Perang Harga – Baik Untuk Pengguna, Tetapi Hanya Seketika

Share it

Perang harga yang kerap kali menjadi strategi syarikat-syarikat perniagaan untuk menarik pelanggan sememangnya dialu-alukan oleh pengguna. Tujuan utama perang harga dilancarkan adalah untuk menarik pengguna menggunakan produk mereka selain cubaan untuk menutup periuk nasi pesaing mereka.

Situasi seperti ini boleh dilihat ketika Grab dan Uber berada di pasaran Malaysia. Kedua-dua platform e-kelui berkenaan menawarkan pelbagai kupon dan diskaun kepada pengguna untuk memastikan pengguna memuat turun aplikasi dan menggunakan perkhidmatan mereka.

*selain harga tambang yang murah

Namun demikian, setelah operasi kedua-dua syarikat ini digabungkan, tidak banyak diskaun dan promosi ditawarkan kepada pengguna kerana Grab telah pun menguasai pasaran tempatan.

Menurut prospektus yang dikeluarkan Grab, syarikat ini telah mengalami kerugian sebanyak RM2.9 bilion pada tahun 2017 dan RM5 bilion pada tahun 2018, menunjukkan bahawa Grab berbelanja besar dari segi pemasaran dan menyerap kos-kos lain susulan diskaun serta promosi yang ditawarkan.

Bagi syarikat yang ingin menawan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka, pemasaran merupakan instrumen penting yang perlu dilaburkan. Lihat saja bagaimana Shopee, sebuah platform e-dagang berbelanja besar mengiklankan perkhidmatan mereka di televisyen.

Bukan itu saja, bagi menarik perhatian ramai, gergasi e-dagang dari Singapura ini juga mengambil pelakon terkenal, Jackie Chan bagi membintangi iklan mereka.

Pengguna juga diberikan pelbagai cashback dan promosi penghantaran percuma jika menggunakan perkhidmatan Shopee. Harus diingatkan, situasi ini berlaku kerana Shopee mempunyai pesaingnya iaitu Lazada di dalam pasaran tempatan.

Jika salah seorang daripada mereka sudah terkeluar dari pasaran gara-gara tidak lagi mampu menanggung kerugian, maka pemenangnya akan menggunakan kedudukan mereka sebagai penyedia tunggal perkhidmatan e-dagang untuk menaikkan caj sekaligus mula mengutip keuntungan.

Dari sudut ekonomi, perang harga yang dijalankan dipanggil predatory pricing, dimana tujuannya adalah untuk menyingkirkan pesaing mereka daripada pasaran. Meskipun ia tidak sihat buat kedua-dua pihak, tetapi syarikat yang kekal bertahan akan mula mengubah harganya dan meraih keuntungan pada kemudian hari.

Langkah ini pada kebiasaannya akan mewujudkan monopoli. Seperti yang diketahui umum, monopoli sesebuah entiti sudah pastinya akan merugikan pengguna secara jangka masa panjang. Hal ini kerana ketiadaan pesaing akan mengakibatkan pengguna terpaksa membayar pada harga yang mahal selain mendapat kualiti perkhidmatan yang teruk.

Buat pengguna, hargai dan nikmatilah detik-detik indah ini dimana anda menerima pelbagai promosi dan diskaun dari penyedia perkhidmatan. Kerana bulan madu ini tidak akan kekal selamanya.