Oleh J Solomon dan Dr Zouhair Rosli
Abang Mat bekerja sebagai seorang kerani di sebuah bank di Malaysia. Beliau telah bekerja selama lebih 20 tahun. Setiap tahun, beliau akan menerima kenaikan gaji yang adil dan manfaat-manfaat lain seperti pinjaman tanpa faedah dengan nilai yang tinggi. Manfaat pekerjaan ini bukanlah ditetapkan oleh majikan. Akan tetapi, ianya ditetapkan melalui desakan dari Kesatuan Sekerja yang disertai oleh Abang Mat. Manfaat pekerjaan yang diperolehi oleh Abang Mat ini adalah hasil rundingan bersama yang berlaku antara pihak majikan dan juga Kesatuan Sekerja. Malah, bukan Abang Mat seorang sahaja yang menerima manfaat pekerjaan ini, malah rakan-rakan sekerja Abang Mat yang tidak mendaftarkan diri sebagai ahli Kesatuan Sekerja juga turut menerima manfaat ini.
Situasi di atas adalah salah satu contoh bagaimana Kesatuan Sekerja yang kuat dan bersatu padu dapat membantu pekerja, terutama sekali pekerja bawahan yang tidak mempunyai suara dan seringkali ditindas oleh majikan. Di peringkat global, Kesatuan Sekerja yang kuat dapat meningkatkan gaji pekerja dengan lebih tinggi serta mengurangkan jurang pendapatan yang wujud dalam sesebuah organisasi dan ekonomi.[1] Malah, Kesatuan Sekerja juga mampu memastikan pekerja menerima gaji yang setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.[2]
Malangnya, di Malaysia, Kerajaan seolah-olah ingin melemahkan lagi Kesatuan Sekerja. Pada 10 Oktober 2023, Dewan Rakyat telah meluluskan sebuah RUU yang akan melemahkan lagi kuasa Kesatuan Sekerja. RUU yang dimaksudkan ialah RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023.
Pindaan ini dibuat konon-kononnya bagi memberi kebebasan kepada pekerja untuk memilih mana-mana Kesatuan Sekerja yang mereka mahu sertai. Akan tetapi, apa yang akan berlaku ialah kebebasan ini akan menyebabkan Kesatuan Sekerja dan para pekerja menjadi berpecah belah. Hal ini kerana Pindaan ini akan membenarkan lebih banyak Kesatuan Sekerja (Kepelbagaian Kesatuan Sekerja) diwujudkan di dalam sesebuah tempat kerja yang sama. Akibatnya, akan lahir lebih banyak Kesatuan Sekerja yang bersifat mesra majikan. Malah, lebih buruk lagi apabila ada sesetengah Kesatuan Sekerja ini mungkin hanya sekadar menjadi boneka kepada majikan, sekali gus melemahkan kuasa pekerja untuk berunding dengan pihak majikan.
Bagi menjustifikasikan Pindaan ini, Kerajaan telah menjual cerita dongeng dengan menunggang Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 87 yang mana kononnya pekerja harus diberi “Kebebasan dalam Berpersatuan”. Namun, Kerajaan dilihat sengaja buat-buat lupa bahawa konvensyen antarabangsa ini tidak pernah menyatakan bahawa pelbagai Kesatuan Sekerja boleh diwujudkan sehingga melemahkan kuasa pekerja untuk berunding dengan pihak majikan. Ia juga akan menyebabkan pekerja akan terus ditekan supaya menurut apa sahaja permintaan majikan, termasuklah kenaikan gaji yang rendah dan tidak setimpal serta manfaat pekerjaan yang terhad.
Ini tidak lain tidak bukan adalah satu cerita khayalan dari Kerajaan yang ternyata hanyalah akan melemahkan kuasa pekerja. Oleh itu, Pindaan ini harus ditentang habis-habisan demi memelihara nasib golongan pekerja.
Lebih menyedihkan lagi, Wakil Rakyat di parlimen yang diundi oleh rakyat seolah-olah tidak kisah langsung tentang nasib yang akan menimpa golongan pekerja, terutamanya golongan pekerja bawahan. Kita mempunyai 222 Ahli Parlimen. Namun, hanya kira-kira 20 Ahli Parlimen sahaja yang hadir ketika RUU ini dibentangkan pada 10 Oktober yang lepas. Ini bermakna majoriti Ahli Parlimen yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat (yang rata-ratanya terdiri dari golongan pekerja) telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Sudahlah tidak ramai Ahli Parlimen yang hadir, malah kesemua 20 Ahli Parlimen yang hadir ini hanya bersetuju dengan RUU ini tanpa sebarang bantahan. Adakah Ahli Parlimen sedar tentang implikasi RUU ini terhadap rakyat yang sepatutnya mereka jaga? Adakah Ahli Parlimen sebenarnya kisah tentang nasib rakyat? Nampaknya tidak.
Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana hendak mengukuhkan lagi Kesatuan Sekerja, bukannya melemahkan dan memecahbelahkan lagi Kesatuan Sekerja. Memandangkan nasib dan keadaan pekerja sekarang sudah teruk, ditambah dengan isu-isu seperti peningkatan kos sara hidup, maka tiada keperluan untuk Kerajaan memburukkan lagi keadaan dengan terus menafikan hak pekerja.
Tidak Ramai Pekerja di Malaysia yang Mendaftarkan Diri Sebagai Ahli Kesatuan Sekerja
Peratusan pekerja yang berdaftar sebagai ahli Kesatuan Sekerja di Malaysia kini sudah sedia rendah. Pada tahun 1996, keahlian Kesatuan Sekerja hanyalah 12% daripada jumlah pekerja di Malaysia. Walaubagaimanapun, peratusan ini telah menurun kepada hanya sekitar 8.5% pada tahun 2019, iaitu hampir dua kali ganda lebih rendah dari purata di negara-negara OECD (16%).[3] Lebih teruk, peratusan ini terus menurun kepada 7.9% pada tahun 2022 di Malaysia. Sebaliknya, negara jiran Singapura merekodkan peningkatan peratusan pekerja yang berdaftar dengan Kesatuan Sekerja dari 17% pada tahun 1996[4] kepada 22% pada tahun 2019.[5]
Langkah Kerajaan melemahkan lagi Kesatuan Sekerja adalah tidak selari dengan usaha Kerajaan yang kononnya ingin memelihara kebajikan dan meningkatkan gaji pekerja. Pelbagai kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa penyertaan lebih ramai pekerja dalam Kesatuan Sekerja serta Kesatuan Sekerja yang kuat akan memberikan kesan positif kepada golongan pekerja. Di Amerika Syarikat misalnya, negeri yang mempunyai ahli Kesatuan Sekerja yang ramai, kuat, dan bersatu padu didapti mempunyai gaji minimum 19% lebih tinggi daripada gaji minimum di peringkat nasional, dan 40% lebih tinggi daripada gaji minimum di negeri yang mempunyai ahli Kesatuan Sekerja yang sedikit.[6]
Kerajaan juga kononnya ingin memastikan agihan pendapatan negara kepada pekerja yang lebih tinggi menjelang tahun 2025. Gaji yang diberi kepada pekerja di Malaysia sekarang ini adalah tidak adil. Contoh mudah ialah gaji minima. Setelah mengambil kira produktiviti pekerja, peningkatan kos sara hidup dan pendapatan garis kemiskinan (PGK), gaji minima pada tahun 2022 sepatutnya berjumlah sekitar RM2,300 sebulan, jauh lebih tinggi dari RM1,500 sebulan yang sedang dikuatkuasakan sekarang. Jumlah RM2,300 ini bukanlah dipetik dari langit, akan tetapi jumlah ini adalah berdasarkan kepada formula gaji minima yang turut diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia.[7]
Agihan pendapatan negara juga tidak adil kepada golongan pekerja. Pada tahun 2022, bagi setiap RM100 pendapatan di dalam ekonomi Malaysia, hanya RM32 diterima oleh pekerja, lebih rendah berbanding negara-negara maju yang mengagihkan sekitar RM50 kepada pekerja mereka. Malah, Afrika Selatan yang mempunyai tahap pembangunan yang lebih kurang sama dengan Malaysia turut mengagihkan RM48 kepada pekerja mereka.
Kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ingin meningkatkan agihan ini kepada RM40 pada tahun 2025. Masa yang tinggal hanyalah dua tahun dari sekarang. Bagaimana mungkin sasaran ini dapat dicapai? Adakah dengan menekan dan memecahbelahkan Kesatuan Sekerja dapat membantu Kerajaan mencapai sasaran gaji yang lebih tinggi kepada pekerja?
Harapan kini terletak di Dewan Negara. Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan RUU Kesatuan Sekerja ini. Tetapi ianya masih belum terlambat untuk membela nasib pekerja terutamanya pekerja di peringkat bawahan. Kami berharap supaya Dewan menolak dan mengarahkan Dewan Rakyat meneliti semula Pindaan ini.
[1] IZA. 2014. Union wage effects. Diambil dari Link – here.
[2] ITUC. 2023. A new report from the International Trade Union Confederation (ITUC) highlights successful union strategies for achieving minimum living wages. Link – here.
[3] OECD. Employment and Labour Market Statistics. Link – here.
[4] ILMIA. 2015. A study on trade union effectiveness in Malaysia.
[5] ILO. ILOSTAT: Trade Union Density Rate (%). Link – here.
[6] Economic Policy Institute. 2021. Unions are not only good for workers, they’re good for communities and for democracy. Link – here.
[7] National Wage Consultative Council Malaysia. 2018. Minimum Wage Policy in Malaysia.
J. Solomon merupakan bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) manakala Dr Zouhair Rosli merupakan Ahli Ekonomi yang terlibat aktif dalam penyelidikan berkaitan sosiokonomi di Malaysia