Trend Beli Sekarang, Bayar Kemudian Semakin Popular……. Tetapi Ada Risikonya

Share it
Hutang isi rumah meningkat kepada 93.3% berbanding KDNK pada tahun lalu – BNM

Sejajar dengan perkembangan perdagangan elektronik, skim beli sekarang, bayar kemudian yang ditawarkan oleh penjual-penjual produk semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Dari barangan seperti telefon, komputer riba, perkakas dapur hinggalah baju, hampir kesemua barangan kini mempunyai pilihan sedemikian.

Ramai yang gembira dengan pilihan ini kerana pengguna tidak perlu menabung untuk tempoh seketika sehinggalah mempunyai wang yang cukup untuk membuat pembelian secara tunai. Kaedah pembelian beli sekarang dan bayar kemudian juga lebih mudah diakses berbanding membuat permohonan kad kredit yang memerlukan pelbagai birokrasi.

Ada juga sebilangan produk yang tidak mengenakan sebarang faedah tambahan terhadap barangan yang dibeli. Pengguna hanya perlu membuat ansuran mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi penjual, kebarangkalian untuk prospek pelanggan untuk membeli produk yang dijual lebih tinggi kerana pelanggan boleh menangguhkan pembayaran.

Namun demikian, ada risiko yang perlu dibimbangkan. Program beli sekarang, bayar kemudian rata-ratanya tidak melakukan sebarang penilaian berkenaan latar belakang pelanggan mereka sekaligus merisikokan hutang mereka.

Penggunaan program beli sekarang, bayar kemudian juga tidak dilaporkan di dalam penyata rekod kredit seseorang sekaligus meningkatkan lagi risiko terhadap permohonan pinjaman yang dibuat pengguna kelak terhadap institusi-institusi kewangan. Pengguna juga berisiko untuk dikenakan bayaran denda yang tinggi jika gagal membayar pada tempoh masa yang ditetapkan.

Hutang isi rumah kini sebanyak RM1.321 trilion

Laporan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa golongan muda antara yang paling menggemari sistem pembelian sebegini. Kaedah pembayaran ansuran jangka masa pendek telah meningkat 215% pada dua bulan terawal tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Nilai transaksi barangan yang menggunakan kaedah beli sekarang, bayar kemudian juga meningkat dari $9.5 bilion pada 2019 kepada $19 bilion pada tahun lalu.

Di Malaysia, hutang isi rumah berbanding KDNK telah meningkat dengan mendadak pada tahun lalu kepada 93.3% ( RM1.32 trilion ) susulan krisis Covid-19. Jika kadar pertambahan hutang semakin tinggi dan ekonomi berkembang perlahan, angka ini dijangka akan terus meningkat untuk tahun ini.

Bagi pengguna, skim beli sekarang, bayar kemudian merupakan satu kemudahan yang perlu digunakan secara berhemah dan bijak. Bagi peniaga, ia mungkin satu kaedah berkesan bagi melariskan produk mereka.

Namun jika tidak dikawalselia dengan baik, kaedah pembayaran beli sekarang, bayar kemudian mungkin bakal mengundang masalah di kemudian hari.