Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun 2026 (Q1 2026) didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan lonjakan pasaran teknologi global, meskipun berdepan ketidaktentuan harga minyak dunia.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4%. Walaupun angka ini menguncup berbanding pertumbuhan 6.2% pada suku keempat tahun lalu namun ia menunjukkan daya tahan yang tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura yang mencatatkan 3.6%.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan dijangka kekal berada pada landasan 4.0% hingga 5.0% bagi keseluruhan tahun 2026, meskipun berhadapan dengan gangguan geopolitik dan perdagangan global semasa.
Di peringkat global, aktiviti ekonomi dunia berhadapan dengan ketidaktentuan ekoran ketegangan geopolitik yang meruncing di Timur Tengah. Namun, pertumbuhan ekonomi global secara keseluruhan masih mampu bertahan disebabkan oleh pasaran buruh yang kuat serta permintaan industri teknologi yang rancak.
Sektor perdagangan serantau turut menerima suntikan positif hasil daripada lonjakan rantaian bekalan
perkakasan digital seperti cip semikonduktor dalam segmen Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, perbelanjaan rakyat mencatatkan pertumbuhan 4.7%, lebih rendah berbanding 5.6% pada suku sebelumnya. Penurunan momentum ini paling ketara dalam sektor perkhidmatan akibat kejatuhan jualan kenderaan bermotor.
Ini susulan daripada tindakan pengguna yang melakukan pembelian awal secara besar-besaran (front-loading) pada akhir tahun lalu sebelum tamat pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik (EV).
Bagi sektor luaran, eksport barangan dan perkhidmatan meningkat 5.2% hasil daripada permintaan dunia yang tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).
Konflik Timur Tengah Belum Stabil
Dalam konteks dasar, keutamaan BNM dan kerajaan adalah untuk memastikan trajektori pertumbuhan ekonomi negara kekal pada landasan yang tepat selain membendung sebarang tekanan harga yang timbul.
BNM menekankan pengurusan kadar faedah dan dasar kewangan akan terus dilaksanakan secara berhati-hati bagi mendepani risiko luar jangka, di samping memastikan sistem perbankan tempatan mengekalkan sandaran modal yang kukuh untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Namun, momentum pertumbuhan itu kini berhadapan dengan konflik di Timur Tengah yang telah mengganggu aliran perdagangan tenaga melalui Selat Hormuz, mewujudkan gangguan bekalan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global.
Harga spot Brent pernah mencecah paras setinggi $138 setong pada 7 April, walaupun seterusnya menyederhana.
Secara purata, harga minyak Brent dijangka mencapai $86 setong bagi tahun 2026, melonjak tinggi berbanding $69 setong pada 2025. Kenaikan mendadak ini turut meningkatkan kos input industri petrokimia serta mengganggu rantaian bekalan antarabangsa.
