Pakej Rangsangan Ekonomi – Ada Dasar yang Tersasar

Share it

 

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan empat pakej rangsangan ekonomi berikutan krisis Covid-19. Pakej pertama diumumkan oleh Tun Mahathir dengan peruntukan RM3 bilion, pakej kedua diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan suntikan fiskal RM22 bilion. Pakej rangsangan ketiga pula ditujukan khas kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan peruntukan RM10 bilion dan diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dengan tambahan RM10 bilion.

Keseluruhan, kerajaan Malaysia akan membelanjakan RM45 bilion bagi melaksanakan segala polisi yang direncanakan di dalam pakej rangsangan tersebut yang bersamaan dengan 3% KDNK negara.

Kesan Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia sememangnya amat besar sekalipun kita kini sedang memasuki fasa pemulihan. Laporan Jabatan Statistik dalam tinjauan khas menunjukkan 46.6% atau 1.2 juta self-employed ( pekerja yang bekerja sendiri ) telah kehilangan pekerjaan. Dalam kalangan mereka yang bekerja pula, ramai yang telah kehilangan pendapatan melebihi 90%.

Ketua Perangkawan menjangkakan kadar pengangguran tahun di Malaysia dijangka meningkat kepada 5.5% pada tahun ini manakala di Amerika Syarikat, 40 juta orang pekerja telah menuntut bantuan pengangguran.

Di peringkat global, ramai pihak turut berpendapat bahawa krisis ini antara yang terburuk di dalam sejarah. Bank of England menjangkakan krisis ini akan membawa ekonomi mereka ke dalam kemelesetan yang dianggap antara yang terburuk di dalam tempoh 300 tahun.

Tidak dinafikan, pelbagai dasar yang telah diperkenalkan berjaya meringankan beban ketika krisis Covid-19 ini. Bantuan tunai kepada isi rumah sebanyak RM1,600 dan RM800 kepada individu bujang memberikan ruang bernafas buat mereka yang sedang sesak. Program subsidi upah pula ibarat memberikan nyawa kepada perniagaan dalam mengurangkan kos perniagaan tatkala dihimpit Covid-19. Kos bulanan kad pengangkutan awam yang dikurangkan kepada RM30 juga mampu meringankan mereka yang berulang-alik bekerja menaiki pengangkutan awam.

Namun begitu, terdapat mereka yang tersisih daripada menerima manfaat bantuan. Mereka yang bekerja sendiri ( self-employed ) yang kini bergelut untuk memulakan semula pekerjaan mereka tidak meraih bantuan susulan. Berbeza dengan pekerja makan gaji, dimana mereka terus menerima subsidi upah sehingga RM1,200 yang mana sedikit sebanyak menjamin pekerjaan mereka. Di Singapura, self-employed yang terkesan denga Covid-19 menerima sehingga sembilan bulan bantuan tunai daripada kerajaan sebanyak RM1,466 sebulan.

Ada juga langkah kerajaan di dalam pakej rangsangan yang tidak kena pada waktunya. Contohnya, penjawat awam persekutuan gred 56 kebawah diberikan bantuan RM1000. Golongan ini adalah golongan yang paling tidak terkesan dengan Covid-19. Risiko mereka kehilangan kerja adalah amat-amat rendah dan mereka juga tidak ada risiko gaji lambat dibayar.

Peruntukan berjumlah RM1.7 bilion ini sebaiknya boleh digunakan untuk membantu golongan yang betul-betul memerlukan seperti golongan self-employed tadi. Untuk frontliners yang bertungkus lumus melandailkan lekuk, elaun tambahan wajar diberikan bahkan patut disalurkan juga kepada pekerja-pekerja kebersihan di hospital.

Dasar kerajaan memotong cukai jualan untuk pembelian kereta juga amat pelik. Tatkala kerajaan bergelut dengan kekangan fiskal, memotong cukai jualan untuk barangan-barangan ‘durable‘ adalah tidak economic dan membebankan lagi kantung kerajaan. Langkah ini hanya menguntungkan sebilangan kecil golongan kaya yang ingin membeli kereta.

