Pemilikan Ekuiti Bumiputera Semakin Rendah, Hanya Tinggal 16.2%

Pemilikan Ekuiti Bumiputera Jatuh
Share it
Kompilasi Pemilikan Ekuiti Korporat di Malaysia

Data terbaru yang diterbitkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menunjukkan penurunan terhadap pemilikan ekuiti korporat Bumiputera. Pemilikan ekuiti Bumiputera telah jatuh dari 23.4% pada 2011 kepada 16.2% pada 2015 manakala pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2% kepada 45.3%.

Pegangan ekuiti bukan Bumiputera juga menurun dari 34.8% kepada 30.7% dalam tempoh yang sama.

Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1971 setelah Malaysia mengalami rusuhan kaum menyasarkan pemilikan ekuiti Bumiputera dapat ditingkatkan kepada 30% menjelang tahun 1990. Namun demikian, angka rasmi menunjukkan sasaran tersebut belum dicapai sehingga kini walaupun terdapat pendapat yang menyatakan ekuti Bumiputera sudah melepasi sasaran jika diambil kira pegangan milik kerajaan.

Dr Lee Hwok Aun, felo kanan di Institut Pengajian Asia Tenggara yang berpusat di Singapura menyatakan bahawa sasaran pemilikan ekuiti secara individu sebenarnya telah dicapai sejak tahun 90-an lagi.

Menurut beliau, sasaran yang ditetapkan terbahagi kepada dua kategori. Satu, pemilikan ekuiti secara individu termasuk simpanan deposit Bumiputera di Tabung Haji dan ASB manakala kategori kedua adalah pemilikan ekuiti oleh entiti atau agensi yang mewakili Bumiputera seperti MARA.

Sasaran untuk pemilikan individu adalah 7.4% manakala sasaran untuk entiti yang mewakili Bumiputera adalah sebanyak 22.3%

Angka rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan pemilikan ekuiti individu Bumiputera telah meningkat dari 1.6% pada tahun 1970 kepada 14.2% pada tahun 1990. Manakala pemilikan ekuiti oleh entiti yang mewakili Bumiputera masih tidak menepati sasaran iaitu hanya meningkat daripada 0.8% kepada 5.1% dalam tempoh yang sama.

Pemilikan Ekuiti Individu Bumiputera Telah Melepasi Sasaran Yang Ditetapkan Pada Tahun 1990

Dr Lee Hwok Aun turut mempersoalkan langkah kerajaan kerana tidak lagi mengasingkan kedua-dua kategori ini sebaliknya melonggokkannya sekali. Oleh sebab demikian, sejak tahun 2011, statistik yang dikeluarkan hanya mengambil kira keseluruhan ekuiti Bumiputera tanpa pecahan dua kategori tersebut.

Ketika ditanya mengenai punca penurunan ekuiti Bumiputera, Dr Lee Hwok Aun menyatakan bahawa puncanya sukar untuk diketahui kerana para penyelidik tidak dapat mengakses data-data tersebut. Beliau juga berpendapatkan bahawa kenaikkan pegangan asing berpunca dari kemasukan modal asing yang merupakan kesan quantitative easing.

” Data rasmi yang dihitung dan dilaporkan oleh Unit Perancang Ekonomi memang melakarkan trend menurun secara relatif. Masih banyak yang tidak diketahui tentang angka-angka ini; penyelidik tidak mampu mengakses data ini.

Secara am, data ini mencerminkan keadaan di pasaran kewangan di mana masyarakat Bumiputera kurang melibatkan diri dalam pemegangan saham secara langsung. Akan tetapi, pemegangan saham melalui institusi kewangan agak meluas. ” – Dr Lee Hwok Aun

Data pemilikan ekuiti Bumiputera sebelum ini pernah menjadi polemik sejak pentadbiran Najib Razak kerana statistik tersebut tidak didedahkan oleh kerajaan. Namun demikian, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada tahun 2019 mendedahkan data tersebut apabila melancarkan halatuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Artikel bahagian kedua : Dasar Penswastaan Tingkatakan Ekuiti Bumiputera Namun Sangat Dicemari Politik – Dr Lee Hwok Aun

Bahagian kedua rencana ini akan diterbitkan dalam beberapa hari lagi. Untuk memastikan anda tidak terlepas dengan artikel dan perkembangan terbaru Ekonomi Rakyat, ayuh ikuti saluran Telegram kami di https://t.me/EkonomiRakyatMY

One thought on “Pemilikan Ekuiti Bumiputera Semakin Rendah, Hanya Tinggal 16.2%

Comments are closed.