Krisis kesihatan Covid-19 yang menjerumuskan negara ke dalam krisis ekonomi ini merupakan tragedi paling malang buat rakyat negara ini sejak kemerdekaan. Tatkala dunia melontarkan kata-kata ” the worst is over “, keadaan rakyat Malaysia pula menjadi semakin sukar sesuai dengan frasa ” from bad to worse “.
Setakat ini, lebih 4,000 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19.
Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 telah dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga ke penghujung Jun ini. Bantuan kerajaan terhadap isi rumah juga semakin berkurangan meskipun situasi rakyat Malaysia semakin tersepit akhir-akhir ini.
Jika dahulu, isi rumah B40 mendapat bantuan tunai dari kerajaan sehingga RM1,600. Namun kini, hanya tambahan RM500 diberikan kepada golongan berpendapatan rendah. Moratorium bersasar pula mengenakan faedah tambahan kelak kepada mereka yang mengambil kemudahan tersebut.
Pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebelum ini sedikit sebanyak meredakan tekanan kewangan mereka meskipun skim i-Sinar kini telah tiba ke penghujungnya. Hampir RM80 bilion wang mengalir keluar dari institusi tabungan persaraan tersebut yang bersamaan dengan 5.6% saiz ekonomi negara.
Berbeza dengan PKP1.0, isi rumah dan perniagaan masih lagi mempunyai simpanan untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan yang terdesak ketika PKP1.0 berjalan. Keadaan buat mereka kini lebih tertekan.
Prospek makro juga kekal suram pada tahun ini dimana kerajaan memaklumkan PKP3.0 akan mengakibatkan negara kerugian RM1.0 bilion sehari. Angka ini lebih realistik berbanding unjuran awal kerugian RM2.4 bilion sehari yang dicanang sebelum ini.
Kerugian akibat PKP3.0 juga dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara ini sehingga 2%. Beberapa agensi penyelidikan pasaran turut merendahkan ramalan pertumbuhan ekonomi negara ini susulan langkah pencegahan penularan terbaru ini.
Maybank Kim Eng misalnya telah menurunkan unjuran pertumbuhan negara dari 5.1% kepada 4.2% untuk tahun 2021. Dalam kata lain, jika ekonomi berkembang sekalipun pada tahun ini, ia tidak mencapai ke paras sebelum krisis iaitu seperit pada tahun 2019.
Ekonomi Malaysia perlu berkembang sekurang-kurangnya 6% pada tahun ini bagi kembali ke keadaan pra-pandemik.
Vaksin Satu-satunya Jalan Keluar Buat Malaysia
Bilangan jangkitan kes Covid-19 yang tinggi akhir-akhir ini tidak memberikan sebarang petanda positif buat Malaysia dalam menguruskan pandemik ini. Pelan Pemulihan Negara yang dikongsikan Perdana Menteri juga tidak menunjukkan sebarang langkah ataupun strategi baru dalam menangani Covid-19.
Bahkan fokus utama Pelan Pemulihan Negara lebih tertumpu kepada apa yang ingin dicapai berbanding bagaimana ingin dicapai. Kerajaan juga memaklumkan akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak sektor-sektor penting apabila kes berkurangan dibawah 4,000 kes sehari.
Langkah ini juga menimbulkan seribu satu pertanyaan buat masyarakat. Bagaimanakah kerajaan ingin memastikan tiada peningkatan jangkitan apabila ekonomi dibuka dengan lebih luas kelak. Jangkitan baru yang dicatatkan pada Januari lalu adalah sekitar 3,000 kes namun kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKP2.0.
Untuk tempoh dua minggu yang akan datang, kerajaan dijangka akan memberi lebih kurang dua juta suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia. Satu perkembangan yang baik berkenaan proses vaksinasi walaupun sasaran suntikan 150,000 dos sehari dicapai lewat tiga bulan.
Pada 15 Jun lalu, Malaysia telah berjaya menyuntik 215,876 dos vaksin kepada rakyat Malaysia, tertinggi di dalam sejarah. Ini merupakan berita positif kerana ia menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai kapasiti untuk memberikan jumlah suntikan yang besar kepada rakyat.
Untuk tempoh 14 hari yang lepas, Malaysia telah menyuntik purata 128,000 orang sehari dengan 1.5 juta orang telah menerima suntikan penuh.
Kerajaan menjangkakan lebih 200,000 orang dapat disuntik sehari pada bulan Julai ini sekaligus meningkatkan lagi liputan imunisasi Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. Meskipun begitu, dalam jangka masa pendek, proses vaksinasi ini sukar untuk membuahkan apa-apa kesan yang signifikan terhadap jangkitan Covid-19 yang baru di negara ini.
Enam Bulan Terakhir 2021…..
Separuh kedua tahun ini akan kekal lembap seperti mana yang digariskan di dalam Pelan Pemulihan Negara. Ekonomi akan dibuka secara berperingkat-peringkat dan dijangka beroperasi sepenuhnya hanya pada penghujung tahun ini.
Pemulihan akan mengambil masa yang panjang terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana yang telah gulung tikar setelah melalui tiga PKP dalam tempoh yang singkat.
Keadaan pada separuh kedua 2021 sudah semestinya berbeza berbanding separuh pertama. Aliran wang KWSP yang keluar sehingga RM80 bilion sedikit sebanyak membantu merancakkan aktiviti ekonomi pada separuh pertama. Stimulus besar seperti itu tidak dapat dilihat di dalam masa yang terdekat.
Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa pelabur-pelabur asing akan menangguhkan pelaburan mereka ke dalam negara ini susulan pelaksanaan PKP yang berpanjangan.
Dalam kata lain, sudah tiada lagi peluang dan harapan pemulihan pada tahun ini. Rakyat Malaysia harus memandang ke hadapan dan merencanakan strategi perniagaan melangkaui tahun 2021.
Sifat terlalu optimis pembuat dasar perlu disemak kembali. Unjuran pertumbuhan negara ini telah lari jauh berbanding ramalan awal dimana ekonomi Malaysia dijangka berkembang sehingga 7.5% pada tahun ini.
Krisis kesihatan dan krisis ekonomi negara ini akan terus membelenggu rakyat Malaysia di dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang. Krisis politik yang berlanjutan juga akan menjadi cabaran utama pentadbiran Muhyiddin Yassin dalam mengemudi Malaysia keluar dari ribut taufan ini.
Apa yang pasti buat legasi Perdana Menteri, tiada Abahnomics untuk beliau.