Rokok Seludup – Kerajaan Hilang RM5.1 Bilion pada 2018

Share it

Sejak tahun 2010, harga rokok di Malaysia meningkat hampir 70%. Rokok premium seperti Dunhill dan sebagainya hanyalah berharga RM10 sekotak pada tahun 2010 dan kini meningkat melebihi RM17.00. Manakala harga rokok sub-premium pula meningkat dari RM8.50 kepada Rm15.50 dalam tempoh yang sama.

Tindakan kerajaan yang beransur-ansur menaikkan kadar cukai dan duti rokok bukan sahaja gagal mengurangkan kadar perokok di Malaysia bahkan telah mencetuskan masalah baru iaitu isu rokok seludup.

Meskipun harga rokok meningkat hampir 70% sejak 2010, peratusan perokok di Malaysia kelihatan kekal sama di atas paras 20%. Walaupun terdapat penurunan kadar perokok dari 23.1% pada 2011 kepada 22.8% pada 2016, kadar ini lebih tinggi berbanding tahun 2006 iaitu 21.5%.

Berbanding negara-negara serantau, peratusan perokok di Malaysia lebih tinggi berbanding Thailand, Brunei dan Singapura yang masing-masing mempunyai peratusan perokok sebanyak 19.9%, 16.9% dan 16.5%. Peratusan perokok di Indonesia pula agak tinggi berbanding negara serantau yang lain iaitu 39.4%. Tidak hairanlah pemilik Gudang Garam di Indonesia tersenarai sebagai salah seorang individu paling kaya di Indonesia.

Permasalahan rokok seludup juga memberi kesan kepada hasil percukaian negara. Oxford Economics dalam laporannya bertajuk The Economics of Illicit Tobacco Trade in Malaysia menyatakan bahawa kerajaan telah kehilangan RM5.1 bilion hasil cukai dan duti eksais tembakau pada tahun 2018. Rokok seludup juga menguasai 59% pasaran rokok Malaysia dimana angka ini lebih tinggi berbanding Brazil dan Ecuador.

Sarawak merekodkan kadar penggunaan rokok seludup tertinggi dengan 83.5% daripada keseluruhan pasaran diikuti oleh Sabah ( 81.3% ) dan Kelantan ( 78.0% ). Perlis pula mencatatkan peratusan terendah rokok seludup dengan 39.3% dari keseluruhan pasaran rokok.

Jumlah penggunaan rokok seludup juga meningkat dari 7.9 bilion batang pada 2013 kepada 12 bilion batang pada 2018 manakala rokok yang sah pula menurun dari 14.2 bilion batang kepada 8.3 bilion batang dalam tempoh yang sama.

Dimana Silapnya?

Teori ekonomi secara amnya menjangkakan bahawa peningkatan cukai terhadap rokok akan menambahkan lagi hasil kerajaan kerana perokok dianggap akan terus membeli rokok kerana tabiat merokok ini agak sukar dihentikan. Namun hakikatnya, kelompongan di pelbagai sektor telah membuka pasaran baru rokok seludup yang jarang sekali kita dengar sebelum tahun 2010.

Kegagalan ini perlu diambil iktibar oleh pihak bertanggungjawab agar situasi seperti ini tidak berulang kembali di masa hadapan. Dua kilang rokok yang dilaporkan ditutup pada 2013 mengakibatkan ekonomi Malaysia kehilangan sekitar RM831 juta dengan 590 orang hilang pekerjaan.

Namun bagi perokok, kemasukan rokok seludup secara besar-besaran ke Malaysia merupakan suatu rahmat. Rokok sub-premium yang dahulunya pada 2010 berharga RM8.50 boleh digantikan dengan rokok seludup berharga sekitar RM4.50 sekotak. Ini bermaksud perokok menikmati kira-kira 50% diskaun sekarang berbanding beberapa tahun lalu.

Laporan Oxford Economics juga menyatakan bahawa terdapat peningkatan 5% penggunaan rokok secara keseluruhan apabila kerajaan meningkatkan kadar duti eksais.

Saham BAT Terus Menjunam

Saham syarikat tembakau terkemuka, British American Tobacco yang mengeluarkan rokok-rokok popular seperti Dunhill, Pall Mall dan Kent terus mengalami penurunan harga. Sekitar tahun 2010, nilai saham BAT adalah sekitar RM44 sesaham dan pernah merekodkan paras tertinggi pada tahun 2014 dengan harga saham setinggi RM73. Namun kini, saham BAT terus merudum sehingga didagangkan dengan harga serendah RM12 sesaham.

Penyusutan nilai saham BAT ini berpunca dari penurunan keuntungan yang dicatatkan oleh BAT. Keuntungan dari operasi menurun dari RM651 pada 2017 kepada RM637 juta pada 2018. Keuntungan mereka pada kebelakangan ini hampir separuh dari keuntungan yang dicatatkan pada tahun 2014 iaitu RM1,243 juta.

Syarikat-syarikat rokok seperti BAT kini menempuhi detik-detik sukar bukan saja kerana peningkatan cukai eksais tetapi juga dengan pengenalan rokok-rokok elektronik sekaligus menjadikan rokok konvensional semakin tidak mendapat sambutan dari orang ramai.

<strong>Follow us on</strong>