Tidak dinafikan, janji temu atau dating adalah sebahagian gaya hidup yang menjadi norma masyarakat kini. Samada anda Gen Z, Millenial atau Gen X, semua lapisan masyarakat pasti pernah melaluinya. Namun, bagaimana aktiviti romantis ini mula mengubah haluan kepada yang lebih materialistik?
Berdasarkan Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia oleh LEGASI Research, 74.4% daripada 152 responden menganggap julat RM50 hingga RM200 sebagai kos perbelanjaan ideal setiap kali keluar dating.
Hanya sekitar 15.1% responden menganggap RM50 ke bawah sebagai kos perbelanjaan dating yang munasabah, manakala 10.3% lagi terbuka untuk mengeluarkan lebih daripada RM200 untuk keluar dengan pasangan.

Penyelidik LEGASI Research, Firdzan Yassin berkata, julat RM50 hingga RM200 dianggap ideal kerana jumlah itu masih dianggap munasabah untuk sekali keluar dan cukup fleksibel untuk aktiviti dating yang biasa dilakukan seperti makan, minum kopi atau menonton wayang.
“Kalau kita tengok dapatan tinjauan juga, corak perbelanjaan sebenar ramai responden memang tertumpu dalam julat yang hampir sama.
“Jadi kemungkinan besar, apa yang mereka anggap ideal juga dipengaruhi oleh apa yang mereka sudah biasa belanjakan ketika dating,” katanya dalam sebuah temu ramah eksklusif bersama Ekonomi Rakyat.
Ke Mana Bajet Dating Banyak Dihabiskan?
Dapatan LEGASI Research menunjukkan 86.9% responden memilih untuk dating di tempat tumpuan ramai seperti pusat beli-belah, pawagam, arked, medan selera, kafe dan restoran yang kebanyakannya menelan kos perbelanjaan tinggi.
Hanya 13.1% responden sahaja memilih untuk dating di taman rekreasi, melakukan aktiviti lasak dan menonton pawagam.
Menurut Firdzan, salah satu pendorong kepada pemilihan tempat dating adalah kemudahan dan aksesibiliti untuk pasangan dating.
“Di pusat membeli-belah, contohnya, pasangan boleh makan, tengok wayang, minum kopi atau buat aktiviti lain seperti main arked dalam satu tempat. Jadi ia lebih praktikal dan mudah untuk dirancang.
“Kafe dan restoran pula memang sangat sinonim dengan dating sebab makan bersama merupakan antara aktiviti yang paling mudah dan santai untuk pasangan luangkan masa bersama.
“Ini juga selari dengan dapatan kita bahawa makanan dan minuman merupakan komponen perbelanjaan utama semasa dating,” katanya.
Namun, lokasi dating berdasarkan tempat responden menetap juga memainkan peranan. Sekiranya responden menetap dan dating di Selangor atau Kuala Lumpur, bajet juga akan berlainan berbanding responden yang menetap dan dating di negeri lain walaupun ke jenis lokasi yang sama.
“Memang secara logiknya kos hidup dan harga aktiviti dating mungkin berbeza antara negeri, tetapi data kita belum cukup seimbang untuk buat perbandingan yang kukuh. Jadi perkara ini lebih sesuai dilihat sebagai ruang untuk kajian susulan.
“Untuk tinjauan ini, kita belum boleh kata lokasi tempat tinggal memang mempengaruhi jumlah perbelanjaan dating secara langsung.
“Sampel kita lebih tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur, manakala bilangan responden di negeri-negeri lain lebih kecil,” katanya.

Sementara itu, 92.8% responden berkata makanan dan minuman merupakan kos perbelanjaan terbesar dalam bajet mereka ketika dating, sekali gus menyokong dapatan lokasi dating antara responden banyak tertumpu pada tempat seperti pusat beli belah, kafe dan restoren.
Namun, apa yang menarik perhatian adalah lebih ramai responden melaburkan wang dalam membeli hadiah untuk pasangan berbanding menanggung kos pengangkutan atau aktiviti-aktiviti lain.
Jelas Firdzan, hadiah adalah simbol penghargaan atau cara seseorang menzahirkan perhatian kepada pasangannya, tetapi ia tidak boleh disalah erti sebagai tanda materialisme.
“Saya rasa terlalu awal untuk kita tentukan pasangan sekarang lebih materialistik berdasarkan data ini sahaja.
“Tinjauan kami hanya melihat apa yang mereka belanjakan semasa dating, tetapi tidak menyentuh sikap, nilai atau sebab mereka membeli sesuatu.
“Misalnya, walaupun hadiah merupakan salah satu komponen perbelanjaan, hadiah tidak semestinya mencerminkan materialisme atau perkara yang wajib di belanjakan setiap kali dating,” katanya.

