Pendapatan Isi Rumah di Malaysia Sudah Pulih ke Paras Pra-Pandemik
Selepas dua tahun diuji dengan krisis COVID-19, Malaysia berjaya mencatatkan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan apabila kadar pertumbuhan KDNK naik 8.7% pada tahun lalu. Angka ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Filipina (7.6%), Indonesia (5.3%), Singapura (3.6%) dan Thailand (2.6%). KDNK per kapita turut meningkat 14.5% tahun-ke-tahun kepada RM52,689 pada 2022, meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk menuju status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Penanda aras yang ditetapkan Bank Dunia bagi negara berpendapatan tinggi ialah apabila pendapatan negara kasar (GNI) per kapita melebihi AS$13,205. Pada tahun 2022, GNI per kapita Malaysia ialah AS$11,780.
Meskipun Malaysia berjaya mencatatkan lonjakan kadar pertumbuhan ekonomi, indikator-indikator seperti pertumbuhan KDNK dan GNI per kapita tidaklah memberikan gambaran yang tepat tentang sejauh manakah pemulihan ekonomi yang dicapai dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya, khususnya mereka yang tergolong dalam kategori kumpulan rentan dan berpendapatan rendah.
Antara indikator yang lebih sesuai untuk menilai agihan kekayaan ekonomi ialah dengan meneliti tahap pendapatan isi rumah di Malaysia. Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022. Tinjauan yang dijalankan empat tahun sekali ini merangkumi pelbagai petunjuk yang penting bagi menganalisis aspek kemiskinan dan kesamarataan, serta corak pendapatan dan perbelanjaan dalam kalangan isi rumah di negara ini.
Trend Pendapatan Isi Rumah Kembali ke Paras Pra-Pandemik

Secara keseluruhannya, kebanyakan indikator melibatkan trend pendapatan isi rumah pada tahun 2022 sudah pulih ke paras melebihi yang direkodkan semasa pra-pandemik pada tahun 2019. Misalnya, purata pendapatan isi rumah pada tahun 2022 ialah sebanyak RM8,479, naik 7.3% berbanding RM7,901 (2019). Bagi isi rumah yang memperoleh pendapatan daripada pekerjaan bergaji, purata pendapatan meningkat 9.4% kepada RM5,327 dalam tempoh yang sama. Ini selaras dengan nisbah pampasan pekerja (CE) yang mencatatkan peningkatan 6.5% tahun lalu, menyumbang 32.4% kepada KDNK Malaysia.

Antara ketiga-tiga kaum terbesar di Malaysia, Cina menikmati penengah pendapatan tertinggi, iaitu RM8,167, diikuti India (RM6,627) dan Bumiputera (RM5,793). Dari sudut pertumbuhan pendapatan buat Cina dan India masing-masing naik 10.5% dan 10.8% antara tahun 2022 dan 2019. Manakala bagi penengah pendapatan Bumiputera hanya naik 6.9% sahaja antara kedua tahun tersebut.

Perbandingan merentasi negeri mendapati penengah pendapatan adalah yang tertinggi di Kuala Lumpur, sebanyak RM10,234. Manakala penengah pendapatan yang terendah ialah di Kelantan (RM3,614). Malah, Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai penengah pendapatan bulanan lebih rendah daripada RM4,000. Enam negeri menpunyai penengah pendapatan lebih tinggi berbanding di peringkat nasional (RM6,638), iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan, Johor dan Pulau Pinang.

Kumpulan B40 menikmati peningkatan terbesar bagi penengah pendapatan, berdasarkan perkiraan menggunakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR). Penengah pendapatan B40 naik 2.8% pada setiap tahun antara 2019-2022, lebih tinggi berbanding M40 (2.7%) dan T20 (1.8%).
Kemiskinan dan Kesamarataan, Kita Belum Menang

Namun, kemiskinan masih belum dapat dipulihkan ke paras pra-pandemik. Kadar kemiskinan mutlak pada tahun lalu ialah sebanyak 6.2%, iaitu lebih tinggi berbanding 5.6% yang direkodkan pada tahun 2019. Kemiskinan mutlak merujuk kepada isi rumah dengan jumlah pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian.
Sesebuah isi rumah itu dikira sebagai miskin mutlak sekiranya jumlah pendapatan yang diterima adalah lebih rendah daripada purata pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan, iaitu sebanyak RM2,589 pada tahun lalu. Nilai PGK tersebut telah disemak semula, iaitu dinaikkan lebih tinggi berbanding PGK pada tahun 2019 (RM2,208). Semakan semula PGK ini turut menyumbang kepada peningkatan insiden kemiskinan mutlak di Malaysia.
Walaubagaimanapun, dari sudut positifnya, kadar kemiskinan mutlak 6.2% yang dicatatkan pada tahun 2022 ini adalah lebih rendah berbanding 8.4% semasa tahun 2020.

Antara kesemua negeri di Malaysia, insiden kemiskinan mutlak di Sabah adalah yang paling tinggi, iaitu sebanyak 19.7%, diikuti oleh Kelantan (13.2%), Sarawak (10.8%), Kedah (9.0%) dan Perak (7.5%). Bumiputera mencatatkan kadar kemiskinan mutlak tertinggi sebanyak 7.9%, berbanding Cina (1.9%) dan India (5.4%).

Prestasi kesamarataan pendapatan adalah sedikit lebih baik, apabila pekali Gini pada tahun lalu turun kepada 0.404, berbanding 0.407 pada tahun 2019. Pekali Gini di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar, serta kesemua etnik utama turut mencatatkan penurunan. Begitu juga dengan majoriti negeri-negeri di Malaysia, kecuali Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Trend ketidaksamaan pendapatan mempunyai corak yang lebih kurang sama dengan insiden kemiskinan mutlak sebentar tadi, apabila Sabah, Kelantan dan Sarawak turut mempunyai pekali Gini tertinggi pada tahun lalu.
Malaysia vs Krisis: Kisah yang Tak Berkesudahan?
Kesamarataan dan kemiskinan merupakan antara indikator utama yang sering menjadi tumpuan para pembuat dasar di negara ini. Pelbagai program sosial telah digerakkan sejak daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990) sehingga kini,bertujuan membasmi kemiskinan serta mengagihkan kekayaan dengan lebih adil dan saksama. Hasilnya, kadar kemiskinan berjaya diturunkan daripada 49.3% (1970) kepada 16.5% (1989). Begitu juga dengan pekali Gini yang turut berkurang daripada 0.513 kepada 0.442 dalam tempoh yang sama.
DEB sering diulang-ulang sebagai antara polisi Kerajaan yang paling membuahkan hasil, sehinggakan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menerbitkan sebuah dokumen bertajuk “Malaysia Success Story in Poverty Eradication”, khusus untuk menceritakan kisah kejayaan DEB dalam mengurangkan insiden kemiskinan dan memperbaiki agihan kekayaan di Malaysia pasca rusuhan kaum berdarah 13 Mei 1969.
Meskipun tidak dinafikan polisi dan dasar yang terkandung dalam DEB dan polisi-polisi ekonomi yang menyusul selepas itu banyak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini, Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi yang terbuka seringkali terdedah kepada krisis. Impak negatif yang ditinggalkan krisis-krisis ini menyebabkan Malaysia terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih. Apa yang sering berlaku ketika krisis ialah ekonomi Malaysia akan jatuh merudum, lalu melonjak dengan begitu mendadak dalam tempoh setahun dua berikutnya.
Sebagai contoh, pertumbuhan KDNK Malaysia jatuh kepada -7.4% pada tahun 1998 akibat Krisis Kewangan Asia, kemudian naik 6.1% (1999) dan 8.9% (2000). Begitu juga semasa Krisis Kewangan Global, ekonomi Malaysia merudum kepada -1.5% pada tahun 2009. Setahun kemudiannya, pertumbuhan KDNK negara melonjak 7.4%. Kisah yang lebih kurang sama berlaku pasca pandemik COVID-19.
Walaupun pertumbuhan KDNK ini sedikit sebanyak mencerminkan pemulihan ekonomi negara, akan tetapi lonjakan ekonomi yang berlaku ini sebenarnya berpunca sebahagian besarnya daripada kesan ‘low-base’ yang disebabkan oleh krisis. Maka, apabila ekonomi pulih sekalipun, pemulihan ini hanya mampu mengembalikan ekonomi ke tahap yang sama, atau mungkin sekiranya bernasib baik, ke tahap yang sedikit lebih baik berbanding sebelum krisis. Corak yang sama berlaku setiap kali krisis melanda merisikokan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk jangka masa panjang.
Rawat Isu Struktur Ekonomi Segera
Antara pengajaran penting yang boleh dipelajari daripada krisis-krisis yang berlaku ialah betapa pentingnya untuk isu-isu struktur ekonomi dirawat dengan segera. Antara isu-isu struktur ekonomi yang perlu mendapat perhatian serius para pembuat dasar di negara ini termasuklah dari sudut pasaran buruh, terutamanya melibatkan gaji dan upah yang diterima para pekerja yang rata-ratanya adalah rendah. Peningkatan gaji adalah terhad, dan jika naik sekalipun begitu perlahan, tidak setara dengan peningkatan kos sara hidup saban tahun.
Isu ini bermula daripada graduan memasuki alam pekerjaan, apabila rata-rata mereka menerima gaji permulaan yang rendah. Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah peratusan graduan yang menerima gaji kurang daripada RM3,000 dalam tempoh lima tahun antara 2017 hingga 2021 seakan-akan tidak berganjak, iaitu lebih 80% pada setiap tahun. Ini menandakan gaji permulaan siswazah yang masih rendah sejak bertahun-tahun.
