Naik Gaji Sahaja Tak Cukup Untuk Lompat Kerja – Apa Lagi Pencari Kerja Perlu Pertimbangkan?

Share it

Bagi sesetengah pekerja, setelah beberapa tahun berkhidmat dengan majikan yang sama, pasti timbul perasaan ingin bertukar angin dan pemandangan dengan majikan baharu sama ada dalam industri yang sama atau berbeza.  

Dalam sebuah wawancara eksklusif bersama Ekonomi Rakyat, Penceramah Kerjaya, Nik Akmal berkata sebanyak 3 daripada 5 pekerja berhasrat mahu bertukar tempat kerja pada tahun 2025 walaupun masih bekerja. 

Memetik laporan Panduan Gaji Asia Hays 2025, jumlah itu meningkat dua kali ganda daripada kadar yang direkodkan pada 2024, mencerminkan kenaikan permintaan kerja dan tekanan kos sara hidup.  

Melalui pelbagai aplikasi cari kerja seperti Indeed, Jobstreet dan LinkedIn, Nik Akmal berkata pekerja kini lebih mudah meninjau peluang pekerjaan baharu, gaji jawatan setara mengikut kadar di pasaran dan faedah yang ditawarkan oleh syarikat lain.  

Namun, menyimpan niat berpindah dan benar-benar melakukannya adalah dua perkara berlainan, dan Malaysia sedang menyaksikan trend kenaikan jumlah pekerja bertukar majikan secara aktif. 

Merujuk laporan The Growing Trend of Job Hopping in Malaysia: Why More People are Switching Jobs in 2025 oleh Randstad, sebanyak 35.2% pekerja ingin berpindah tempat kerja tetapi hanya 18.0% yang berbuat demikian pada tahun 2025.  

Trend itu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding 23.0% pekerja yang menyimpan niat berpindah dan 10.6% pekerja yang benar-benar bertukar tempat kerja direkodkan pada tahun 2021. 

Walau bagimanapun, Nik Akmal berkata data itu hanya memberi gambaran akan corak pertukaran pekerjaan di Malaysia walhal realitinya, transisi itu tidak berlaku secara agresif atau cepat seperti yang dikatakan. 

Berdasarkan dapatan Randstad, sebanyak 46.5% pekerja bertukar majikan untuk menambah baik keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance), disusuli 34.7% pekerja kekurangan peluang perkembangan kerjaya dan 33.0% pekerja tidak dapat menanggung kos sara hidup dengan gaji sedia ada. 

Gen Z Lebih Pentingkan Work-Life Balance? 

Dalam wawancara yang sama, Pengasas Kejar Kerjaya, Syaza Nazura berkata trend pekerjaan sudah berubah berikutan kemasukan Generasi Z (Gen Z) dalam sektor pekerjaan.  

Untuk makluman, Gen Z adalah individu yang dilahirkan dalam julat tahun 1997 hingga 2012 yang kini berumur antara 14 hingga 29 tahun. 

Syaza berkata, generasi muda mencari jenis pekerjaan yang lebih fleksibel dan seimbang seperti pilihan Bekerja Dari Rumah (WFH) dan hibrid kerana mengutamakan kesihatan mental dan fizikal berbanding Generasi Milenial and Generasi X.  

“Dulu, tak kisah hari minggu atau waktu cuti, pekerja sanggup pulun dan kerja lebih masa sebab mereka fikir itu adalah tempat mereka mencari rezeki. 

“Tetapi sekarang, saya rasa lebih ramai pekerja yang mahukan keseimbangan dalam kehidupan bekerja kerana mereka bukan hanya ingin hidup lama, namun hidup yang berkualiti iaitu bebas daripada keletihan (burnout).  

“Pada akhirnya, pilihan gaya hidup ini bergantung kepada individu itu sendiri. Sesetengah orang tidak kisah bekerja lebih masa untuk menaiki tangga kerjaya, manakala orang lain mahukan sebuah kerjaya yang santai dan sekadar mencukupi,” katanya. 

Misalnya bagi Syaza, beliau setia bersama syarikatnya sekarang kerana beliau diberikan fleksibiliti WFH selama dua hari yang amat membantu dirinya mengimbangkan peranan beliau sebagai pekerja dan ibu kepada dua cahaya mata. 

Faedah itu memudahkan dirinya untuk memastikan kebajikan anak-anak terjaga sambil memastikan beliau terus dapat menyumbang kepada syarikat dengan lebih efektif.  

