Laporan Survei Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk suku keempat 2020 mendedahkan masalah besar di dalam pasaran buruh di negara ini. Kadar pengangguran telah meningkat dari 3.2% pada suku keempat 2019 kepada 4.5% pada suku terakhir tahun lalu.
Jumlah orang menganggur meningkat 39% dari 546,600 orang kepada 760,700 dalam tempoh setahun. Kadar Pernyertaan Tenaga Buruh ( KPTB ) di seluruh negara pula turut jatuh 0.3 mata dari 69.1% kepada 68.8% dalam tempoh yang sama.
KPTB dalam kalangan tenaga kerja wanita jatuh dengan mendadak. Pada suku keempat 2019, KPTB wanita di Malaysia adalah setinggi 56.1% namun kini ia jatuh kepada 55.3%. Paras ini adalah bersamaan dengan kadar yang dicatatkan pada suku kedua tahun 2018.
Jumlah wanita yang mempunyai kerja juga jatuh sebanyak 75,100 orang dari 5,963,700 orang kepada kepada 5,888,600 orang dalam tempoh setahun. Jumlah wanita yang berada di luar tenaga buruh pula meningkat hampir 170,000 orang dari 4.83 juta kepada 5.0 juta.
Anggaran Ekonomi Rakyat menunjukkan sekitar 160,000 orang wanita yang berada dalam lingkungan umur bekerja telah keluar dari pasaran buruh disebabkan krisis Coronavirus yang tidak berkesudahan ini.
Bergerak Ke Belakang…… Kita Gagal Capai Matlamat RMK-11
KPTB wanita merupakan aspek penting di dalam pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Negara-negara maju rata-rata mempunyai KPTB wanita yang tinggi sekaligus membantu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi. KPTB wanita di Australia sebagai contoh adalah setinggi 67.6% manakala di Perancis adalah sebanyak 68%.
Manakala bagi negara-negara kurang maju seperti Afghanistan ataupun Sudan, KPTB wanita berada di paras minimum iaitu masing-masing pada 21% dan 31%.
Secara rasminya, Malaysia telah gagal dalam mencapai sasaran yang ditetapkan melalui Rancangan Malaysia ke-11 apabila KPTB wanita telah jatuh dan tidak menepati sasaran. Malaysia menetapkan untuk mencapai KPTB wanita sebanyak 59% menjelang tahun 2020 manakala pada kajian pertengahan penggal RMK-11, Malaysia merendahkan sasaran kepada 56.5%.
Namun, survei yang dikeluarkan telah menunjukkan kita semakin terkebelakang apabila KPTB wanita turun 0.8 mata. Ini bermaksud segala usaha kita untuk meningkatkan KPTB wanita pada tahun 2019 telah menjadi sia-sia apabila paras penyertaan tenaga buruh wanita jatuh ke paras yang dicatatkan pada suku kedua 2018.
Kerajaan seharusnya melakukan sesuatu bagi memastikan wanita kekal berada di pasaran buruh bagi mengoptimumkan potensi wanita-wanita di Malaysia. Meskipun tenaga buruh wanita hanya 39% berbanding keseluruhan tenaga buruh di negara ini, namun kemahiran mereka amat tinggi kerana wanita merangkumi 60% dari pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Statistik KPTB yang semakin rendah di Malaysia boleh dijelaskan secara mudah terutamanya apabila negara terkesan teruk dengan pandemik Covid-19. Wanita mungkin memutuskan untuk tidak lagi keluar bekerja kerana pulangannya yang lebih rendah berbanding keadaan pada sebelum pandemik.
Sebagai contoh, jika wanita tersebut bergaji RM2,500 sebelum Coronavirus tular di negara ini, ia lebih menguntungkan untuk beliau mencari rezeki di luar sana sementara anak-anak dihantar ke tempat asuhan tatkala beliau pergi bekerja. Namun kini, jika gaji ditawarkan hanya RM1,200, beliau mungkin lebih rela untuk menguruskan hal rumah tangga seperti menjaga anak dan sebagainya berbanding keluar mencari rezeki.
Selain itu, antara sebab lain yang menjadi faktor mengapa rakyat kita enggan menjadi sebahagian dari tenaga buruh adalah kerana mereka percaya bahawa tiada lagi kerja yang sesuai buat mereka.
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh mengukur penyertaan individu berusia 15 tahun hingga 65 tahun di dalam pasaran buruh. Individu yang bekerja, ataupun sedang mencari pekerjaan dikira sebagai tenaga buruh. Manakala individu-individu yang tinggal di rumah untuk menjaga anak, melanjutkan pengajian ataupun bersara dianggap berada di luar tenaga buruh.
Ikuti saluran Telegram kami di https://t.me/EkonomiRakyatMY