Lelaki paling tertekan dengan kos dating masa kini
Secara keseluruhan, 49.3% responden tanpa mengira jantina berpendapat kos dating pada masa kini mahal, manakala 37.5% responden bersikap neutral. Hanya 13.2% berpendapat perbelanjaan dating adalah murah.
Memetik semula dapatan LEGASI Research yang menunjukkan majoriti responden beranggapan RM50 hingga RM200 adalah kos perbelanjaan dating yang ideal, Firdzan berkata tanggapan bajet dating adalah murah atau mahal bergantung kepada kemampuan seseorang.
“RM100 mungkin nampak masih munasabah untuk satu kali dating, tetapi kalau seseorang keluar beberapa kali dalam sebulan, jumlah keseluruhan boleh menjadi agak besar.
“Selain itu, RM100 memberi kesan yang berbeza kepada orang berpendapatan RM1,700 berbanding seseorang yang berpendapatan RM5,000.
“Jadi kita tidak boleh melihat jumlah ringgit sahaja, tetapi perlu lihat juga berapa besar bahagian pendapatan yang digunakan untuk dating,” katanya.
Lebih menarik, lelaki lebih cenderung untuk menampung keseluruhan perbelanjaan semasa dating berbanding perempuan, sementara perempuan lebih memilih untuk membayar secara bergilir-gilir.
Tinjauan LEGASI Research mendapati, seramai 59.3% responden lelaki membayar kesemua kos ketika keluar dating, iaitu perbezaan ketara berbanding 8.2% responden perempuan yang membuat perkara sama.
Sebaliknya, 50.8% responden perempuan lebih memilih untuk membayar secara bergilir-gilir atau bagi 32.8% responden, menyatakan kos dating dibayar oleh pasangan.
Sekiranya sesetengah pasangan itu membelanjakan sekitar RM200 setiap kali keluar dating, dengan kekerapan sebanyak dua kali sebulan, sebanyak RM4,800 akan dibelanjakan dalam masa setahun.
Unjuran ini boleh memberi tekanan kepada pasangan, lebih-lebih lagi lelaki yang menampung kebanyakan perbelanjaan.
Berdasarkan LEGASI Research, seramai 27.5% responden lelaki mengalami tekanan kewangan untuk dating. 13.2% responden lelaki juga mengakui pernah berhutang semata-mata untuk keluar dating, selari dengan dapatan tentang tekanan kewangan yang dihadapi responden lelaki.
Firdzan berkata, walaupun responden tidak menjelaskan secara terperinci mengapa mereka memilih untuk berbuat demikian, antara kemungkinan yang menjadi pendorong adalah masih wujud norma sosial yang menjangkakan lelaki untuk menanggung kos dating secara automatik.
“Menariknya, kita juga nampak lelaki lebih ramai melaporkan tekanan kewangan, jadi ada kemungkinan tanggungjawab untuk membayar itu dirasakan lebih kuat dalam kalangan lelaki.
“Namun, disebabkan tinjauan kami tidak memperoleh maklumat ini daripada responden, kita perlu berhati-hati untuk menentukan sebabnya,” katanya.
Sebaliknya, Firdzan menyeru pasangan untuk bersikap lebih terbuka tentang kemampuan kewangan masing-masing dengan menetapkan bajet, bergilir-gilir membayar atau memilih aktiviti yang lebih sederhana untuk menjadikan dating itu lebih bermakna.
Walau sekadar menghirup kopi sambil berjalan berlatarbelakangkan taman tasik, apa yang lebih penting adalah kedua-dua pihak selesa dan gembira meluangkan masa bersama.
Baca laporan penuh LEGASI Research di sini.