Sementara itu, golongan B40 seperti Mak Cik Kiah atau Kak Radziah tidak mendapat apa-apa manfaat daripada polisi sebegini. Tidak terdetik di hati mereka untuk membeli kereta baru di saat mereka sedang bergelut untuk memastikan nasi cukup di atas meja. Siapa yang untung dari polisi ini? Datuk Lim juga lah yang memperoleh penjimatan RM30 ribu daripada potongan cukai jualan apabila membawa keluar kereta Mercedes Benz S-Class dari showroom.

Begitu juga dengan langkah kerajaan berkaitan industri hartanah. Ada tiga inisiatif utama yang diumumkan kerajaan iaitu pengecualian duti setem untuk rumah baru berharga RM300,000 ke RM2.5 juta, margin pinjaman untuk rumah ketiga dan ke atas dinaikkan daripada 70% kepada 90% untuk rumah berharga RM600,000 ke atas, dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah dari tempoh 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021.

Jika dilihat, kesemua inisiatif ini tidak dapat membantu Makcik Kiah yang menjual pisang goreng di tepi jalan. Jelasnya, inisiatif ini menguntungkan pelabur hartanah yang sudah tentunya tergolong dalam golongan T20, dan juga pemaju perumahan (developer). Sewajarnya, golongan ini dikenakan cukai yang lebih tinggi bagi membantu kewangan negara, sebaliknya, diberi potongan cukai pula.

Apapun, dibimbangi langkah ini akan mengakibatkan harga rumah akan terus melonjak atau stabil, sedangkan apa yang didambakan oleh rakyat marhaen dan anak muda adalah harga rumah yang lebih rendah. Ditambah dengan kadar faedah (interest rate) yang rendah sekarang, sudah pasti golongan yang mempunyai modal akan mendapat laba yang besar apabila ekonomi kembali pulih nanti.

Apa lagi yang harus dilakukan?

Pertama, Skim Bantuan Pendapatan Pekerja Sendiri (SIRF).

Tidak seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak sebelum ini, peratusan pekerja sendiri yang tinggi tidaklah menggambarkan keadaan yang bagus bagi sesebuah negara. Sebaliknya ianya menggambarkan pendapatan per kapita yang lebih rendah dan menandakan keadaan ekonomi yang tidak stabil bagi sesebuah negara.

Jumlah pekerja sendiri telah meningkat lebih dua kali ganda daripada 1.15 juta (1982) kepada 2.7 juta (2018). Peratusan sumbangannya kepada keseluruhan pekerja juga menunjukkan peningkatan daripada 16.4 peratus (2010) kepada 18.1 peratus (2019); 2.7 juta pekerja. Hampir 2 dari 5 (37%) mereka yang bekerja sendiri adalah mereka yang berada di sektor informal; 1.06 juta pekerja.

Sektor informal bermaksud mereka tidak mendaftar perniagaan mereka dengan SSM. Mereka ini juga sudah tentu tiada akses kepada Keselamatan Sosial; tiada caruman KWSP atau PERKESO.

Malaysia mempunyai peratusan mereka yang bekerja sendiri lebih tinggi (18%) berbanding Singapura (14%), tetapi Malaysia tidak memberi apa-apa bantuan berbentuk tunai kepada mereka yang bekerja sendiri. Mereka inilah antara yang paling teruk terjejas akibat PKP; hilang perniagaan kecil-kecilan justeru hilang punca pendapatan. Seorang Makcik Kiah di Singapura sedang menerima bantuan sebanyak RM1,466 setiap bulan sepanjang tahun ini, dan bukan secara one-off.

Malaysia juga mampu melakukan perkara yang sama. Setakat ini kita mempunyai 1.3 juta pekerja sendiri yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 sebulan. Jika mereka diberi bantuan sebanyak RM1,000 sebulan selama 6 bulan sehingga hujung tahun ini, kos keseluruhan bagi tempoh ini ialah sebanyak RM7.8 billion.

Bagi mereka yang tidak berdaftar i.e. tiada rekod SSM dsb, atau pekerja sendiri di dalam sector informal, pendaftaran boleh dilakukan dengan syarat untuk pendaftaran haruslah dilonggarkan supaya pengkalan data dapat juga melibatkan mereka yang tidak berdaftar. Ini akan memudahkan lagi pembuat dasar untuk menentukan golongan pekerja sendiri yang memerlukan bantuan terutamanya pada masa sekarang dan juga masa hadapan. Krisis COVID-19 ini tidak akan mengajar kita apa-apa jika kita tidak bertindak dengan sewajarnya.

