Adakah Malaysia Sedang Mengalami Krisis Pengeluaran Padi?

Share it

Beras ialah makanan ruji rakyat Malaysia, namun negara ini masih bergantung kepada import untuk memenuhi sebahagian keperluan domestik.

Pada tahun 2023, kadar self-sufficiency ratio (SSR) beras Malaysia ialah sekitar 56.2%, yang bermaksud hanya sedikit melebihi separuh keperluan beras negara dihasilkan dalam negara.

Selebihnya, kira-kira 44%, perlu diimport.

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan SSR kepada sekitar 65%–70% dalam jangka panjang, tetapi buat masa ini import masih penting bagi memastikan bekalan beras kekal mencukupi dan stabil.

 Pengeluaran yang Statik, Kos yang Meningkat

Angkanya kelihatan stabil, tetapi tidak memberangsangkan. Dalam tempoh 2017 hingga 2024, pengeluaran padi Malaysia berlegar sekitar 2.0 juta tan hingga 2.6 juta tan metrik setahun.

Turun naik memang berlaku, tetapi tiada lonjakan besar yang benar-benar mengubah struktur bekalan negara.

Bahkan, pengeluaran padi sebenarnya menurun dari 2.6 juta tan pada tahun 2017 kepada 2.1 juta tan pada tahun 2024.

Hasilnya, pengeluaran beras tempatan kekal di bawah paras keperluan nasional. Inilah sebabnya kadar sara diri (SSR) sukar melepasi 70%.

Isunya bukan sekadar berapa banyak padi yang dituai setiap musim, tetapi berkaitan dengan asas dan struktur pengeluaran itu sendiri.

Secara ringkas, purata hasil padi per hektar di Malaysia adalah sekitar 3.5 tan hingga 3.8 tan, pada tahap sederhana berbanding negara jiran.

Vietnam mencatat hasil lebih tinggi, sekitar 5.6 tan hingga 6.1 tan sehektar kerana sistem pengairan dan teknik penanaman yang lebih intensif, manakala Thailand pula sekitar 2.8 tan hingga 3.2 tan sehektar, sebahagiannya kerana banyak kawasan bergantung kepada hujan dan penanaman beras premium yang lebih menekankan kualiti berbanding kuantiti.

Sawah terus diusahakan, tetapi tidak semestinya menghasilkan lebih banyak daripada sebelumnya.

Kos input pertanian seperti baja dan racun perosak telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan, dan kenaikan harga diesel turut memberi tekanan tambahan kepada kos pengeluaran pesawah padi di Malaysia

Namun harga beras putih tempatan tertentu dikawal bagi melindungi pengguna. Logiknya mudah, apabila kos meningkat tetapi harga jualan tidak boleh naik seiring, margin keuntungan menjadi kecil.

Apabila margin mengecil, pelaburan turut terhad. Pesawah kurang terdorong untuk melabur dalam automasi, dron atau sistem pertanian moden. Tanpa pelaburan, produktiviti tidak meningkat. Tanpa peningkatan produktiviti, pengeluaran kekal statik.

Akhirnya, terbentuk satu kitaran yang sukar dipatahkan: pengeluaran tidak berkembang kerana produktiviti rendah, dan produktiviti rendah kerana insentif pelaburan terhad.

Dalam keadaan ini, import bukan lagi pilihan sementara, tetapi menjadi keperluan tetap untuk menampung jurang antara apa yang dihasilkan dan apa yang dimakan.

Keluasan Sawah yang Tidak Bertambah

Data Jabatan Pertanian turut menunjukkan bahawa keluasan fizikal tanaman padi di Semenanjung Malaysia tidak berkembang secara signifikan. Malah terdapat sedikit penyusutan dalam beberapa tahun tertentu.

Secara umum, tanah pertanian kini semakin terancam kerana banyak kawasan dibangunkan untuk projek perumahan, industri dan infrastruktur.

Di kawasan bukan jelapang utama, tanah sawah bersaing dengan pembangunan perumahan dan komersial.

Dalam ekonomi pasaran, nilai komersial tanah sering kali melebihi pulangan tahunan daripada penanaman padi. Akibatnya, peluasan kawasan sawah baharu hampir tidak berlaku.

Kawasan jelapang seperti di bawah Muda Agricultural Development Authority (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kekal sebagai penyumbang utama pengeluaran padi negara.

Namun, perlindungan di kawasan ini sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan pengeluaran secara drastik.

Tanpa pertambahan keluasan atau peningkatan hasil sehektar yang ketara, jumlah pengeluaran keseluruhan akan terus terhad.

Demografi Pesawah: Sektor yang Menua

Antara isu paling kritikal ialah demografi pesawah.

Menurut Jabatan Statistik, hampir 82% pemegang pertanian tanaman padi di Malaysia berusia sekitar 46 tahun hingga 60 tahun ke atas.

Selebihnya, 18% adalah dikalangan mereya yang berusia 15 hingga 45 tahun.

Trend ini memberi kesan jangka panjang. Apabila pesawah sedia ada bersara tanpa pengganti, sebahagian tanah mungkin terbiar atau disewakan tanpa pengurusan optimum.

Selain itu, inovasi dan penerimaan teknologi baharu lebih perlahan dalam sektor yang didominasi oleh tenaga kerja berusia.

Jika golongan muda tidak menganggap penanaman padi sebagai pekerjaan yang stabil dan boleh memberi pendapatan yang baik, masa depan industri ini akan menjadi semakin tidak terjamin.

Peranan Import dalam Struktur Bekalan

Disebabkan kekangan domestik, import menjadi komponen tetap dalam sistem bekalan beras negara.

Malaysia mengimport beras terutamanya dari Thailand dan Vietnam, selain dari Pakistan dan India bagi segmen tertentu seperti basmati.

Import ini diuruskan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), yang turut bertanggungjawab mengurus stok penimbal negara.

Dilema Dasar dan Masa Depan

Kerajaan telah meletakkan sasaran yang jelas melalui Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 iaitu meningkatkan kadar sara diri beras secara berperingkat.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan kukuhkan keselamatan makanan.

Namun sasaran itu berdiri di atas asas yang rapuh. Tanah sawah di Malaysia kebanyakannya kecil dan berpecah.

Dalam keadaan ini, produktiviti sukar melonjak. Ladang kecil menghadkan penggunaan mesin besar dan teknologi moden secara menyeluruh.

Tanpa penggabungan tanah kecil menjadi ladang yang lebih besar, sukar untuk mencapai pengeluaran secara besar-besaran yang lebih murah dan cekap.

Apabila saiz ladang kecil, kos pengeluaran selalunya kekal tinggi.

Penggunaan mesin juga belum meluas di semua kawasan. Walaupun teknologi dan peralatan moden sudah ada, tidak semua pesawah menggunakannya secara konsisten.

Untuk meningkatkan hasil bagi setiap hektar, Malaysia perlu menggunakan benih yang lebih berkualiti, mempunyai sistem pengairan yang lebih baik, dan mengamalkan kaedah pertanian yang lebih tepat serta berpandukan data.