KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER – SD Guthrie rekod keuntungan bersih melebihi RM2.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 16% dari tahun ke tahun (YoY).
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Mohd Harris Mohd Arshad, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh hasil peningkatan pengeluaran, harga komoditi berdaya tahan dan sumbangan segmen Pembangunan Perindustrian.
“Walaupun perniagaan perladangan kekal sebagai teras strategi keseluruhan Guthrie, kami
akan memberi tumpuan kepada pembinaan sumber pendapatan yang melengkapi dan membantu dalam memacu pertumbuhan dan daya tahan pendapatan, mencipta nilai mampan untuk jangka panjang serta memperkuatkan kedudukan Kumpulan sebagai sebuah syarikat agribisnes global,” katanya.
Beliau telah membentangkan Laporan Kewangan SD Guthrie Bagi Tiga Suku Tahun 2026 bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shahrizal Suhainy dan Ketua Pegawai Eksekutif, Huluan Indonesia, Adrianudin Raj Azman.
Berdasarkan pembentangan laporan, kumpulan itu dianggarkan mencatat prestasi kukuh bagi tahun ini, didorong oleh peningkatan sumbangan Keuntungan Sebelum Faedah dan Cukai (PBIT) daripada segmen Huluan (Upstream), Pertengahan (Midstream) dan Pembangunan Perindustrian.
Jelasnya, SD Guthrie merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM773 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, manakala pengeluaran Buah Tandan Segar (FFB) kumpulan itu meningkat 8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pada masa sama, Harga Purata Direalisasikan bagi Minyak Sawit Mentah (MSM) dan Isirung Sawit (PK) masing-masing meningkat 3% dan 7% kepada RM4,340 dan RM3,342 bagi setiap tan metrik.
Bagi Pembangunan Perindustrian, segmen itu mencatatkan PBIT sebanyak RM770 juta yang menunjukkan peningkatan 78% bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Segmen itu diunjurkan sebagai sumber jangka panjang yang akan memperkukuh daya tahan pendapatan kumpulan tersebut.
Sementara itu, segmen Pertengahan dan Hiliran (Downstream) yang distruktur semula masing-masing mencatatkan PBIT sebanyak RM286 juta dan RM59 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini .
Untuk makluman, segmen Pertengahan merangkumi aktiviti pengaggregatan minyak, pengeluaran pukal MSM dan penghancuran PK, manakala Hiliran tertumpu kepada pengeluaran dan penjualan minyak serta lemak ditapis, selain produk oleokimia.
Kumpulan itu berkata, kedua-dua segment tersebut akan terus beroperasi di bawah jenama SD Guthrie International yang melibatkan operasi di Asia Pasifik, Eropah, Afrika dan Amerika.
Pengerusi, Tan Sri Dr Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani berkata, pelaksanaan berdisiplin merentasi seluruh rantaian operasi perniagaan global mereka adalah pemangkin utama bagi prestasi pendapatan kumpulan yang kukuh dan berterusan tahun ini.
“Saya percaya, strategi, visi dan keupayaan kepimpinan baharu syarikat ini akan terus memacu pertumbuhan Kumpulan dan mencipta nilai kepada para pemegang saham kami,” katanya.

