Tulisan Prof Syed Farid Alatas
Islam tidak menentukan sistem atau aturan ekonomi-politik yang seharusnya diamalkan umatnya. Yang ditentukan dan digalakkan Islam adalah suatu sistem adab dan akhlak yang seharusnya menggarisbawahi mana-mana dan setiap sistem ekonomi-politik yang didirikan oleh masyarakat Muslim.
Dalam sejarah Islam, telah wujud pelbagai sistem ekonomi politik dari zaman Rasulullah Muhammad hingga sekarang. Pada awal perkembangan masyarakat Islam di Mekah dan Madinah, sistem ekonomi politiknya terdiri daripada sekurang-kurangnya dua jenis, iaitu, sistem atau ragam pengeluaran komoditi skala kecil (petty commodity mode of production) dan ragam pengeluaran pemgembara pastoral (pastoral nomadic mode of production).
Pada zaman Khilafah Uthmaniyah, Empayar Safawiyah dan Kesultanan Melaka pada zaman pra-moden, sistem ekonomi-politiknya dicirikan, pada umumnya, oleh ragam pengeluaran perlungguhan (prebendal feudal mode of production).
Pada zaman sekarang pula, kebanyakan negara Islam mengamalkan sistem kapitalisme atau ragam pengeluaran kapitalis.
Namun begitu, pada zaman moden, sesetengah sarjana dan pemikir Muslim mempunyai kecenderungan terhadap sosialisme yang mereka menganggap jauh lebih sehaluan dengan nilai-nilai Islam berbanding dengan kapitalisme.
Dalam karya beliau, Islam dan Sosialisme, Syed Hussein Alatas mengungkapkan pendapat bahawa sosialisme itu sudah ada dalam Islam, dalam erti bahawa Islam sememangnya bersifat sosialis. Pada umumnya, tiada pertentangan antara Islam dan sosialisme. Yang ditentang Islam ialah jenis-jenis sosialisme tertentu.
Di sini kita perlu membezakan antara sosialisme beragama dan sosialisme yang tidak beragama, seperti yang dilakukan oleh tokoh Jawa terkenal, Haji Omar Said Tjokroaminoto, dalam karya beliau yang juga berjudul Islam dan Sosialisme.
Syed Hussein Alatas mengatakan bahawa kita sebagai orang Islam tidak seharusnya menyangkal pandangan materialisme dialektik secara keseluruhan, tetapi hanya segi-segi tertentu yang bertentangan dengan agama seperti fahaman materialisme dialektik mengenai asal-usul dan peranan agama, relativisme akhlak dan sebagainya.
Sosialisme itu tidak seharusnya ditolak oleh sebab kaitannya dengan Karl Marx, pencipta materialisme dialektik. Ramai individu dan golongan masyarakat takut dengan gagasan-gagasan Marx dan Marxisme. Padahal, bukan segala pemikiran Marx bertentangan dengan Islam malah banyak gagasan penting telah dihasilkan oleh Marxisme yang dapat membantu kemajuan masyarakat kita.
Marx paling masyhur dengan karya penyelidikan tiga jilidnya yang berjudul Modal (Jer. Das Kapital). Tiada universiti terkemuka di dunia ini yang tidak mengajarkan teori-teori Marx mengenai kapitalisme. Marx dianggap salah satu pendiri bidang sosiologi moden. Dia merupakan ahli teori masyarakat kapitalis. Sebahagian besar daripada tulisannya bertujuan untuk memperlihatkan asal-usul, sifat dan akibat ragam pengeluaran kapitalis.
Kapitalisme dapat ditakrifkan sebagai suatu sistem di mana pekerja atau buruh menjual tenaga mereka kepada para pemilik modal. Marx percaya bahawa hal itu menjelmakan hubungan eksploitasi antara pemilik modal dan kelas buruh yang tidak memiliki modal. Melalui dasar eksploitasi, kelas buruh tidak diberikan kembali dalam bentuk upah nilai yang mereka memasukkan dalam proses pengeluaran.
Masalah utama yang diperhatikan Marx ialah tempoh panjang hari kerja. Upah yang ditentukan oleh pasar buruh sedemikian rupa sehingga jumlah jam kerja seorang pekerja menciptakan nilai ekonomi yang melebihi upah yang dibayar oleh para kapitalis kepada para pekerja.
