Akses pendidikan yang berkualiti sewajarnya dikongsi secara adil antara semua pelajar di Malaysia bagi memastikan tiada siapa yang tercicir. Peluang pendidikan yang saksama berpotensi untuk membuka pintu agar isu-isu sosial di negara ini seperti kemiskinan dan jurang kekayaan dapat dikurangkan. Ini terutamanya selepas semakin ramai penduduk Malaysia jatuh miskin disebabkan pandemik Covid-19, lantas menyebabkan jurang kekayaan semakin melebar.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak meningkat dari 5.6% (2019) kepada 8.4% (2020). Begitu juga pekali Gini, iaitu sebuah indeks untuk mengukur agihan pendapatan dalam kalangan penduduk di sesebuah negara. Sekiranya nilai pekali Gini menghampiri 0, maka pendapatan diagihkan secara saksama. Namun, sebaliknya apabila menghampiri 1. Pekali Gini di Malaysia naik dari 0.407 (2019) kepada 0.411 (2020).
Baru-baru ini, Ekonomi Rakyat menemu ramah Puan Shakira Teh, seorang calon PhD di University College London yang menumpukan kajian beliau terhadap isu meritokrasi, dalam konteks pendidikan sekolah-sekolah menengah terutamanya Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negara ini. Sejarah panjang penubuhan SBP dan MRSM serta penekanan meritokrasi dalam pemilihan pelajar ke sekolah-sekolah tersebut sehingga melahirkan golongan kelas elit di Malaysia, mempunyai pros dan cons yang unik dan tersendiri untuk dibincangkan.
Di awal temu ramah, Shakira menjelaskan bagaimana perkataan meritokrasi ini sebenarnya berasal dari sebuah karya satira berjudul ‘The Rise of Meritocracy’ yang dikarang oleh Michael Young pada tahun 1958. Dalam buku ini, Young mengutarakan sebuah persoalan “apakah yang akan terjadi sekiranya semua halangan kelas masyarakat dibuang dan peluang untuk semua orang berjaya bergantung kepada usaha diri sendiri?”. Young turut menyimpulkan bahawa meritokrasi = kepintaran + usaha.
“Jadi dalam buku itu, apa yang dikatakan merit itu ialah kepintaran dicampurkan dengan usaha. Walaupun karya satira, tetapi ramai orang tertarik kerana meritokrasi dirasakan sebuah idea yang lebih baik daripada aristokrasi. Maknanya, kalau kita tengok idea aristokrasi itu, peluang untuk seseorang itu berjaya bergantung kepada keadaan yang dia dilahirkan. Kalau dia lahir sebagai anak orang kaya, maka dia akan terus jadi orang kaya. Anak orang miskin akan terus menjadi orang miskin. Jadi tiada peluang untuk mereka membaiki kualiti kehidupan.”
Meritokrasi turut membangkitkan rasa pemerkasaan diri, terutamanya setelah menyedari diri mereka sendiri yang berusaha keras untuk memperoleh kejayaan tersebut, bukannya bergantung kepada orang lain.
Meritokrasi juga merupakan sebuah konsep yang praktikal untuk membahagikan sumber-sumber ekonomi yang terhad, bagi memenuhi permintaan yang tinggi. Sebagai contoh, dalam pemberian biasiswa dan kuota kemasukan universiti. Disebabkan inilah negara-negara seperti China, Singapura dan Malaysia, terutamanya di dalam sektor pendidikan, menerima pakai sistem meritokrasi.
Walaupun semua pelajar sepatutnya menerima akses pendidikan berkualiti yang sama, hakikatnya tidaklah semudah itu, terutamanya dengan kewujudan sekolah-sekolah seperti SBP dan MRSM, yang secara relatifnya mempunyai kualiti pendidikan yang lebih baik berbanding sekolah-sekolah harian. Tidak hairanlah, SBP dan MRSM sering mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu-bapa di Malaysia, termasuk mereka yang berpendapatan tinggi.
Dari sudut sejarah, penubuhan SBP dan MRSM ini adalah sebahagian dari rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990) untuk meningkatkan kemasukan kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu miskin di luar bandar, dalam pendidikan berasaskan sains dan teknologi. Hasilnya, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa penubuhan SBP dan MRSM memberi peluang mobiliti sosial buat kaum Bumiputera, lantas menyumbang kepada peningkatan peluang pendidikan dan penglibatan mereka dalam sektor ekonomi. Sumbangan serta jasa SBP dan MRSM dalam mewujudkan kelas menengah kaum Bumiputera dan mengimbangi taburan pekerjaan profesional antara kaum sememangnya tidak dapat dinafikan, jelas Shakira.
“Contohnya, ada satu kajian yang dibuat pada tahun 2013. Apa yang dirumuskan dalam kajian itu ialah penubuhan MRSM dan SBP memang telah menyumbang kepada peningkatan pelajar-pelajar Bumiputera atau Melayu di universiti.”
Namun begitu, matlamat asal penubuhan SBP dan MRSM ini dikatakan semakin lama semakin tersasar apabila sistem pemilihan dan kuota kemasukan kadangkala memberi kelebihan kepada pelajar-pelajar dari keluarga kaya berbanding mereka yang lebih memerlukannya.
Sebagai contoh, proses permohonan kemasukan MRSM yang dibuat secara atas talian sepenuhnya ketika ini. Ada sebilangan keadaan dimana para pelajar juga perlu menghadiri sesi temu duga bagi kemasukan ke MRSM khas seperti MRSM Ulul Albab. Meskipun Pejabat MARA Daerah dan sekolah-sekolah banyak membantu dalam menyediakan akses Internet dan komputer untuk membuat permohonan memasuki MRSM, kelebihan sering berpihak kepada pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi, kata Shakira.
Perkara sebegini menyebabkan pelajar-pelajar yang lebih layak, terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah terpaksa berebut peluang dengan pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi bagi memasuki SBP dan MRSM. Selain itu, pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah ini turut berdepan dengan kos pengajian dan yuran-yuran pelbagai yang kadangkala memakan perbelanjaan besar seperti yuran aktiviti serta pembelian yang diwajibkan seperti pakaian (e.g.: baju batik, tali leher, uniform sukan etc.) dan kelengkapan asrama. Kos-kos sebegini dikhuatiri membebankan serta mengecilkan peluang mereka untuk memasuki SBP dan MRSM.
Ekonomi Rakyat sempat mendapatkan pandangan Shakira terhadap cadangan untuk membina MRSM berbayar yang dilontarkan Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini.
Shakira yang juga merupakan Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia Malaysia, menjelaskan kepada Ekonomi Rakyat bahawa beliau secara peribadi kurang bersetuju dengan cadangan tersebut. Hal ini kerana kewujudan MRSM berbayar ini dilihat sebagai bukan satu langkah tepat yang akan membantu menyumbang terhadap kesamarataan, jauh sekali mampu merapatkan lagi jurang kelas di Malaysia ini.
“Jadi kalau dibina sebuah sekolah MRSM berbayar ini, kemungkinan besar cikgu-cikgu yang berkualiti akan dipindahkan ke sana. Maka ia menyumbang lagi kepada jurang kelas antara pelajar-pelajar, ataupun antara golongan berpendapatan yang berbeza di negara ini. “
Beliau turut menjelaskan SBP dan MRSM sering mendapat permintaan tinggi, termasuk dari ibu-bapa berpendapatan tinggi kerana kurangnya alternatif sekolah menengah yang menawarkan kualiti pendidikan setaraf SBP dan MRSM. Meskipun terdapat sekolah-sekolah swasta elit seperti Kolej Yayasan Saad (KYS), permintaannya tidak sehebat SBP dan MRSM kerana kos untuk menghantar ke sekolah-sekolah berasrama persendirian seperti itu adalah amat tinggi.
KYS umpamanya mengenakan yuran tahunan persekolahan sebanyak RM42,000 bagi pelajar menengah bawah manakala bagi pelajar menengah atas, kos yuran tahunan mencecah RM47,000. Dalam masa yang sama, pengambilan pelajar di sekolah-sekolah harian yang berkualiti juga terhad.

Shakira sebaliknya mencadangkan agar dana Kerajaan digunakan untuk menaik taraf kualiti pendidikan di sekolah-sekolah harian, berbanding dibelanjakan untuk membina sebuah MRSM berbayar. Hal ini kerana jika dilihat, jumlah pelajar di sekolah-sekolah harian ini adalah jauh lebih ramai berbanding pelajar-pelajar SBP dan MRSM.
“Mungkin dana Kerajaan itu sepatutnya digunakan untuk menambah baik sekolah-sekolah menengah harian di negara ini. Kalau kita buat macam itu, peluang serta akses pendidikan berkualiti boleh diberi kepada lebih ramai pelajar berbanding hanya kepada pelajar-pelajar SBP dan MRSM, yang jumlahnya tidaklah ramai kalau dibandingkan dengan pelajar-pelajar sekolah harian ini. Jadi kalau kita tumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah harian, dari segi kecekapan perbelanjaan itu lebih baik lah.”
Shakira juga sempat mengulas mengenai isu ‘legacy admission’ atau ‘kuota alumni’, iaitu kemasukan ke SBP dan MRSM, yang seakan-akan memberi keistimewaan kepada anak-anak bekas pelajar. Menurut beliau, isu ini tidak hanya berlaku di MRSM dan SBP, tetapi turut berlaku di universiti-universiti ternama seperti Harvard University. Penerusan amalan ‘legacy admission’ ini berisiko memburukkan lagi masalah perbezaan kelas di negara ini kerana mereka yang sudah kaya akan lebih bertambah kaya kerana dapat menghantar anak-anak mereka belajar di institusi-institusi pembelajaran bertaraf elit ini.
Meskipun kebelakangan ini data menunjukkan lebih separuh pelajar MRSM dan SBP ialah dari keluarga berpendapatan rendah, Shakira membangkitkan persoalan sejauh manakah taburan pelajar itu benar-benar saksama bagi setiap SBP dan MRSM? Beliau merasakan bahawa di sebilangan SBP dan MRSM yang kononnya dikatakan elit, terdapat lebih ramai pelajar-pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi berbanding SBP dan MRSM yang baru ditubuhkan.
“Cuma pada saya ini cuma satu isu menarik yang saya nak bangkitkan kalau dari segi SBP dan MRSM itu sendiri, memang kita nampak taburannya banyak dalam kalangan keluarga B40. Cuma dalam taburan itu adakah dia sama untuk setiap MRSM? Ataupun mungkin sesetengah MRSM ataupun SBP yang dikatakan lebih berprestij dan elit, taburannya berbeza dengan MRSM ataupun SBP yang lebih baru?”
Walaupun meritokrasi diakui lebih baik berbanding aristokrasi, beberapa kritikan wajar diulas. Shakira menjelaskan antara implikasi negatifnya ialah meritokrasi berisiko menyebabkan perpecahan kelas masyarakat. Hal ini kerana meritokrasi mementingkan kepintaran dan usaha diri sendiri tanpa mengambil kira faktor latar belakang seseorang dalam menentukan sama ada seseorang itu layak diberikan peluang pendidikan sewajarnya.
“Jadi persoalannya di situ ialah bila kita aplikasikan meritokrasi, ia mungkin menyumbang kepada perpecahan kelas. Dan salah satu sebabnya ialah meritokrasi tidak memandang atau tidak mengambil kira latar belakang seseorang itu dalam keputusan memberi peluang pendidikan. Jadi secara asasnya meritokrasi menggelapkan ketidasamarataan sktruktur yang wujud. Walhal, kalau kita tengok, banyak kajian yang dah dibuat sama ada di Malaysia atau di luar negara, latar belakang sosio-ekonomi seseorang itu banyak menyumbang kepada kejayaan dan prestasi pendidikan.”
Selain itu, meritokrasi juga mewujudkan sebuah masyarakat yang begitu mementingkan ‘credentialism’, iaitu memandang kelayakan atau pencapaian seseorang mengatasi segalanya. Pandangan sebegini berbahaya kerana persepsinya seolah-olah mereka yang datang dari sekolah elit serta belajar di universiti ternama akan menjadi orang yang berjaya. Walhal, terdapat banyak lagi faktor yang menyumbang kepada kejayaan seseorang itu. Meritokrasi turut mendorong kepada persepsi negatif, serta pemikiran judgmental dalam kalangan masyarakat terpelajar terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
“Ada kajian mengenai meritokrasi yang dibuat melibatkan pelajar-pelajar universiti di Belanda dan Belgium. Apa yang dapat dirumuskan ialah mereka mempunyai persepsi negatif terhadap orang-orang yang tidak memasuki universiti. Jadi mereka berpandangan bahawa ‘Orang-orang yang tak berjaya itu kerana mereka tak berusaha, kerana mereka malas’. Jadi ini bukan satu pemikiran yang baik menuju ke depan.”