Kenapa Harga Makanan Asas di Sabah & Labuan Lagi Mahal?

Share it

Perbezaan harga antara wilayah di Malaysia dipengaruhi oleh gabungan faktor pasaran, geografi dan dasar.

Di Sabah dan Labuan, kesannya dapat dilihat pada harga barangan asas yang secara umumnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia serta dalam beberapa keadaan berbeza daripada Sarawak.

Data dari jadual di atas menunjukkan harga barangan asas di Sabah dan Labuan secara konsisten lebih mahal berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung, manakala Sarawak berada pada tahap pertengahan.

Perbezaan ini paling ketara bagi produk asas seperti ayam, sayur-sayuran dan bawang.

Harga ayam di Semenanjung Malaysia umpamanya hanyalah sekitar RM7.50 hingga RM11.20 sekilo, namun di Sabah dan Sarawak, ia boleh mencecah RM12.50.

Begitu juga harga telur ayam, yang boleh mencecah di antara RM0.52 hingga RM0.62 sebiji, lebih tinggi berbanding RM0.42 – RM0.50 di Semenanjung Malaysia.

Bagaimana jurang harga ini boleh berlaku?

Geografi & Kos Logisitik

Faktor paling asas ialah geografi. Sabah dan Labuan terpisah dari pusat pengeluaran dan pasaran terbesar negara oleh Laut China Selatan. Kebanyakan barangan perlu dihantar melalui laut, dan sebahagiannya melalui udara.

Pengangkutan ini lebih mahal, mengambil masa lebih lama dan terdedah kepada ketidakcekapan seperti “empty leg”, apabila kapal atau kontena pulang tanpa muatan. Kos perjalanan pergi-balik yang tetap ini akhirnya diagihkan ke atas harga akhir barangan.

Tambahan pula, kekerapan perkhidmatan ke Sabah dan Labuan lebih rendah berbanding laluan domestik darat di Semenanjung.

Bekalan barangan yang tidak konsisten meningkatkan risiko gangguan bekalan, menyebabkan peniaga menyimpan lebih banyak stok sebagai langkah berjaga-jaga, dan ini menambah kos operasi perniagaan.

Dasar Kabotaj Sebagai Pelindung atau Kekangan?

Dasar kabotaj Malaysia menetapkan bahawa penghantaran kargo antara pelabuhan dalam negara perlu dilakukan oleh kapal tempatan. Pada 2017, kerajaan memberi pengecualian kepada Sabah, Sarawak dan Labuan supaya lebih banyak kapal boleh beroperasi dan kos penghantaran dapat dikurangkan.

Bermula 1 Jun 2024, Kerajaan Persekutuan telah mewartakan semula dasar kabotaj bagi Sarawak atas permintaan kerajaan negeri tersebut untuk melindungi industri perkapalan tempatan.

Dasar ini memberi kesan yang berbeza. Di satu pihak, ia membantu melindungi syarikat perkapalan tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan. Di pihak lain, apabila bilangan kapal yang dibenarkan beroperasi berkurang, persaingan dalam perkhidmatan penghantaran turut berkurang.

Apabila persaingan terhad, kos penghantaran cenderung meningkat. Kos ini biasanya tidak ditanggung oleh pengendali, sebaliknya dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan yang lebih tinggi.

Melonggarkan dasar ini secara terpilih boleh membantu menurunkan kos, tetapi kesannya tidak serta-merta jika kemudahan pelabuhan dan jumlah perdagangan masih terhad.

Saiz Pasaran & Ekonomi Skala

Semenanjung Malaysia mempunyai pasaran yang besar dengan penduduk yang ramai. Ini membolehkan barangan dihasilkan dan dihantar dalam jumlah besar, sekali gus menurunkan kos bagi setiap unit.

Walaupun penduduk Sabah ramai, taburannya luas dan berselerak mengikut lokaliti seperti bandar, luar bandar, pulau dan pedalaman.

Pelaburan besar untuk membuka kilang pemprosesan, gudang moden atau kemudahan simpanan sejuk beku di Sabah kurang memberi keuntungan kerana jumlah jualan tidak banyak di negeri itu.

Akibatnya, kos perlu ditampung oleh jualan yang sedikit, menyebabkan harga barangan menjadi lebih tinggi.

Struktur Industri Ternakan & Pertanian

Industri ayam dan sayur-sayuran menunjukkan corak yang hampir sama. Di Semenanjung Malaysia, pengeluaran ayam dan sayur tertumpu di kawasan tertentu dengan skala besar dan rantaian bekalan yang lengkap.

Pengeluar mempunyai kilang makanan ternakan, ladang, pusat pengumpulan serta rangkaian pengedaran yang berdekatan, membolehkan kos dikurangkan dan bekalan dihantar dengan lebih cekap.

Di Sabah dan Labuan, keadaannya berbeza. Pengeluaran ayam dan sayur kebanyakannya berskala kecil dan meliputi kawasan yang luas serta tidak tertumpu.

Penternak ayam perlu mendapatkan makanan ternakan dari luar kawasan, manakala petani sayur berdepan kos pengangkutan yang lebih tinggi untuk membawa hasil ke pasaran.

Kekurangan kemudahan rantaian sejuk menyebabkan sebahagian hasil rosak sebelum dijual, lalu kos terpaksa ditampung oleh jumlah pengeluaran yang lebih kecil.

Akibatnya, harga ayam dan sayur di peringkat runcit menjadi lebih mahal, walaupun peniaga dan pengeluar tidak menaikkan harga jualan.

Kenapa Harga Barang Makanan Asas di Sarawak Lebih Murah Walaupun Berada di Kepulauan Borneo?

Berdasarkan data dari FAMA, Sarawak mencatat harga barangan yang lebih rendah berbanding Sabah walaupun kedua-duanya berada di Pulau Borneo. Hal ini disebabkan perbezaan struktur logistik dan pengeluaran dalam negeri.

Sarawak menikmati rangkaian Jalan Pan Borneo yang lebih awal siap dan berfungsi di banyak kawasan, membolehkan hasil pertanian dan barangan keperluan dihantar terus melalui jalan darat ke bandar utama dengan kos yang lebih rendah dan lebih stabil.

Keadaan ini mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan laut bagi barangan tempatan serta memendekkan rantaian bekalan.

Selain itu, Sarawak mempunyai pengeluaran tempatan yang lebih kukuh bagi sesetengah barangan seperti sayur-sayuran dan hasil laut.

Kawasan pengeluaran yang lebih dekat dengan pengguna membantu mengurangkan kos pengangkutan dan pengendalian, sekali gus menjadikan harga barangan tertentu di Sarawak lebih berdaya saing berbanding di Sabah dan Labuan.