Patutkah Subsidi Minyak Digantikan Dengan Bantuan Tunai?

subsidi minyak tunai
Share it
Purata Harga Minyak Bulanan

Kerajaan pada hari ini membelanjakan RM0.30 bagi setiap liter bagi memberi subsidi minyak petrol kepada rakyat. Menurut kenyataan Perdana Menteri di dalam ucapan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi ( PEMERKASA ), kerajaan bakal menanggung RM3 bilion subsidi minyak untuk tahun ini pada harga semasa.

Harga semasa petrol RON95 kini berlegar sekitar RM2.35 seliter, 14% lebih tinggi dari harga siling RM2.05 yang ditetapkan ketika ini. Langkah ini sudah semestinya disambut baik oleh segenap lapisan rakyat Malaysia kerana mereka mampu membeli bahan api pada harga yang lebih rendah di pasaran.

Berbeza pada bulan April tahun lalu, harga minyak petrol RON95 jatuh serendah RM1.27 seliter susulan kejatuhan mendadak harga minyak mentah kepada $20 setong disebabkan permintaan yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

Namun demikian, majoriti rakyat Malaysia tidak mampu menikmati harga terendah minyak petrol pada ketika itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan sedang berjalan. Kali terakhir harga minyak berada pada paras serendah itu adalah pada tahun 2001 dimana minyak petrol RON97 dijual pada harga RM1.30 seliter.

Kini, aktiviti ekonomi semakin rancak. Kerajaan pada 18 Februari lalu telah menghidu trend berterusan harga minyak mentah dunia yang naik hari demi hari lantas menetapkan harga siling RM2.05 untuk RON95 dan RM2.15 bagi minyak diesel.

Sejarah Penarikan Subsidi Minyak

Pentadbiran Najib Razak sebelum ini telah mengenalpasti permasalahan mengenai subsidi minyak petrol di pam dan melancarkan program rasionalisasi subsidi. Beliau memperkenalkan program bantuan tunai iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia ( BR1M ) pada 2012 bagi meringankan beban rakyat dalam menampung penarikan subsidi pelbagai barangan keperluan pada kemudian hari.

Harga minyak mula dinaikkan pada lewat 2013 dari RM1.90 kepada RM2.10 seliter bagi RON95.

Menjelang akhir tahun 2014, harga minyak RON95 diapungkan dan berlegar dari harga setinggi RM2.38 seliter ( November 2017 ) hinggalah serendah RM1.60 seliter ( Mac 2016 ). Namun harga petrol mula ditetapkan pada RM2.20 seliter pada Mac 2018 kerana penggal parlimen hampir berakhir dan Pilihan Raya Umum bakal tiba.

Langkah penarikan subsidi minyak dan digantikan dengan bantuan tunai ini bukanlah dimulakan oleh pentadbiran PM keenam itu. Namun sejarahnya boleh ditelusuri pada Jun 2008 apabila pentadbiran Pak Lah menaikkan harga minyak kepada RM2.70 seliter sekaligus membangkitkan kemarahan ramai.

Tetapi ramai yang lupa bahawa pentadbiran beliau lah yang pertama sekali memperkenalkan bantuan tunai menggantikan subsidi petrol kepada rakyat. Beliau telah memperkenalkan rebat RM625 bagi kenderaan persendirian dengan kapasiti dibawah 2,000cc manakala bagi pemilik motosikal dibawah 250cc pula, mereka menerima rebat sebanyak RM150.

Meskipun begitu, kemarahan rakyat tidak dapat dibendung ketika itu. Pelbagai harga barangan dari teh tarik hinggalah barangan harian lain telah ditingkatkan oleh pengeluar atas alasan kos logistik yang tinggi.

Agihan Subsidi Minyak Petrol Banyak Dimonopoli Kumpulan Berpendapatan Tinggi

Adakah subsidi minyak petrol ini berkesan dalam membantu golongan sasar?

Kajian Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 menunjukkan bahawa subsidi minyak banyak memanfaatkan golongan kaya dan tidak dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah. Bank Negara menganggarkan 42% daripada keseluruhan peruntukan subsidi minyak dinikmati oleh kumpulan dengan pendapatan Tertinggi 20% manakala bagi kumpulan Terbawah 20%, mereka hanya menikmati 4% dari keseluruhan agihan subsidi.

Dalam kata lain, subsidi minyak di pam ini banyak menguntungkan golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan kereta sebagai kenderaan harian mereka. Bagi golongan berpendapatan rendah pula, mereka kurang menikmati subsidi kerana kebanyakkannya menggunakan motosikal  sebagai kenderaan harian.

Sebagai contoh, individu yang memandu Honda Civic perlu membeli 47 liter minyak bagi memenuhi tangki minyak mereka. Pada kadar subsidi semasa, beliau memperoleh RM14.10 subsidi dari kerajaan bagi setiap pengisian penuh petrol. Namun untuk individu yang menunggang motosikal Honda EX-5, beliau hanya memperoleh RM1.30 subsidi setiap isian penuh tangki minyak.

Kajian MIROS beberapa tahun lalu menunjukkan purata pemandu Malaysia memandu 2,300km setiap bulan. Dengan andaian diatas, ini bermaksud pemandu Honda Civic bakal memperoleh RM40 ( RM480 secara tahunan ) subsidi petrol dari kerajaan setiap bulan manakala bagi penunggang motosikal Honda EX-5, beliau hanya memperoleh RM12 ( RM144 secara tahunan ) subsidi dari kerajaan.

Kajian Bank Negara itu turut menunjukkan 68% daripada keseluruhan peruntukan subsidi minyak dibolot oleh kumpulan berpendapatan tertinggi 40% ( Top 40% ). Sementara itu, kumpulan terbawah 40% ( Bottom 40% ) hanya meraih 14% daripada agihan keseluruhan subsidi minyak.

Kumpulan lain yang turut menerima manfaat besar dari subsidi minyak ini adalah syarikat-syarikat logistik.

Pengguna Kereta Lebih Banyak Menikmati Subsidi Petrol Berbanding Pengguna Motosikal

Menggantikan subsidi minyak petrol kepada ( tambahan ) bantuan tunai untuk golongan sasar akan lebih membantu kumpulan yang benar-benar memerlukan. Jumlah peruntukan RM3 bilion ( bersamaan 46% peruntukan keseluruhan Bantuan Prihatin Rakyat ) mungkin boleh diagihkan kepada kumpulan berpendapatan 80% terbawah iaitu untuk isi rumah dengan pendapatan dibawah RM11,000 dan kebawah.

Jika langkah ini dibuat, setiap isi rumah yang berkelayakan bakal menerima tambahan RM513 bantuan tunai selain jumlah Bantuan Prihatin Rakyat yang sedia ada.

Walaubagaimanapun, langkah sedemikian mungkin bakal dipandang serong oleh rakyat. Ini kerana mereka melihat harga minyak yang tinggi hampir setiap minggu apabila mengisi minyak, sekaligus membentuk persepsi negatif mengenai langkah ini walaupun tambahan bantuan tunai yang dikreditkan mungkin lebih menguntungkan mereka terutamanya mereka yang datang daripada golongan berpendapatan rendah.

Bagi isi rumah dimana kedua-dua pasangan suami isteri menggunakan kereta dalam menjalani aktiviti harian, bantuan tunai yang digantikan mungkin merugikan kerana penggunaan minyak mereka yang lebih tinggi.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY

2 thoughts on “Patutkah Subsidi Minyak Digantikan Dengan Bantuan Tunai?

Comments are closed.