Kedua, kelayakan secara automatik untuk penerima Subsidi Upah

Meletakkan syarat supaya majikan harus memohon terlebih dahulu hanya akan melambatkan proses pemberian Subsidi Upah. Singapura memberi Subsidi Upah secara automatic kepada kesemua pekerja-pekerja mereka, menggunakan data “KWSP” mereka. Ianya berdasarkan kepada peratusan jumlah bayaran KWSP yang dibayar oleh majikan pada setiap bulan. Subsidi Upah ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura setiap bulan sehingga December 2020.

Malaysia juga mampu untuk berbuat demikian. Bagi mereka yang tiada akaun KWSP atau majikan tidak membuat bayaran KWSP kepada pekerja mereka, mereka punya hanya satu pilihan iaitu mendaftar dengan KWSP.

Inisiatif ini akan memberi Tiga manfaat:

  1. Meningkatkan jumlah majikan dan pekerja yang berdaftar dengan KWSP
  2. Pekerja akan menerima bayaran KWSP daripada majikan setiap bulan
  3. Bayaran Subsidi Upah dapat disampaikan dengan cepat dan tidak perlu memproses permohonan sekali lagi seperti yang dilakukan sekarang.

Ketelusan di dalam pelaksanaan program subsidi upah juga perlu ditangani. Kerajaan melalui laporan LAKSANA yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan gagal menyatakan berapa jumlah subsidi upah yang telah dibayar. Data yang dikongsi hanya menunjukkan berapa jumlah subsidi yang telah diluluskan kepada majikan bukannya berapa yang telah disalur.

Ketiga, Program Pekerjaan Awam (PEP)

Inisiatif jangka pendek ini boleh dirangka bertujuan untuk memberi pekerjaan kepada mereka yang hilang pekerjaan pada masa ini. Insentif ini akan di jayakan sepenuhnya oleh kerajaan dan bukan mengharapkan atau “menggalakkan” syarikat swasta untuk menjayakan inisiatif ini.

Jenis pekerjaan yang akan ditawarkan oleh kerajaan adalah pekerjaan di sector-sektor yang lebih banyak bergantung kepada tenaga buruh, seperti:

  1. Kerja-kerja penyelenggaraan; termasuk membaiki sekolah daif di kawasan pedalaman dsb
  2. Penjagaan alam sekitar
  3. Penjagaan / care work
  4. Kerja-kerja pejabat / Office work

Pekerjaan-pekerjaan ini boleh diwujudkan bukan sahaja di dalam sektor kerajaan, tetapi juga di syarikat-syarikat milik kerajaan lain yang berkaitan. Tempoh pekerjaan adalah fleksibel; kontrak 3 – 9 bulan. Kerajaan akan membayar gaji sebanyak RM1,800 sebulan sepanjang tempoh ini. Jumlah gaji ini adalah lebih berperikemanusiaan daripada RM600 di bawah Pakej Insentif Pengambilan Pekerja yang diumumkan untuk para graduan semalam.

Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 730,000 mereka yang sedang mencari pekerjaan (230,000 graduan dan 500,000 bukan graduan). Jumlah kos yang terlibat ialah sebanyak RM11.8 billion. Ini adalah lebih bermanfaat pada ketika ini daripada membelanjakan RM10 billion hanya untuk BPN yang juga hanya diberikan untuk 2 bulan.

Banyak lagi langkah-langkah penambahbaikan boleh dilaksanakan bagi mempercepatkan lagi kadar pemulihan ekonomi Malaysia. Pada detik ini, ia bukan tentang soal berbelanja, namun apa yang lebih penting adalah setiap Ringgit yang dibelanjakan itu memberikan pulangan maksimum kepada negara. Oleh itu, merangka dasar yang kena dengan keadaan ekonomi kita sekarang adalah amat mustahak pada ketika ini.

KASIM JAILANI adalah pembaca Ekonomi Rakyat