UNICEF Malaysia – 1,856 Kanak-Kanak Berkahwin Pada Tahun 2018

Laporan UNICEF Malaysia yang dikeluarkan pada 9 Mac lalu menunjukkan terdapat 1,856 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun telah berkahwin pada tahun 2018. Mengikut piawaian antarabangsa, perkahwinan kanak-kanak berlaku apabila sekurang-kurangnya salah seorang daripada pasangan berkahwin tersebut berusia di bawah usia 18 tahun.
Meskipun perkahwinan kanak-kanak berlaku melibatkan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Namun secara amnya, kanak-kanak perempuan lebih cenderung untuk terlibat dengan perkahwinan kanak-kanak dengan majoritinya berkahwin dengan lelaki dewasa.
Di Malaysia, 90% perkahwinan kanak-kanak melibatkan kanak-kanak perempuan manakala sekitar 83% yang terlibat dalam perkahwinan kanak-kanak merupakan penganut agama Islam. Seramai 334 kanak-kanak beragama Islam berkahwin di Sabah sekaligus menjadi negeri tertinggi untuk bilangan kanak-kanak Muslim berkahwin.
Manakala negeri Pahang pula mencatatkan bilangan perkahwinan kanak-kanak tertinggi dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam dengan 102 kanak-kanak terlibat dengan perkahwinan kanak-kanak.
Menurut Wakil UNICEF ke Malaysia, perkahwinan kanak-kanak telah menafikan hak kanak-kanak untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka selain mendedahkan mereka terhadap ancaman lain.
” Perkahwinan kanak-kanak merupakan masalah global, dan merupakan ancaman perlindungan yang menafikan peluang kanak-kanak untuk belajar, bermain dan mengembangkan potensi penuh mereka. Perkahwinan kanak-kanak juga mendedahkan kanak-kanak terhadap ancaman dan risiko kesejahteraan mereka termasuk eksploitasi, penderaan dan juga risiko kesihatan jika berlaku kehamilan awal dan kelahiran bayi. ” – Dr Rashed Mustafa

Terdapat beberapa faktor utama yang sering berkait dikenalpasti sebagai punca berlakunya perkahwinan kanak-kanak. Keadaan kanak-kanak yang hidup di dalam kemiskinan turut menyumbang kepada masalah ini selain undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak berlaku.
UNICEF turut menyenaraikan isu kurangnya akses terhadap maklumat dan perkhidmatan mengenai kesihatan seksual dan reproduktif sebagai salah satu punca yang mengakibatkan masalah ini terus berlarutan.
Menurut UNICEF, kanak-kanak yang terlibat dengan perkahwinan kanak-kanak juga lebih terdedah dengan keganasan rumah tangga terutamanya kanak-kanak perempuan. Kajian lain mendapati kanak-kanak yang berkahwin turut mengalami tekanan perasaan selain gangguan perkembangan psikologi.
Golongan rentan ini lebih cenderung untuk cicir dari persekolahan sekaligus menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi untuk terus hidup di dalam kepompong kemiskinan.
UNICEF menyarankan beberapa langkah untuk untuk mencegah perkahwinan kanak-kanak antaranya dengan meminda undang-undang bagi memastikan usia minimum perkahwinan ditingkatkan kepada 18 tahun tidak kira bangsa dan agama.

Selain itu, UNICEF turut menyuarakan masalah data yang tidak mencukupi dalam usaha mengekang perkahwinan kanak-kanak. Mereka menyarankan agar kutipan data dibuat dengan lebih sistematik selain memastikan tinjauan mengenai masalah ini dibuat secara berterusan.
Walaupun perkahwinan rekod menunjukkan perkahwinan kanak-kanak telah menurun 12% dari 2,107 kanak-kanak pada 2017 kepada 1,856 kanak-kanak pada 2018, namun UNICEF menjangkakan impak pandemik Covid-19 mungkin bakal merencatkan usaha untuk membasmi masalah ini.
Laporan UNICEF Malaysia ini boleh diakses di [ sini ]
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY