Bagaimana Stablecoin RMJDT Berpotensi Buat Duit?

Share it

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada awal Disember lalu melancarkan stablecoin RMJDT yang bakal ditambat pada nilai Ringgit. Stablecoin ini akan diedarkan oleh Zetrix AI, sebelum ini lebih dikenali ramai sebagai MyEG, dengan jumlah permulaan sebanyak 500 juta token (RM500 juta).

Berbeza dengan Bitcoin atau Ethereum, stablecoin merupakan mata wang kripto yang nilainya ditambat secara langsung kepada mata wang sesebuah negara. Perkataan “stable” merujuk kepada sifat kestabilan nilai, yang menjadikan stablecoin kurang terdedah kepada turun naik harga mendadak seperti kebanyakan aset kripto lain.

Menurut Bullish Aim Sdn Bhd, syarikat milik TMJ, pengenalan RMJDT bertujuan mempermudahkan urusan transaksi rentas sempadan yang melibatkan mata wang Ringgit.

Stablecoin lazimnya digunakan untuk transaksi rentas sempadan kerana kos pemindahan yang lebih rendah berbanding kaedah konvensional. Selain itu, pemindahan stablecoin tidak memerlukan pemilikan akaun bank, sebaliknya boleh diterima melalui dompet digital yang dibuka di platform seperti Binance atau Coinbase.

Pemindahan mata wang kripto seperti stablecoin juga jauh lebih pantas berbanding pemindahan melalui sistem perbankan tradisional, yang perlu melalui pelbagai penapisan dan ada kalanya mengambil masa sehingga tiga atau empat hari.

Bagaimana Pemilik Stablecoin Buat Duit?

Persoalan yang timbul ialah bagaimana pemilik stablecoin seperti RMJDT boleh menjana pendapatan daripada pengenalan instrumen digital ini.

Satu model yang sering dirujuk ialah stablecoin Tether, yang menggunakan kod USD₮ kerana nilainya ditambat kepada Dolar Amerika Syarikat. Berdasarkan data semasa, Tether mempunyai antara 187 hingga 189 bilion token dalam edaran.

Pemilik USD₮, iaitu Tether Limited, dilaporkan meraih keuntungan mencecah AS$10 bilion dalam tiga suku pertama tahun 2025.

Sebahagian besar keuntungan Tether datang daripada pulangan pelaburan ke atas rizab yang dikumpulkan hasil penjualan stablecoin mereka. Pada tahun 2025, Tether memiliki rizab berjumlah AS$174.4 bilion, dengan keseluruhan rizab mencecah AS$181.2 bilion.

Rizab ini dilaburkan terutamanya dalam Bon Perbendaharaan Amerika Syarikat yang memberikan pulangan stabil. Selain itu, Tether turut melaburkan sebahagian kecil rizab mereka dalam emas, Bitcoin serta beberapa instrumen kewangan lain.

Jika Penggunaan Meluas – RMJDT Mungkin Boleh Menjana Keuntungan

Sekiranya RMJDT digunakan secara meluas, tidak mustahil Bullish Aim Sdn Bhd juga berpotensi menjana pulangan daripada pengenalan stablecoin ini.

Dilancarkan di Johor Bahru, RMJDT dilihat memfokuskan pasaran Malaysia dan Singapura sebagai sasaran awal penggunaan. Strategi ini mempunyai asas kukuh memandangkan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan pada tahun 2024 hampir mencecah RM400 bilion.

Kiraan kasar, jika hanya 10% daripada transaksi ini diselesaikan menggunakan RMJDT, rizab yang boleh dikumpulkan dianggarkan sekitar RM40 bilion. Dengan pulangan tahunan sekitar 3% berdasarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)*, rizab ini berpotensi menjana pulangan kira-kira RM120 juta setahun.

*Rizab RMJDT secara umumnya tidak boleh dilaburkan dalam instrumen berisiko tinggi yang menawarkan pulangan agresif, memandangkan pemegang RMJDT mempunyai hak untuk menebus kembali token mereka pada bila-bila masa.

Walaubagaimanapun, sehingga kini, tidak ada sebarang maklumat tentang kaedah ataupun cara RMJDT bakal memanfaatkan rizab-rizab yang diperoleh mereka hasil daripada pembelian token RMJDT.

Namun begitu, cabaran sebenar terletak pada usaha meyakinkan pengguna untuk menerima pakai RMJDT secara meluas, khususnya apabila instrumen ini dilancarkan di bawah kerangka kawal selia Sandbox, sekaligus boleh dianggap ia berada di dalam fasa percubaan dan terhad dari segi skala penggunaannya.

Setakat awal Januari 2026, terdapat hampir 800 transaksi dilakukan melalui RMJDT dengan jumlah terbesar yang direkodkan melibatkan nilai RM1 juta.