
” Ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan sebuah negara, satu, rasuah. Dua, tak menepati masa. Tiga, cinggey. “
Itu adalah petikan dialog Jijo Alfonso Pareira Abdullah di dalam filem Rock Oo! yang diarahkan oleh legenda perfileman tanahair, Mamat Khalid. Meskipun fokus utama dialog tersebut adalah untuk memperli Slash yang suka berkepit dengan kekasihnya, namun amat menarik sekali apabila Mamat Khalid meletakkan soal rasuah di tangga pertama.
Soal rasuah dan tidak menepati masa sebenarnya sudah sebati dengan masyarakat kita. Masakan istilah ‘Malaysia Boleh’ ataupun Malaysian Time boleh wujud jika perkara ini tidak berleluasa.
Jika ditelusuri kembali filem Mamat Khalid itu, detik kumpulan Rimba Bara ingin bertolak ke Kuala Lumpur, Slash yang dilakonkan oleh Pekin Ibrahim merupakan individu yang datang paling lewat untuk menaiki bas.
*Dan kemudiannya Slash memarahi kekasihnya
Jelas ini menunjukkan bahawa sikap tidak menepati masa juga sukar diubah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tetapi artikel ini bukan ingin membincangkan mengenai soal masa. Tetapi soal rasuah yang semakin kronik saban hari.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, rasuah merupakan satu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun.
Isu rasuah sudah berlarutan sejak sekian lama. Antara sarjana awal yang membicarakan soal rasuah adalah Prof Syed Hussein Alatas yang menulis beberapa buku mengenai rasuah. Antara buku yang ditulis beliau adalah Sosiologi Rasuah, Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi serta The Problem of Corruption.
Gejala rasuah di negara ini kian membarah. Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International secara tahunan menunjukkan Malaysia kini berada di tangga ke-57 pada tahun 2021, jatuh enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Skandal mega melibatkan bekas Perdana Menteri yang mengakibatkan negara kerugian berbillion ringgit turut menjadi Malaysia sebagai topik perbualan apabila berbicara mengenai isu korupsi di persada dunia.
Syed Hussein Alatas di dalam artikelnya pada tahun 1986 di dalam akhbar Berita Harian menyatakan bahawa kegagalan orang Melayu untuk menentang rasuah kerana ia tidak disertakan dengan emosi. Menurut beliau, orang Islam sudah pastinya akan marah apabila mengetahui bahawa pemimpin mereka makan babi, tetapi tidak begitu marah apabila pemimpin mereka mengambil rasuah.
” Kalau umpamanya kita katakan pemimpin suka makan babi. mudah sekali, mereka marah tetapi kalau kita katakan pemimpin itu mengamalkan rasuah. Marah itu tidak sekuat seperti marah makan babi. “
Prof Syed Hussein Alatas kemudiannya menerangkan secara lebih terperinci mengenai perkara ini.
” Nyata sekali bahawa pendapat makan babi itu didorong oleh perasaan emosi yang kuat tetapi pendapat menentang rasuah tidak didorong oleh emosi yang kuat. Sebabnya, menentang rasuah itu tidak didorong oleh perasaan yang kuat ialah kerana umat Islam umumnya sangat dipengaruhi oleh keadaan runtuh akhlak, dimana nilai-nilai Islam yang penting diabadikan di mana pemimpin-pemimpin mereka tidak memberi contoh-contoh yang cukup. “
Beliau juga mengkritik agamawan-agamawan yang tidak membicarakan mengenai rasuah meskipun kesannya begitu besar kepada masyarakat.
” Demikian juga, pendidik-pendidik agama kita tidak cukup memasuki soal-soal rasuah ini padahal perbuatan rasuah itu adalah satu perbuatan yang merosak dan zalim sekali. “
Di dalam artikel lain, beliau menyarankan agar tokoh-tokoh agama memainkan peranan untuk membasmi rasuah. Beliau berkata pemimpin-pemimpin agama mempunyai pengaruh tersendiri untuk memperkukuhkan peribadi individu-individu lain.

Prof Syed Hussein berkata kegagalan untuk membentuk masyarakat dalam memerangi rasuah sejak kecil akan mewujudkan generasi muda yang korup.
” Terdapat ramai daripada golongan generasi muda yang membesar di dalam kalangan masyarakat yang korup, mereka turut menjadi korup setelah mengalami berbagai amalan rasuah dari masa sekolah mereka “
Isu rasuah yang sudah lama bertapak dalam kalangan kita perlu dirawat serta merta kerana perkara ini telah memberi kesan buruk kepada seluruh rakyat Malaysia. Jika tidak ditangani, barah yang kian merebak ini akan memberikan kesan yang begitu besar bukan sahaja kepada kita, tetapi juga generasi yang mendatang.
Dan yang paling menyedihkan, mangsa utamanya adalah tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat marhaen di negara ini tatkala golongan elit akan terus bermaharajalela melakukan kemungkaran tanpa sebarang rasa takut untuk menganggung akibatnya.