Pandemik Covid-19 sememangnya meninggalkan kesan yang begitu besar buat ekonomi negara. Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) pada suku kedua tahun ini jatuh 17.1% berbanding tempoh yang sama tahun lalu selepas mencatatkan pertumbuhan perlahan 0.7% pada suku pertama.
Sektor ekuiti juga menunjukkan reaksi negatif. Indeks Bursa Malaysia jatuh 400 mata dari 1,600 mata pada permulaan tahun kepada 1,200 mata pada pertengahan Mac sebelum kembali pulih selepas itu.
Perintah Kawalan Pergerakan pula memberikan tekanan yang besar buat pekerja apabila tidak dapat menjalankan rutin seperti sedia kala. Peniaga-peniaga yang bekerja sendiri tidak dapat membuka gerai di pasar malam. Bagi mereka yang makan gaji, ramai yang diberhentikan kerja akibat majikan tidak mampu lagi untuk membayar upah mereka.
Media tidak henti-henti melaporkan proses pemberhentian kerja yang dilakukan majikan. Baru-baru ini, syarikat penerbangan tambang murah, Airasia dilaporkan akan menjalankan proses pemberhentian kerja kali kedua untuk staf-staf mereka.
Kedai-kedai runcit di lapangan terbang dilaporkan tidak lagi beroperasi kerana jumlah penumpang kapal terbang yang terhad. Pekerja-pekerja di dalam sektor hospitaliti seperti perhotelan dan kelab-kelab malam turut terkesan.
Dari Seberang Tambak Johor, lebih 15,000 pekerja Malaysia telah kehilangan kerja di Singapura. Ribuan lagi pekerja-pekerja Malaysia yang bekerja di luar negara terpaksa pulang akibat Covid-19.
Sementara itu, menjelang akhir tahun ini, Menteri Pengajian Tinggi melaporkan terdapat kira-kira 75,000 pelajar di Institut Pengajian Tinggi bakal memasuki pasaran buruh. Ini memberikan tekanan kepada kerajaan dan pihak majikan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.
Namun di sebalik kegusaran rakyat, data rasmi menunjukkan bahawa kadar pengangguran di Malaysia sebenarnya menurun berbanding paras tertinggi pada 5.3% pada Mei 2020 kepada 4.7% pada Julai 2020. Dalam kata lain, hanya 745,000 orang sahaja yang menganggur pada Julai tahun ini berbanding 826,000 orang pada Mei.
Apa Sebenarnya yang Berlaku? Adakah Ekonomi Semakin Baik?
Ekonomi negara sememangnya mengalami pemulihan sebaik saja PKP ditamatkan. Aktiviti ekonomi semakin rancak dan orang ramai sudah mula keluar bekerja. Namun, ia bukan bermaksud bahawa keadaan sudah kembali normal seperti sebelum ini.
Kadar pengangguran yang semakin menurun tidak menunjukkan realiti sebenar yang dialami oleh rakyat. Definisi bekerja menurut Jabatan Perangkaan Malaysia adalah mereka yang bekerja sekurang-kurangnya sejam pada minggu rujukan untuk mendapatkan upah, keuntungan atau hasil kepada keluarga.
Ini bermaksud jika Adam, seorang pramugara yang dibuang kerja membantu ibunya menjual goreng pisang di hadapan rumah pada petang hari, beliau juga dianggap bekerja oleh Jabatan Perangkaan meskipun tidak mendapat sebarang upah. Menurut definisi Jabatan Perangkaan, beliau dianggap sebagai pekerja keluarga tanpa gaji.
Pekerja-pekerja yang dibuang kerja ini secara amnya tidak hanya duduk diam di rumah saja apabila diberhentikan kerja. Mereka akan cuba berikhtiar sedaya upaya untuk menjana pendapatan bagi menyara kehidupan mereka terutamanya mereka yang sudah berkeluarga.
