Tarif AS – Mengapa Logik Ekonomi Donald Trump Bermasalah?

Share it

Pada 2 April 2025, dunia dikejutkan dengan pengumuman Hari Pembebasan (Liberation Day) oleh Presiden Amerika Syarikat, dengan tarif-tarif timbal balik (reciprocal) dikenakan kepada negara-negara di seluruh dunia.

Malaysia tidak terkecuali dari dasar tersebut, apabila dihempuk dengan tarif sebanyak 24% oleh kerana imbangan dagangan negatif Amerika Syarikat (AS), memandangkan AS mengimport lebih banyak barangan dari Malaysia, berbanding mengeksport produk AS kepada Malaysia.

Melalui pengumuman awal Trump, tarif timbal balik ini akan mula dikenakan bermula 9 April 2025, namun ditangguhkan selama 90 hari bagi membolehkan negara-negara lain berunding bagi membolehkan mereka mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah.

Pada 7 Julai lalu, Trump menulis surat kepada semua pemimpin-peminpin negara tentang kadar tarif yang bakal dikenakan menjelang 1 Ogos 2025.

Melalui surat tersebut, Trump menjelaskan Malaysia akan dikenakan kadar tarif 25%, satu peratus lebih tinggi berbanding kadar awal yang diumumkan ketika Liberation Day.

Surat Presiden Trump yang dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia, DS Anwar Ibrahim

Dalam surat yang sama, Trump juga mengancam untuk mengenakan tambahan tarif jika berlaku sebarang tindak balas dari negara-negara lain.

Kenaikan kadar tarif ini menyebabkan Menteri MITI, Tengku Zafrul yang mengetuai delegasi Malaysia ke Washington menjadi sasaran netizen, apabila mempersoalkan hasil rundingan yang dijalankan beliau ketika di Washington.

Memahami Logik Ekonomi Trump

Trump yang terkenal dengan retorik politik kanan melalui manifesto Pilihan Raya Presidennya berjanji kepada penyokong-penyokongnya bahawa beliau akan membawa AS ke zaman kegemilangannya semula.

Melalui slogan ‘ Make America Great Again ‘, antara janji-janji manis yang dilontarkan adalah membawa sektor pembuatan untuk kembali membuka kilang di AS, dengan harapan ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada warga Amerika.

Tarif merupakan salah satu instrumen yang digunapakai Trump untuk mendorong syarikat-syarikat untuk mengeluarkan produk mereka di AS. Melalui kaedah ini, semua barangan yang diimport akan mengalami peningkatan harga, akibat tarif yang dikenakan oleh pentadbiran AS.

Secara tidak langsung, defisit imbangan dagangan (mengimport lebih banyak dari mengeksport) AS juga dapat dikurangkan apabila permintaan barangan import berkurangan.

Menurut Trump, dasar ini juga akan merancakkan ekonomi tempatan kerana harga barangan import yang lebih tinggi.

Kenapa Logik Ekonomi Trump Bermasalah

Sejak Pengumuman Liberation Day, penganalisis ekonomi sudahpun mengkritik cara kiraan yang dibuat Trump untuk mengenakan tarif terhadap negara-negara lain.

Trump menetapkan kadar tarif melalui formula:

1/2 x [(eksport – import) / import]

Menurut Wakil Perdagangan AS ke Malaysia, Malaysia mengimport $27.7 bilion barang daripada AS, dan mengeksport $52.5 bilion barang ke AS.

Formula yang digunapakai Trump ini dianggap tidak wajar, memandangkan Amerika Syarikat sudah berada di tahap negara maju, dimana sebahagian besar hasil mereka diperolehi melalui aktiviti sektor perkhidmatan.

Aktiviti-aktiviti perkhidmatan ini tidak dimasukkan ke dalam kiraan yang digunapakai oleh Trump bagi mengenakan tarif timbal balas tersebut.

Meskipun angka menunjukkan Malaysia mengeksport lebih banyak barangan ke AS berbanding mengimport, namun jika diambilkira melalui import perkhidmatan, sudah tentu angka ini lebih kecil.

Sebagai contoh, langganan software-software oleh syarikat Malaysia seperti Amazon, Oracle dan Google tidak diambilkira oleh pentadbiran AS. Begitu juga dengan perbelanjaan rakyat Malaysia terhadap langganan Netflix mahupun Disney+ ataupun pembelian melalui Apple Store.

Kilang Tak Akan Kembali Dibuka di AS

Dakwaan Trump bahawa langkah tarif ini bakal menyebabkan kilang-kilang kembali dibuka di AS sukar untuk direalisasikan. Pertama sekali, kos pembuatan di AS rata-rata jauh lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti China dan AS.

Untuk memindahkan kilang mereka ke AS, sudah pasti akan memakan masa yang lama dan tidak cost-efficient. Ada perusahaan besar yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, kerana mengharapkan dasar ini diubah semula apabila penggal Presiden Trump tamat pada tahun 2029.

Kedua, sebilangan ahli ekonomi seperti Joseph Stiglitz juga berkata pembukaan kilang-kilang di AS tidak akan mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan terhadap warga AS.

Sebab pertama adalah kerana sebahagian besar operator-operator kilang (ataupun pekerjaan berkemahiran rendah) tersebut akan didominasi oleh warga asing, kebanyakannya dari Mexico.  Kilang-kilang pada zaman ini juga rata-ratanya sudah melalui proses automasi, oleh itu, penggunaan tenaga buruh adalah minimal.

Retorik Politik, Bukan Dasar Ekonomi

Pengumuman tarif Trump ini tidak harus dilihat dari sudut ekonomi semata-mata. Matlamat utama dasar-dasar ini lebih menjurus kepada retorik nationalis Trump yang ingin membawa kembali Amerika ke zaman kegemilangan mereka.

 

 

Indonesia dan Vietnam antara negara yang berjaya berunding untuk menurunkan kadar tarif yang ditetapkan pentadbiran AS

Langkah ini tidak akan memberikan impak yang signifikan terhadap ekonomi AS, bahkan akan mengakibatkan mereka merana akibat harga barangan yang semakin mahal. Tetapi bagi Trump, beliau bakal dianggap sebagai pemimpin yang berjaya dalam kalangan penundi untuk menundukkan beberapa negara seperti Indonesia dan Vietnam bagi mempertahankan kepentingan ekonomi AS.

*Adalah mustahil untuk AS mendapatkan imbangan dagangan positif dengan Malaysia kerana saiz pasaran Amerika Syarikat yang jauh lebih besar, berbanding Malaysia.

Ekonomi AS ($29.2 trilion) adalah 69 kali lebih besar berbanding Malaysia ($422 bilion).