Sudah pasti bagi pekerja lain dengan tanggungjawab yang sama macam Syaza, kemudahan itu menjadi antara tarikan penting buat mereka dalam mencari pekerjaan baharu.  

Namun, dalam mengejar fleksibiliti, pencari kerja tidak boleh mengetepikan soal selidik terhadap bakal majikan kerana walaupun manfaat yang ditawarkan tampak menarik, pencari kerja harus mempertimbangkan risiko-risiko berkemungkinan sekiranya menyertai syarikat baharu. 

Terlalu Banyak Lompat Kerja Juga Red Flag Bagi Majikan  

Walaupun mencari pekerjaan baharu itu secara lazimnya bukan perkara yang salah, namun banyak kali bertukar tempat kerja dalam masa yang singkat boleh memberikan gambaran yang tidak disenangi bakal majikan sewaktu temu duga.  

Nik Akmal mendefinisikan waktu yang singkat sebagai kurang dari setahun bekerja, manakala tempoh yang ideal adalah sekurang-kurangnya dua tahun bekerja dengan majikan yang sama.  

Beliau berkata, pekerja memerlukan minimum dua tahun untuk memahami keseluruhan peranannya dan mencipta atau menyumbang buah fikiran bagi mengubah landskap syarikat menjadi lebih produktif.  

“Pada setahun pertama, pekerja akan belajar untuk memahami tugas, syarikat, dan selok-belok industri. Di sini, mereka dapat mengukur diri mereka dengan ahli profesional yang lain.  

“Pada tahun kedua, pekerja akan lebih bebas untuk berinovasi, merancang strategi baharu, mengubah norma industri, memberi idea jangka panjang dan melaksanakan projek rintis. 

“Jadi, dalam masa dua tahun ini cukup untuk beliau membina kemahiran tertentu dan mempunyai pencapaian yang memberangsangkan sekiranya beliau ingin berpindah ke tempat lain,” katanya. 

Jelas Nik Akmal, isu lompat kerja dalam tempoh yang singkat tersebut bukan bersandarkan kesetiaan terhadap syarikat, tetapi menimbulkan tanda tanya akan penguasaan seseorang itu dalam kemahiran yang berkaitan dengan bidang diceburi.  

Khususnya bagi pekerja junior (10 tahun pengalaman dan ke bawah), beliau berkata golongan ini memerlukan tunjuk ajar dan latihan yang berterusan untuk membina dan mengasah sesuatu kemahiran tertentu, selain menjalinkan hubungan dengan ahli industri yang lain. 

Melaburkan 10 jam setiap hari selama dua tahun dan ke atas untuk mendalami sesuatu kemahiran dan membina rangkaian yang kukuh akan membantu seseorang itu menjadi cukup pakar akan industri beliau. 

Asas ini, menurut Nik Akmal, adalah sesuatu yang tidak dapat digapai jika pekerja itu kerap berpindah-randah antara syarikat.  

Selain kemahiran, beliau berkata majikan juga akan berasa skeptikal dengan sikap pekerja itu di syarikat lama sekiranya persekitaran tempat kerja yang menjadi punca mahu bertukar tempat. 

Sebagai penemu duga, beliau akan menilai pengetahuan, kemahiran dan sikap (KSA) untuk menentukan sama ada calon itu sesuai diambil sebagai pekerja di syarikat majikannya secara keseluruhan.  

“Kadang-kadang, pekerja itu selalu lompat kerja kerana ada masalah sikap (attitude) sehingga mencetuskan onar dan tak pandai menyelesaikan atau mengendalikan konflik. Jadi, jalan mudah adalah lari ke syarikat lain. 

“Tetapi, boleh jadi juga bukan pekerja yang bermasalah namun budaya tempat kerja itu yang toksik. Maka susah untuk pekerja ini menyesuaikan diri dengan kumpulan atau jabatannya dan fokus terhadap kerja,” katanya.  

Tak Salah Pakai Networking Untuk Dapatkan Peluang Pekerjaan 

Mungkin ramai tidak sedar, menggunakan rangkaian (network) atau orang dalam bagi mendapatkan peluang pekerjaan merupakan suatu kebiasaan dalam sektor korporat. 

Berbeza dengan praktis ‘cable’ yang seringkali dikaitkan dengan pengabaian meritokrasi, rangkaian yang digunakan oleh pencari kerja lazimnya dikumpul ketika bertahun-tahun berkecimpung dalam sesuatu industri tersebut, sekali gus membuktikan kredibiliti pengalaman mereka. 