Dengan kemajuan teknologi yang pesat di Malaysia, pekerja boleh menjana pendapatan dengan bekerja melalui aplikasi-aplikasi atas talian seperti Grab, Foodpanda dan sebagainya. Dalam kata lain, meskipun mereka kehilangan kerja, ia bukan bermakna mereka tidak lagi bekerja.
Bagaimana Situasi Kerja Mereka?
Meskipun golongan ini masih bekerja, namun situasi pekerjaan jauh lebih buruk berbanding mereka diberhentikan kerja. Sebagai contoh, jika dahulunya mereka bekerja 40 jam seminggu, kini, pekerjaan mereka mungkin hanya lebih kurang 20 jam seminggu. Dalam kata lain, pendapatan bulanan mereka bukanlah pada paras sebelum Covid-19 kerana jam bekerja yang berkurang.
Perkara ini boleh dilihat di dalam Laporan yang dikeluarkan oleh UNICEF beberapa minggu lalu. Dapatan UNICEF menunjukkan 31% ketua isi rumah di PPR Kuala Lumpur mengalami penurunan jam bekerja akibat Covid-19.
Pekerjaan-pekerjaan yang diambil oleh mereka yang kehilangan kerja juga mungkin tidak setimpal dengan kelayakan mereka. Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa ramai juruterbang-juruterbang di Malaysia diberhentikan akibat penerbangan yang terhad. Oleh itu, ada sebilangan mereka mengambil keputusan untuk melakukan perkhidmatan penghantaran makanan.
Dari sudut ekonomi, keadaan ini dipanggil sebagai under-employed dimana mereka bekerja dibawah kelayakan yang mereka ada.
Selain itu, mereka yang bekerja sendiri ( Own Account Workers ) antara golongan yang paling terkesan akibat Covid-19 kerana mereka majoriti daripada mereka meraih pendapatan secara harian. Bilangan pekerja yang bekerja sendiri menurun 36,900 orang pada Julai 2020 yang berkemungkinan berpunca dari ketidakmampuan untuk memulakan perniagaan semula seperti ketiadaan modal permulaan.
Keluar Dari Pasaran Buruh
Terdapat juga situasi dimana tenaga buruh keluar dari pasaran buruh untuk melakukan tugasan lain seperti menjaga anak atau menyambung pelajaran kerana pulangan hasil untuk bekerja tidak berbaloi.
Sebagai contoh, jika dahulunya sang isteri memeperoleh gaji RM2,000 sebulan, kini selepas dibuang kerja, agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang sedemikian. Oleh itu, beliau mungkin memilih untuk menjaga anak di rumah berbanding menghantar anak ke pusat asuhan sementara si suami keluar mencari nafkah.
Keadaan sedemikian boleh dilihat dari Kadar Penyertaan Tenaga buruh dimana kadar ini telah menurun 0.8% dari 68.9% pada Januari 2020 kepada 68.1% pada Julai 2020. Terdapat 7.4 juta orang yang berada di luar tenaga buruh pada Julai berbanding pada Januari iaitu 7.13 juta orang.
Jumlah tenaga buruh juga jatuh dari 15.83 juta kepada 15.82 juta pada Julai 2020.
Kadar Pengangguran Bukan Indikator Yang Sempurna
Meskipun kadar pengangguran merupakan satu petunjuk yang boleh diperhatikan bagi mencerap keadaan ekonomi negara. Ia tidak memberikan cerminan yang jelas tentang apa yang berlaku di lapangan. Pembuat dasar tidak sepatutnya beranggapan bahawa kadar pengangguran yang semakin menurun sebagai petunjuk jelas ekonomi semakin pulih seperti sediakala.
Perdana Menteri pada minggu lalu telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 kepada isi rumah dan golongan bujang B40 dan M40. Ini merupakan petunjuk jelas bahawa kerajaan mengakui keadaan ekonomi negara masih berada di tahap yang membimbangkan sekaligus menyalurkan bantuan susulan kepada mereka yang terkesan.
Namun terdapat persoalan yang lebih besar yang masih tidak terjawab. Adakah bantuan-bantuan ini cukup untuk membantu rakyat mengharungi hari-hari yang mencabar ini?