Pengasas Top Glove Bakal Terima RM460 juta dividen

Share it

Pengasas Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai bakal menerima pulangan luar biasa pada suku ini apabila Top Glove mengumumkan dividen sebanyak 16.5 sen sesaham. Beliau yang merupakan salah seorang pemegang saham terbesar Top Glove mempunyai lebih kurang 35% saham syarikat ini ataupun sekitar 2.8 bilion unit saham.

Ini bermaksud Lim Wee Chai dijangka menerima sekitar RM490 juta dividen berikutan prestasi yang memberangsangkan Top Glove di saat dunia mengalami pandemik ini.

Saham Top Glove yang mencanak naik sejak tahun lalu juga menambahkan lagi kekayaan bilionair ini. Kekayaan beliau berdasarkan pegangan saham Top Glove bernilai sekitar RM19.53 bilion. Ini menjadikan beliau sebagai orang ketujuh terkaya di Malaysia berdasarkan senarai yang dikeluarkan Forbes.

Senarai Forbes yang dikeluarkan pada Mac lalu menunjukkan beliau pada ketika itu mempunyai kekayaan sekitar RM5.8 bilion dan menduduki tangga ke-14 sebagai orang paling kaya di Malaysia. Dalam tempoh kurang setahun, pengasas syarikat sarung tangan ini berjaya menambah kekayaan RM13.7 bilion tatkala dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga bakal menerima pulangan daripada pengumuman dividen oleh Top Glove. KWSP yang mempunyai 5.6% saham Top Glove dijangka menerima sekitar RM73.5 juta pulangan dividen dari pelaburan ini.

Top Glove sebelum ini dikritik hebat pelbagai pihak susulan layanan mereka terhadap pekerja-pekerja asing yang bekerja di syarikat mereka. Sehingga 9 Disember lalu, Kluster Teratai yang melibatkan pekerja Top Glove telah mencatatkan 5,259 kes.

Jumlah kes ini membabitkan tenaga kerja yang besar buat Top Glove yang mempunyai 21,000 orang pekerja. Ini bermaksud 25% dari keseluruhan pekerja Top Glove telah dijangkiti dengan wabak ini.

Media Amerika Syarikat, Vice News beberapa hari lalu turut mengeluarkan sebuah dokumentari mengenai layanan buruk terhadap pekerja warga asing di syarikat ini. Dokumentari berdurasi lapan minit ini disiarkan di Youtube.

Selain Vice News, Reuters juga melaporkan bahawa seorang pemberi maklumat warga Nepal telah dipecat kerana memberi maklumat mengenai ketidakpatuhan SOP di kilang Top Glove. Pekerja terbabit terpaksa berbelanja lebih kurang RM2,000 untuk pulang ke Nepal selepas dibuang.

Terdahulu, ahli parlimen Muar, Syed Saddiq menggesa syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan ini dikenakan cukai durian runtuh. Keuntungan luar biasa yang diraih di kala Covid-19 ini perlu dicukai bagi menampung perbelanjaan bagi membendung penularan wabak ini.

Namun demikian, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul kelihatan tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana menurut beliau, ia bakal memberi petunjuk yang salah kepada pelabur.

Artikel Ekonomi Rakyat beberapa minggu lalu juga meneliti aktiviti membeli balik saham syarikat oleh Top Glove. Sehingga kini, lebih RM1 bilion dibelanjakan oleh Top Glove untuk membeli balik saham mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.