Penengah gaji yang diterima seorang pekerja sektor formal di Malaysia ialah RM2,600, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023. Gaji ini adalah lebih rendah berbanding gaji kehidupan wajar yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia, iaitu sebanyak RM2,700 untuk individu bujang pada tahun 2018.
Kenaikan Gaji Pekerja Perlu Setara dengan Kos Sara Hidup dan Produktiviti
Peningkatan gaji dan upah perlu setara dengan kenaikan kos sara hidup, agar golongan berpendapatan rendah khususnya, tidak terasa terlalu terbeban. Golongan B40 misalnya, memperuntukkan hampir 71.6% daripada perbelanjaan bulanan mereka untuk barangan keperluan asas, jauh lebih tinggi berbanding M40 (67.0%) dan T20 (64.0%). Analisis siri masa mendapati purata perbelanjaan isi rumah di Malaysia naik 3.38% pada setiap tahun (CAGR) antara 2016 hingga 2022. Namun, purata pendapatan isi rumah hanya meningkat 2.86% dalam tempoh yang sama.
Antara kaedah yang boleh dipertimbangkan bagi memperbaiki struktur gaji di Malaysia ialah dengan menawarkan gaji berdasarkan tahap kemahiran dan produktiviti, atau disebut sebagai model gaji progresif. Menerusi model ini, seseorang pekerja yang berjaya meningkatkan tahap kemahiran, mempunyai lebih banyak pengalaman kerja serta menunjukkan prestasi kerja yang baik sepatutnya layak diberikan kenaikan gaji yang lebih setimpal dan adil oleh majikan.
Kenaikan gaji dan upah yang setara dengan kos sara hidup, prestasi dan produktiviti pekerjaan akan memberi peluang buat para pekerja untuk menikmati taraf hidup yang lebih baik serta mengurangkan tekanan yang dirasai akibat kenaikan kos sara hidup. Gaji yang lebih tinggi juga membolehkan sesebuah isi rumah membina simpanan kecemasan dengan mencukupi agar lebih bersiap sedia bagi menghadapi situasi luar jangkaan seperti krisis ekonomi. Dari sudut psikologi, peningkatan gaji juga sudah semestinya akan membuatkan para pekerja merasakan usaha mereka dihargai serta meningkatkan tahap kepuasan bekerja.
Malah, secara makro, meningkatkan gaji para pekerja di Malaysia mungkin satu kunci utama dalam membantu isi rumah miskin keluar daripada lembah kemiskinan, sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan, merapatkan jurang pendapatan, bahkan memacu Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Pertumbuhan ekonomi negara saban tahun tidaklah begitu bermakna sekiranya rakyat tidak dapat menikmati hasilnya dengan lebih saksama. Misalnya, GNI per kapita didapati naik lebih pantas, sehingga meninggalkan jurang yang semakin melebar berbanding purata pendapatan isi rumah.
Lebih memburukkan keadaan apabila nisbah pampasan pekerja (CE) kepada KDNK Malaysia hanyalah 32.4% pada tahun 2022, lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jerman (53.4%), UK (48.7%) dan Korea Selatan (47.5%). Ini bermaksud daripada RM100 yang dihasilkan ekonomi, pekerja di Malaysia hanya terima RM32.
Walaubagaimanapun, isu gaji dan upah ini tidaklah boleh dirawat dalam masa yang begitu singkat, kerana menaikkan gaji secara mendadak akan berisiko menyebabkan inflasi menjadi tidak terkawal serta menambah beban kos operasi kepada majikan.
Selain itu, terdapat beberapa isu struktur lain yang perlu dirawat terlebih dahulu, termasuklah mengurangkan kebergantungan industri kepada warga asing serta memperbanyakkan pelaburan dalam teknologi dan pengeluaran berasaskan kapital. Kesemua ini merupakan ‘pra-syarat’ yang diperlukan untuk mewujudkan ekosistem industri yang lebih produktif serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang mahir serta bergaji lebih tinggi.
Struktur ekonomi yang kukuh amat penting kerana ia boleh diibaratkan seperti tiang-tiang yang menyokong sesebuah rumah. Sekiranya tiang rumah ini tidak dipasak dengan baik, atau mungkin kelihatan cantik dari luar, tetapi sebenarnya dipenuhi pelbagai masalah seperti anai-anai, lama kelamaan tiang-tiang ini akan menjadi reput. Maka, tidak terkejutlah struktur ekonomi negara yang ‘goyang’ bertahun-tahun sebelum krisis berlaku, akhirnya tumbang apabila dilanda krisis. Masa yang terbaik untuk melaksanakan reformasi ekonomi dengan menyeluruh sudah tentunya ketika ekonomi semakin pulih dan masih mempunyai momentum pertumbuhan yang positif.