Syaza berkata, misalnya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), syarikat berskala itu kebiasannya mahukan pekerja yang berpengalaman dan boleh terus bekerja dengan penyeliaan minimum. 

“Bila syarikat tersebut kecil, mereka tidak mempunyai ruang tambahan untuk melatih pekerja baharu jadi mereka memerlukan seseorang yang sudah mahir dalam sesuatu bidang itu untuk terus bekerja.  

“Jadi apabila anda sudah mencapai satu tahap dalam kerjaya, anda tidak boleh mengehadkan peluang pekerjaan anda sekadar mencari dan memohon di portal cari kerja tradisional kerana anda sudah mempunyai rangkaian industri yang jauh lebih penting dan efektif. 

“Anda boleh berhubung secara terus dengan rakan-rakan industri dan minta mereka mencadangkan anda kepada syarikat kerana mereka telah mengenali anda, jadi kenapa mahu bersaing dengan 500 hingga 1,000 orang pemohon di dalam talian?” katanya.  

Hos bagi episod tersebut, Ismail Adnan menggambarkan penjelasan Syaza sebagai pekerja berpengalaman adalah resume mereka sendiri kerana personaliti mereka yang sudah dikenali ramai menjadi bukti kredibiliti mereka tanpa perlu menunjukkan sehelai kertas pun. 

Kelebihan itu adalah sesuatu yang lebih ramai pekerja berpengalaman harus manfaatkan tanpa terlalu mengendahkan stigma masyarakat.  

Majikan Menilai Anda, Adakah Anda Juga Menilai Majikan? 

Mengkaji latar belakang syarikat bakal majikan merupakan norma biasa bagi ramai pencari kerja, namun tidak semua maklumat mudah didapati jika tidak tahu dimana untuk mencari.  

Selain media sosial dan laman sesawang, Syaza berkata pencari kerja boleh memanfaatkan MYDATASSM untuk memperoleh maklumat berkaitan keseluruhan operasi sesebuah syarikat sama ada saiz kecil, sederhana atau besar. 

Jelasnya, dapatan MYDATASSM adalah lebih terperinci berbanding apa yang ditonjolkan oleh syarikat di media sosial atau laman sesawang, sekali gus membantu pencari kerja untuk menilai prestasi syarikat tersebut dan mengukur jangkaan kerjaya mereka jika berkhidmat di situ. 

“Kalau anda melayari MYDATASSM, anda boleh dapatkan Profil Syarikat yang mempunyai maklumat seperti tarikh ditubuhkan, penyata kewangan, senarai pemegang saham yang dapat membantu anda membuat verifikasi tahap pertama.  

“Melalui dapatan itu, anda boleh mengetahui prestasi syarikat dan jika mereka dapat memberikan peluang kerjaya yang lebih baik untuk anda. 

“Sebab melalui platform dalam talian yang lain, syarikat dapat memutuskan apa yang ingin dikongsi dan apa yang ingin diselindungi, jadi anda hanya akan nampak mereka seolah-olah dalam keadaan yang baik dan ceria sahaja,” katanya.  

Pada akhirnya, pencari kerja harus jelas dengan matlamat mereka ingin bertukar majikan supaya hala tuju kerjaya mereka dapat dicapai.  

Selain daripada mengemaskini resume dan LinkedIn, antara tips yang pencari kerja boleh amalkan adalah mempunyai maklumat mengenai bakal majikan, manfaatkan rangkaian hubungan profesional, selidik bakal majikan dan pastikan tawaran kerja yang diterima adalah sah serta betul sebelum membuat keputusan untuk menerima atau menolak. 

Bagi graduan baharu yang sedang mencari pekerjaan pertama, perkara penting untuk anda semak adalah gaji dan kelebihan yang ditawarkan adalah munasabah supaya kebajikan anda tetap terjamin sementara anda menimba pengalaman.  

Mungkin sudah tiba masanya untuk lebih ramai pencari kerja menjadikan amalan semak latar belakang syarikat atau Check Dulu sebagai tabiat baharu dalam mencari pekerjaan, selari dengan mantra; Prepare, Verified, Decide. 

Tonton episod penuh PERSPEKTIF bersama Pengasas Kejar Kerjaya, Syaza Nazura dan Penceramah Kerjaya, Nik Akmal di YouTube Ekonomi Rakyat.