RMK-12 Fokus Untuk Rancakkan Ekonomi, Basmi Kemiskinan & Rapatkan Jurang

Share it
Malaysia rancang tingkatkan pendapatan purata isi rumah kepada RM10,065 sebulan menjelang tahun 2025

Rancangan Malaysia Ke-12 ( RMK-12 ) yang merupakan pelan hala tuju Malaysia untuk tempoh lima tahun mendatang ( 2021-2025 ) telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen semalam.

Dengan matlamat ‘ Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan ‘, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Empat matlamat utama RMK-12 adalah ;

  • Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025
  • Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025
  • Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025
  • Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

Malalui perancangan ini, Malaysia menyasarkan untuk merekodkan pertumbuhan diantara 4.5% hingga 5.5% setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding pencapaian yang dicatatkan pada RMK-11 iaitu sebanyak 2.7% setahun.

Selain itu, RMK-12 juga menyasarkan untuk meningkat pendapatan purata isi rumah kepada RM10,065 sebulan serta menaikkan pampasan pekerja kepada 40% berbanding KDNK.

Salah satu fokus utama RMK-12 juga bertujuan untuk membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan. Kerajaan akan memberikan keutamaan kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 untuk mendapat biasiswa dan memasuki sekolah berprestasi tinggi.

Ucapan Perdana Menteri juga menyentuh mengenai keadaan kesihatan kanak-kanak dari keluarga B40 yang kekurangan zat. Beliau menyatakan bahawa isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui pemberian makanan yang berkhasiat.

RMK-12 juga akan memberi penekanan terhadap pemerkasaan industri kecil dan sederhana dalam usaha merancakkan ekonomi negara. Kerajaan turut beri komitmen untuk mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif bagi menggalakkan pelaburan berkualiti ke dalam negara ini.

Agenda Pemerkasaan Bumiputera juga tidak terlepas dari perhatian kerajaan di dalam rangka ini. Perdana Menteri menyatakan bahawa jurang pendapatan diantara kaum Bumiputera dan Cina telah melebar kepada empat kali ganda sejak tahun 1989.

Kerajaan merancang untuk memberikan tumpuan bagi melahirkan modal insan Bumiputera yang mempunyai kepakaran teknikal serta terdiri daripada golongan profesional. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera yang kian berkurangan, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan jaringan keselamatan ekuiti dimana saham-saham Bumiputera hanya boleh dipindahkan kepada syarikat, konsortium ataupun individu Bumiputera sahaja.

RMK-12 juga mahu merancakkan kegiatan ekonomi di negeri-negeri kurang membangun bagi merapatkan jurang diantara wilayah. Hampir RM12 bilion akan diagihkan kepada Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan inisiatif JENDELA sepanjang RMK-12 dalam usaha mewujudkan akses internet di kedua-dua negeri tersebut.

Rancangan Malaysia ke-12 sepatutnya dibentangkan pada tahun lalu iaitu sebelum tahun 2021 bermula, namun disebabkan ketidaktentuan politik yang berlaku pada tahun lalu, RMK-12 dibentangkan sembilan bulan selepas negara ini menginjak masuk ke tahun 2021.