Nilai lebihan (surplus value) inilah yang membolehkan para kapitalis memperolehi keuntungan. Pengambilan nilai lebihan ini ditakrifkan sebagai eksploitasi oleh Marx. Eksploitasi muncul daripada perbezaan antara upah yang dibayar kepada perkerja dengan nilai sebenar hasil usaha mereka.
Marx juga membincangkan keterasingan (alienation) yang dialami orang dalam masyarakat kapitalis. Kemajuan teknologi menyebabkan pekerja yang melakukan pekerjaan yang sangat berhubungan dan saling bergantung, dan tidak memungkinkan mereka mencapai potensi penuh mereka sebagai manusia yang kreatif dan sensual.
Dalam masyarakat seumpama ini, orang lebih banyak berhubung dengan mesin atau komputer daripada berhubung sesama manusia.
Eksploitasi dan keterasingan ialah dua penyakit utama masyarakat kapitalis moden. Menurut Marx, kelas buruh pada akhirnya akan menyedari keadaan mereka. Mereka akan memahami cara kerja sistem kapitalis. Ini bererti mereka akan memhami peranan mereka dalam penciptaan nilai, bagaimana upah ditentukan, dan bahawa mereka dieksploitasi. Kesedaran inilah disebut sebagai kesedaran kelas (class consciousness) oleh Marx.
Dia percaya bahawa kapitalisme akan pada akhirnya memberi jalan kepada sistem yang lebih adil, iaitu sosialisme. Dari segi ini, sejarah telah membuktikan bahawa Marx salah. Namun begitu, Marx memang memiliki pengaruh besar terhadap masyarakat kapitalis.
Penetapan 1 Mei sebagai Hari Buruh mempunyai banyak kaitan dengan usaha Marx. Marx merupakan seorang penggiat dalam gerakan kelas pekerja. Dia telah mendirikan Persatuan Pekerja Antarabangsa pertama yang didirikan di London tahun 1864.
Marx boleh dikatakan sebagai sumber ilham di belakang gagasan May Day atau Hari Buruh Antarabangsa yang jatuh pada 1 Mei di seluruh dunia.
Meskipun perhatian utama Marx adalah eksploitasi kelas pekerja, namun pemahamannya tentang kapitalisme dapat diperluas ke arah kritik pemerintah yang terlibat dalam rasuah, iaiti, pemerintah kleptokratik. Kleptokrasi secara harfiah mengacu pada aturan pencurian. Beberapa pemerintahan dikuasai oleh para ahli politik dan pegawai yang kleptokratik.
Mereka menyalahgunakan jawatan dan kekuasaan mereka untuk mengumpulkan modal dan kekayaan. Kekayaan tersebut digunakan untuk menambah pendapatan mereka dan proses pengumpulan modal. Dan modal adalah salah satu faktor pengeluaran.
Amalan rasuah seperti penyuapan, pemerasan, nepotisme merupakan cara utama pengumpulan modal. Sebenarnya, rasuah merupakan salah satu faktor pengeluaran juga.
Terlepas dari ramalan Marx yang salah tentang kapitalisme, Marx bukanlah ahli teori yang jahat dan ideologi ngeri komunisme yang disaksikan oleh Uni Soviet, Cina, atau Kamboja. Hanya orang yang tidak memahami secara betul gagasan Marx lah yang takut pada ajaran Marx. Mengajarkan gagasan Marx di sekolah atau tempat lain bukan untuk mengkhutbahkan komunisme, melainkan untuk mengkritik kapitalisme.
Eksploitasi, keterasingan dan rasuah merupakan masalah utama kebanyakan negara Muslim pada zaman moden ini. Gagasan-gagasan Marx dan para sosialis selainnya mengetengahkan masalah-masalah ini.
Syed Hussein Alatas menunjukkan dalam buku beliau bahawa sebahagian daripada kerisauan para sosialis tidak lain daripada kerisauan tokoh-tokoh Islam zaman dahulu juga. Beliau menyeru masyarakat Islam supaya bersungguh-sungguh memikirkan dan menggiatkan nilai-nilai sosialisme demi mencapai keadilan sosial.
Prof Syed Farid Alatas merupakan pensyarah sosiologi yang berkhidmat di Universiti Kebangsaan Singapura.Â
Ikuti saluran Telegram Ekonomi Rakyat untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY