat bahawa pengeluar ubat-ubatan di negara-negara lain tidak mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengeluarkan vaksin dengan efisien.

Malaysia Terus Dibelenggu Pandemik Covid-19 Yang Berpanjangan

Vaksin sudah semestinya bukan menjadi jalan keluar buat Malaysia dalam menangani penularan wabak ini. Setelah lebih setahun pandemik ini menjangkiti rakyat Malaysia, tiada tanda-tanda positif dapat dilihat bahkan kes-kes baru semakin meningkat.

Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dilaksanakan selama sebulan sejak 12 Mei lalu belum pasti memberikan impak segera dalam mengurang jangkitan kes baru. Bahkan, ia mungkin bakal mengambil masa lebih tiga bulan dalam usaha mengurangkan kes ke tiga angka.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham meluahkan rasa kesalnya terhadap PKP2.0 dimana beliau menyatakan kelonggaran mungkin diberikan terlalu awal sehingga telah mengakibatkan jangkitan kembali meningkat.

Kerajaan juga kelihatan seperti mati akal dalam menguruskan pandemik ini. Sebilangan rakyat Malaysia lebih rela untuk diadakan PKP yang lebih ketat agar jangkitan dapat dikurangkan dengan segera. Namun dari sudut ekonomi, PKP yang ketat bakal merencatkan aktiviti ekonomi terutamanya sektor pembuatan yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.

Meskipun beberapa entiti berautoriti menyatakan PKP3.0 hanya memberi kesan minima terhadap ekonomi. Hakikatnya, peniaga-peniaga kecil lah yang amat terkesan sekali dengan PKP3.0 kerana tidak lagi boleh berniaga.

Peniaga bazar misalnya tidak dapat berniaga untuk beberapa hari terakhir Ramadan yang merupakan waktu puncak buat orang ramai dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Pengusaha restoran juga sudah pastinya terkesan apabila pelanggan tidak lagi boleh makan di kedai.

Bagi tauke-tauke kilang, PKP3.0 tidak terlalu memberi kesan yang signifikan kerana kilang mereka boleh beroperasi pada kadar maksimum. Ekonomi global juga memacu sektor-sektor ini susulan pemulihan yang pesat terutamanya di Amerika Syarikat dan China.

Golongan rentan antara yang paling terkesan dengan pengenalan PKP3.0 ini. Pengeluaran wang i-Sinar sebagai contoh telah berada di fasa pengakhiran. Simpanan juga sudah habis selepas melalui dua PKP yang terdahulu.

Setelah lebih setahun berdepan dengan pandemik ini, ” the light at the end of the tunnel ” masih belum kelihatan buat Malaysia.