Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berpendapat dasar untuk mengehadkan penjualan ekuiti Bumiputera hanya kepada Bumiputera sebagai satu langkah bunuh diri kepada ekonomi orang Melayu. Beliau berpendapat strategi tersebut sebagai tidak masuk akal dan tidak mempunyai sebarang rasional.
” Polisi kita kalau nak jual, kena jual ( ekuiti ) kepada syarikat Bumiputera. Bagaimana syarikat Bumiputera hendak maju? Yang banyak duit bukan orang Bumiputera. Yang banyak duit adalah golongan bukan Bumiputera, pelabur asing. “
Dr Muhammed yang juga penulis buku The Colour of Inequality menjelaskan mana-mana pihak yang boleh memberikan kemajuan dalam membangunkan ekonomi Bumiputera perlu diberi peluang untuk melabur di dalam syarikat Bumiputera.
Beliau juga berkata pengumuman terdahulu oleh Kementerian Kewangan yang mahu syarikat-syarikat logistik mempunyai 51% ekuiti Bumiputera sebagai bertentangan dengan inisiatif Keluarga Malaysia. Menurut beliau, langkah tersebut adalah tidak adil terutamanya bagi mereka yang telah membangunkan perniagaan tersebut dari bawah.
” Ini tidak adil. Ini bukan konsep Keluarga Malaysia yang baik. Kalau saya bukan Melayu, tiba-tiba pegangan perlu diberikan kepada saudara, apa perasaan saya? Saya buat perniagaan ini dah lama. Tiba-tiba kerajaan kata bagi 51% ekuiti kepada Bumiputera. Ini bukan cara yang baik. Cara yang lebih baik adalah memastikan syarikat-syarikat lain Bumiputera ada kapasiti untuk berkembang. Lebih baik jika mereka bekerjasama “
Beliau turut berkata bahawa apabila isu pemilikan ekuiti Bumiputera diketengahkan, apakah matlamat yang ingin dicapai disebalik segala dasar-dasar bagi memperkukuhkan ekonomi Bumiputera. Beliau turut melontarkan persoalan Bumiputera yang manakah yang mendapat manfaat daripada segala dasar-dasar ini.
Kalau kita tengok ekuiti di sektor korporat. Siapa yang mendapat manfaat. Adakah Mak Cik Kiah mendapat manfaat?
Dr Muhammed berpendapat, jika langkah pemerkasaan Bumiputera yang dibuat dengan sewenang-wenangnya, tindakan ini akan terus melebarkan jurang kekayaan diantara Bumiputera itu sendiri. Beliau mengambil contoh simpanan Bumiputera di dalam Amanah Saham Bumiputera.
Katanya, 80% penyimpan ASB hanya mempunyai keseluruhan tabungan sebanyak 4% sahaja daripada keseluruhan dana ASB. Manakala 10% penyimpan mempunyai lebih 80% daripada keseluruhan simpanan di dalam ASB tersebut.
Laporan terbaru ASB menunjukkan bahawa 76% ( 7.8 juta ) penyimpan di hanya mempunyai purata simpanan sebanyak RM590 di dalam akaun mereka. Manakala bagi 0.27% ( 27,450 ) penyimpan lain, mereka mempunyai purata simpanan sebanyak RM807,760.
Beliau turut menegaskan adalah lebih penting kapasiti perniagaan dan pendidikan Bumiputera diperkasakan agar kumpulan ini dapat bersama-sama mengambil bahagian di dalam pelbagai sektor ekonomi.
Dr Muhammed juga meluahkan kekecewaannya terhadap sikap sebilangan keluarga Bumiputera yang mengambil hak orang lain terutamanya berkaitan dengan hal biasiswa dan pinjaman pendidikan.
” Bila nak belajar, ambil pinjaman daripada MARA. Bayar balik pinjaman kurang. Pergi tengok bola, boleh belanja. Kereta ratus ribu boleh belanja. Bila ke pendidikan anak-anak, minta kepada MARA. “
Beliau yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat pada Sabtu lalu berharap agar biasiswa dan bantuan pendidikan dapat lebih ditumpukan kepada golongan kurang bernasib baik.