Patutkah Kerajaan Umumkan Bantuan Tunai Tambahan Kepada Rakyat?

Patutkah Kerajaan Umumkan Bantuan Tunai Tambahan Kepada Rakyat?
Share it

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula Rabu ini sehingga 26 Januari 2021 di enam buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala enam buah negeri lagi iaitu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan bakal menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Perlis dan Sarawak pula akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dimana lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan.

Pengumuman ini sememangnya dijangka apabila orang ramai mula menyuarakan kebimbangan setelah kes meningkat melebihi 3,000 kes beberapa hari lalu. Perutusan Perdana Menteri menyatakan sistem kesihatan kita berada di tahap yang tenat kini berikutan ribuan kes baru yang diterima setiap hari.

Permulaan tahup 2021 bukanlah pengakhiran bagi tahun musibah 2020. Bahkan statistik semasa menunjukkan situasi kita berada di tahap yang lebih teruk berbanding tahun lalu. Purata kes baru sepanjang tahun 2020 hanyalah 309 kes, manakala untuk 11 hari pertama tahun ini, purata kes baru harian adalah 2,292 kes.

PKP Merosakkan Ekonomi, Tiada Bantuan Diberi

Kajian Jabatan Perangkaan Buruh Amerika Syarikat menunjukkan hanya 9% pekerja yang mempunyai sijil sekolah menengah mampu untuk bekerja dari rumah. Bagi mereka tidak menamatkan persekolahan, hanya 3% dapat melaksanakan tugasan mereka dari rumah.

Namun keadaan yang serupa tidak dialami oleh mereka yang berpendidikan tinggi. Bagi pekerja yang mempunyai ijazah, 38% daripada mereka mampu untuk melaksanakan tugasan kerja mereka dari rumah dan peratusan ini lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai ijazah lanjutan.

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan terdapat 1.5 juta pekerja yang bekerja sendiri berada di enam negeri dimana PKP dilaksanakan. Harus diingatkan, pekerja yang bekerja sendiri ini kebanyakkannya bergantung kepada pendapatan harian dalam menyara kehidupan mereka.

Namun untuk tempoh 14 hari bermula Rabu ini, pendapatan mereka semestinya bakal terjejas kerana aktiviti ekonomi yang terhad. Apa yang lebih merisaukan adalah tahap simpanan mereka yang rendah dimana mereka sukar untuk menampung perbelanjaan harian mereka jika pendapatan terjejas.

Laporan Bank Negara Malaysia beberapa tahun lalu menunjukkan 75% rakyat Malaysia mempunyai kurang dari RM1,000 simpanan kecemasan manakala 32% mereka hanya mampu bertahan untuk seminggu jika pendapatan mereka terjejas.

Kerajaan Perlu Umum Bantuan Segera

Kerajaan perlu mengumumkan bantuan tunai yang segera kepada mereka yang terjejas di dalam PKP ini. Bahkan lebih baik kerajaan mempertimbangkan untuk memberi satu lagi pusingan Bantuan Prihatin Rakyat kepada isi rumah pada tahun ini bagi merancakkan ekonomi.

Bantuan Prihatin Rakyat yang diumumkan pada Belanjawan 2021 tidak mencukupi bagi isi rumah menghadapi tahun yang kian mencabar ini. Untuk tahun ini, kerajaan diunjurkan bakal membelanjakan sekitar RM6.5 bilion untuk bantuan tunai kepada rakyat. Jumlah ini hanyalah 30% lebih tinggi berbanding Bantuan Sara Hidup pada tahun yang sebelumnya.

Perintah Kawalan Pergerakan serta kes harian yang kian mencanak memberikan gambaran bahawa ekonomi tidak akan pulih seperti yang dijangka pada tahun lalu. Bahkan tahun 2021 kekal mencabar dengan hanya 1 juta vaksin bakal diterima pada suku pertama tahun ini.

Sebahagian besar vaksin hanya tersedia kepada umum pada suku ketiga dan suku terakhir tahun ini.

Oleh itu, bantuan tunai boleh dijadikan sebagai perangsang ekonomi di saat Malaysia berada di hari-hari yang sukar ini. Desakan agar bantuan tunai disalurkan kepada mereka yang memerlukan turut disuarakan oleh beberapa ahli parlimen termasuk Anwar Ibrahim dan Syed Saddiq.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin boleh menjadi hero di mata rakyat taklala populariti kepimpinannya kian merudum. Atau beliau akan terus-menerus menjadi punching bag terutamanya dalam kalangan sebilangan ahli parlimen kerajaan sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *