Struktur penceritaan drama hari ini bergerak ke arah bentuk yang lebih padat, didorong oleh perubahan tabiat tontonan.
Konflik diperkenalkan serta-merta, emosi dipercepatkan, dan pengakhiran sengaja digantung bagi mengekalkan perhatian penonton
Fenomena ini dikenali sebagai “mikrodrama” siri drama berdurasi sekitar 90 saat hingga 2 minit yang dihasilkan khusus untuk tontonan di telefon pintar.
Format ini mula berkembang pesat di China sekitar 2020. Menjelang 2024, pasaran mikrodrama China dianggarkan bernilai sekitar USD7 bilion, malah mengatasi kutipan box office domestik.
Di India, mikrodrama muncul sebagai segmen hiburan paling pesat berkembang, dipacu oleh larangan TikTok pada 2020 yang membuka ruang kepada pelbagai aplikasi video menegak baharu.
Menjelang 2030, nilai pasaran mikrodrama India diunjurkan mencecah antara USD1 hingga USD5 bilion.
Di Malaysia, mikrodrama “Terpaling Menantu” telah memasuki musim ketiga, dan mempunyai hampir 500,000 pengikut di TikTok. Syarikat makanan, Jasmine Food turut menggunakan mikrodrama sebagai salah satu cara pemasaran mereka.
“Seharum Bunga Jasmine” yang ditayangkan di TikTok meraih lebih 10 juta tontonan meskipun pengikut akaun TikTok mereka hanyalah seramai 20,000 orang.
Perkembangan Mikrodrama di Malaysia
Di Malaysia, kemunculan mikrodrama menandakan satu fasa penyesuaian dalam industri hiburan tempatan. Menurut pelakon Eleen Arisha, perubahan ini berlaku dalam sebuah industri yang sekian lama terbiasa dengan drama televisyen dan filem berskala besar, dari segi tempoh penceritaan, struktur produksi dan set penggambaran.

“Kita sedang beradaptasi dalam era baharu mikrodrama. Industri kita dah lama biasa dengan drama TV, filem dan set besar. Bila mikrodrama wujud, ada kebaikan dan keburukan. Kebaikannya, industri masih hidup. Tapi mikrodrama sahaja tak boleh kekal sebagai industri profesional melainkan ia dibawa ke platform yang lebih tinggi seperti Netflix, iQIYI atau Sooka”
Beliau berpandangan bahawa tanpa struktur industri yang jelas, kawalan kualiti dan strategi pemasaran yang kukuh, mikrodrama berisiko kekal sebagai kandungan sementara, bukannya produk hiburan yang berdaya saing dalam jangka panjang.
Faktor Peningkatan Mikrodrama
Peningkatan mikrodrama di Malaysia, menurut Eleen, banyak didorong oleh perubahan tabiat penonton. Televisyen semakin kehilangan peranan sebagai medium utama, digantikan oleh telefon pintar dan platform digital seperti TikTok dan Facebook yang menawarkan kandungan berdurasi pantas.
Pada masa yang sama, mikrodrama berkembang kerana kecekapan kos. Tanpa keperluan set besar, lokasi kompleks atau tempoh penggambaran yang panjang, format ini mudah diterbitkan dan diedarkan, menjadikannya sesuai dengan realiti “ekonomi perhatian” hari ini.
“Sekarang orang dah tak tengok TV dan hanya skrol telefon tengok Netflix dan mikrodrama di TikTok. Dari segi kos penghasilan memang murah, sebab kita tak memerlukan set dan lokasi yang besar. Hanya perlu satu kamera, pelakon, selesai.”
Fenomena ini sejajar dengan perkembangan di luar negara, khususnya di China dan India, di mana penggunaan telefon pintar yang meluas serta penonton di bandar-bandar kecil menjadikan kandungan mudah alih sebagai sumber hiburan utama.
Sejauh Mana Mikrodrama Menjana Pendapatan?
Namun, pertumbuhan pesat mikrodrama tidak semestinya diterjemahkan kepada pulangan kewangan yang setimpal bagi penggiat industri.
Walaupun format ini membuka lebih banyak peluang kerja dalam tempoh singkat, pendapatan yang dijana sering kali terhad, khususnya bagi pelakon.
Tempoh penggambaran yang singkat memang mengurangkan kos produksi, tetapi pada masa sama mengehadkan potensi pendapatan, menjadikan mikrodrama sukar berfungsi sebagai sumber rezeki utama.
“Untuk mikrodrama, penggambaran biasanya hanya tiga hingga empat hari. Kalau bayaran sekitar RM150 atau RM200, persoalannya cukup atau tidak untuk tempoh itu. Sebab itu saya katakan, dari segi pendapatan, penggambaran drama TV atau filem konvensional yang mengambil masa satu hingga tiga bulan masih lebih stabil dan setimpal.”
Drama televisyen dan filem konvensional, dengan tempoh produksi yang lebih panjang, terus menawarkan kestabilan pendapatan dan struktur profesional yang lebih jelas.
Adakah Mikrodrama Akan Menggantikan Drama Konvensional?
Dalam penilaiannya, Eleen menegaskan bahawa mikrodrama tidak wajar dilihat sebagai pengganti kepada drama konvensional, sebaliknya sebagai pelengkap dalam ekosistem hiburan yang semakin pelbagai.
“Mikrodrama sepatutnya dilihat sebagai medan latihan. Ia sesuai untuk pelajar filem dan pendatang baharu yang ingin mempelajari asas lakonan, tetapi tidak wajar dianggap sebagai pengganti kepada industri profesional. Untuk membangunkan industri hiburan Malaysia, pendidikan, disiplin dan standard profesional mesti kekal sebagai asas. Mikrodrama boleh melengkapkan drama televisyen, tetapi ia tidak boleh menggantikannya sepenuhnya.”
Dalam jangka sederhana, mikrodrama dan drama konvensional dijangka terus wujud secara selari. Masing-masing memenuhi keperluan penonton, platform dan fungsi yang berbeza.
Masa depan hiburan di Malaysia terletak pada keupayaan mengimbangi kepantasan kandungan digital dengan kekuatan penceritaan drama konvensional, di samping memastikan standard industri profesional terus dipelihara dan tidak dikompromi oleh tekanan pasaran atau algoritma.
Realiti Mikrodrama Malaysia Berbanding Negara Lain
Mikrodrama membuka peluang baharu kepada penggiat industri kerana kosnya lebih rendah dan mudah dihasilkan. Namun, di Malaysia, potensi pendapatannya masih terhad jika dibandingkan dengan China dan India.
Di China dan India, mikrodrama menjana pendapatan melalui bayaran tontonan, langganan aplikasi, iklan dan penajaan jenama, disokong oleh jumlah penonton yang sangat besar.
Di Malaysia pula, pendapatan mikrodrama lebih banyak bergantung kepada tajaan kandungan dan ‘product placement’, manakala bayaran terus daripada penonton masih kecil.
Oleh itu, mikrodrama di Malaysia lebih sesuai berperanan sebagai pelengkap kepada industri hiburan sedia ada, bukannya pengganti kepada drama televisyen konvensional.
