Suruhanjaya Sekuriti Ubah Format Laporan, Pendapatan CEO Tidak Lagi Didedahkan

Share it

Laporan Tinjauan Urustadbir Korporat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti secara tahunan kini tidak lagi mendedahkan pendapatan yang diterima oleh CEO syarikat tersenarai di Malaysia. Sebaliknya, laporan tahun ini hanya memfokuskan pendapatan yang diperoleh oleh Ahli Lembaga Pengarah saja.

Perkembangan ini sememangnya menyedihkan buat rakyat Malaysia kerana sebahagian besar syarikat tersenarai turut dimiliki oleh rakyat Malaysia melalui institusi-institusi dana mega seperti PNB, KWSP, Khazanah dan sebagainya.

Konglomerat Genting Berhad kekal menjadi lembaga pengarah yang memperoleh pendapatan tertinggi di Malaysia dengan jumlah pendapatan sebanyak RM172 juta. Manakala sebuah lagi syarikat yang berkait rapat, Genting Malaysia Berhad mencatatkan pendapatan ahli lembaga pengarah sebanyak RM78 juta.

Pendapatan lembaga pengarah tertinggi terletak di sektor industri produk dan perkhidmatan dengan jumlah pendapatan penengah sebanyak RM11 juta diikuti sektor telekomunikasi ( RM10.8 juta ) dan sektor hartanah dan perladangan ( RM8.5 juta ).

Secara keseluruhannya, pendapatan penengah lembaga pengarah di Malaysia adalah sekitar RM7.4 juta. Kebanyakkan syarikat yang memperoleh pendapatan lembaga pengarah tertinggi merupakan syarikat yang dikawal oleh keluarga.

Menurut laporan ini, pendapatan lembaga pengarah tahun lalu untuk 100 syarikat FTSE Bursa Malaysia telah jatuh 11.7% berbanding tahun sebelumnya.

Penyertaan wanita di dalam syarikat tersenarai sebagai ahli lembaga pengarah turut menunjukkan perkembangan yang positif. Sebanyak 165 syarikat mempunyai 30% atau lebih wanita sebagai ahli lembaga pengarah berbanding 145 syarikat pada tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Ekonomi Rakyat menggunakan Laporan Tinjauan Urustadbir Korporat 2019 sebagai panduan untuk membandingkan pendapatan CEO dan pekerja di Malaysia yang mendapat pelbagai respons daripada pengguna media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *