
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil ( BERSIH ) serta Institut Demokrasi & Hal Ehwal Ekonomi ( IDEAS ) telah mengeluarkan sebuah laporan bertajuk Reforming The Appointment Process of Directors in GLICs, GLCs and Commercially Related Statutory Bodies bagi meneliti proses pelantikan ahli lembaga pengarah di entiti-entiti berkenaan.
Laporan ini menunjukkan terdapat 39 ahli parlimen dilantik ke syarikat-syarikat berkaitan kerajaan ( GLC ) dan badan berkanun oleh pentadbiran Perikatan Nasional yang mengambilalih tampuk pemerintahan sejak Februari tahun lalu.
Antara individu yang dilantik ke jawatan berkenaan adalah Ahli Parlimen Padang Terap, DS Mahdzir Khalid sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh sebagai pengerusi FELDA dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman sebagai pengerusi Prasarana.
Pelantikan politik ke dalam jawatan-jawatan berkenaan bukanlah perkara baru di dalam suasana politik Malaysia. Pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan, sebilangan individu yang mempunyai jawatan politik turut dilantik ke posisi berkenaan.
Laporan tersebut turut menyenaraikan 25 individu dari Pakatan Harapan yang mengisi jawatan di GLC dan badan berkanun. Antara individu yang dinamakan adalah Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang menjawat jawatan Lembaga Industri Kayu Malaysia ( MTIB ), Wan Saiful Wan Jan sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN ) dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional ( SPAN ).
Penulis laporan ini, Ahmad Fikri Ahmad Fisal menyuarakan kebimbangan mengenai proses lantikan ahli politik ke dalam jawatan ini. Menurut beliau, langkah ini mungkin dilihat sebagai satu habuan kepada ahli-ahli politik untuk menyokong kepada pemerintahan sedia ada.
Laporan setebal 70 muka surat turut menyatakan bahawa ketiadaan proses semak dan imbang ketika lantikan dibuat mungkin membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa sekaligus boleh membahayakan kepentingan awam.
Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan ( GLIC ) di Malaysia memainkan peranan penting di dalam ekonomi negara. Kajian menunjukkan GLIC seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji dan Khazanah Nasional memegang sekurang-kurangnya 42% pegangan di pasaran saham Malaysia.
Syarikat-syarikat ini juga dilaporkan mempunyai kepentingan minoriti di dalam lebih kurang 68,000 syarikat di seluruh Malaysia.
Berita penyelewengan dana 1MDB yang diwujudkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan ( MOF Inc. ) perlu diambil iktibar bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, sebanyak RM14 bilion dana 1MDB telah diselewengkan oleh bekas Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kanan 1MDB.
Fikri turut berkata bahawa ketelusan yang lebih meluas diperlukan bagi menyelesaikan masalah-masalah seperti ini daripada berulang.
” Pada pendapat saya, keutamaan harus diberikan kepada ketelusan. Memang banyak pembaikan diperlukan namun prioriti harus diletakkan pada ketelusan. Ketelusan di sini bermaksud pengamalan budaya pelaporan yang konsisten dan menyeluruh. Mungkin kabinet atau pihak yang sewajarnya boleh menerbitkan laporan GLC-GLC utama setiap tahun. Kandungan laporan patut merangkumi latar ahli lembaga, gaji dan elaun, proses tender, maklumat kewangan, dan sebagainya.
Amalan masa kini adalah badan-badan berkanun memberikan laporan kepada Menteri bertanggungjawab dan juga Jabatan Audit Negara. Ramai orang awam tidak berkesempatan untuk membaca mahupun sedar tentang laporan-laporan tersebut. Bagi GLCs, hanya yang tersenarai di Bursa yang menerbitkan laporan tahunan (diwajibkan mengikut syarat Bursa Malaysia). Yang tidak tersenarai ada yang terbitkan ada yang tak. Itupun kandungan maklumat tidak konsisten dan tidak menyeluruh. “
Ketika disoal mengenai pelantikan ahli politik di dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri, beliau berkata bahawa media lebih banyak memberi tumpuan terhadap isu pelantikan ahli politik di peringkat nasional berbanding di peringkat negeri. Selain itu, beliau berkata pembaharuan di peringkat negeri sukar dilaksanakan jika tidak didahului oleh pembaharuan di peringkat persekutuan.

” Saya berpandangan amat penting untuk melakukan pembaikan di kedua-dua peringkat. Namun, mengambil kira kekurangan data dan tentangan politik yang timbul untuk melaksanakan pembaharuan di peringkat negeri, saya cadangkan Kerajaan Persekutuan perlu dahulukan sebarang proses pembaharuan.
Kerajaan Persekutuan boleh menjadi tauladan dengan menggubal undang-undang lebih mantap atau memperkemas sistem lantikan dan laporan GLC/Badan Berkanun yang boleh diikuti oleh Kerajaan Negeri. Sesudah Kerajaan Persekutuan mengambil langkah sewajarnya, masyarakat umum boleh letakkan tekanan kepada Kerajaan Negeri pula untuk bertindak. “
Laporan yang dikeluarkan pada 25 Mei lalu ini boleh diakses di [ sini ]