Perbelanjaan kerajaan Malaysia dianggap sebagai tidak begitu berkesan dalam mencapai objektif tertentu menurut pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram. Beliau berpendapat segala dana yang ada oleh kerajaan perlu digunakan untuk membantu berjuta-juta rakyat yang sedang hidup sengsara akibat Covid-19 ini serta memastikan perusahaan untuk terus hidup.
” Kita juga patut memastikan perusahaan-perusahaan dapat hidup supaya bila keadaan ekonomi itu bertambah baik. Mereka dapat meningkatkan operasi. Kalau mereka muflis, kalau mereka hancur, bagaimana kita hendak hidupkan ekonomi nanti. “
Beliau menyatakan kerajaan harus memfokuskan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai dua objektif penting ketika ini iaitu untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain memastikan usaha pemulihan ekonomi berkesan.
Prof Jomo juga memberi saranan agar skim Rancangan Makanan Tambahan ( RMT ) untuk ditambahbaik. Skim RMT merupakan sebuah program kerajaan yang bertujuan memberi makan kepada anak-anak golongan susah di sekolah.
Menurut tokoh ekonomi ini, kerajaan perlu lebih mengutamakan petani tempatan dalam proses perolehan RMT berbanding syarikat-syarikat gergasi.
” Sepatutnya kita gunakan skim tersebut untuk menggalakkan petani-petani kita untuk mengeluarkan makanan-makanan yang sihat, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya. Kalau perlu, kerana kita banyak mengabaikan makanan sihat. Kita boleh import dari luar, misalnya kacang soya, bukan mahal sangat tetapi memberi banyak manfaat dari segi protein, kalsium dan sebagainya. “
Ketika ditanya mengenai cukai durian runtuh serta cukai kekayaan, Prof Jomo berfikiran bahawa sistem cukai di negara ini secara amnya tidak adil. Beliau menyatakan bahawa arwah Prof Ismail Salleh pernah menunjukkan bahawa ketidaksamaan ekonomi selepas cukai dikenakan lebih teruk berbanding sebelum cukai dikenakan.
Beliau mengulas lanjut isu ini dengan mengatakan bahawa keadaan ini lebih buruk pada tahun 80-an disebabkan peranan cukai kepenggunaan seperti SST yang lebih besar selain kadar cukai pendapatan yang dikurangkan. Manakala sebilangan besar perbelanjaan fiskal kerajaan pula hanya banyak memberikan manfaat kepada golongan berada.
Prof Jomo juga turut bersetuju bahawa cukai durian runtuh perlu dilaksanakan di Malaysia sejak sekian lama.
” Sebenarnya kami telah mencadangkan cukai semacam itu dari dulu lagi. Misalnya jika harga minyak kelapa sawit melambung tinggi, adakah kerana kebijakan syarikat perladangan? Sudah tentu kerana faktor-faktor lain.
Jadi sepatutnya dasar semacam itu sudah lama dikenakan. Dan malah dikenakan di Malaysia terhadap PETRONAS, tetapi hanya terhadap PETRONAS. Jadi prinsip itu sudah lama dipersetujui dan sepatutnya dikenakan dari dulu lagi “
Jomo juga mengambil kesempatan untuk mengkritik sebilangan pihak di Malaysia yang sering menjadikan Amerika Syarikat serta United Kingdom sebagai kiblat dalam menangani krisis Covid-19 ini. Menurut beliau, kerajaan perlu sanggup untuk belajar dari beberapa negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Kerala di India yang telah berjaya dalam mengawal Covid-19 dalam keadaan yang jauh lebih miskin berbanding Malaysia.
Prof Jomo merupakan bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pembangunan Ekonomi di Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB. Beliau berkhidmat di Universiti Malaya sebelum dilantik untuk berkhidmat di PBB dari tahun 2005 hingga 2012
Prof Jomo telah diwanwacara secara atas talian pada malam Jumaat yang lepas bersama Ekonomi Rakyat. Video wawancara tersebut akan dimuatnaik ke dalam akaun Youtube Ekonomi Rakyat dalam masa yang terdekatÂ