PUTRAJAYA, 20 OKTOBER 2026 – Data tidak boleh hanya menunjukkan ekonomi berkembang, namun menjawab siapa yang menikmati pertumbuhan itu, siapa yang masih tertinggal dan apa yang perlu diperbaiki, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
“Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan rantaian bekalan, kemajuan kecerdasan buatan dan peralihan demografi, keputusan ekonomi tidak boleh bergantung pada andaian semata-mata.
“Kita memerlukan data yang tepat, analisis yang bernas dan kesediaan mengubah pendekatan apabila bukti menunjukkan hasil yang belum memadai.
“Statistik bukan sekadar menjelaskan keadaan; statistik mesti membantu menentukan tindakan,” katanya dalam sebuah ucapan.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah ketika sambutan Hari Statistik Negara 2026 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya, hari ini.
Dalam ucapannya, Akmal menyeru semua pihak untuk menjadikan statistik sebagai rujukan utama dalam merancang, melaksana, memantau dan menambah baik dasar, selari dengan tema Statistik Nadi Kehidupan yang menjadi sambutan majlis tersebut.
Menurutnya, kejayaan dasar perlu diukur dengan perubahan dirasai rakyat, bukan berdasarkan peruntukan dan bilangan penerima semata-mata.
Jelas Akmal, walaupun Belanjawan 2027 misalnya mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 4.8 hingga 5.3% bagi tahun 2026 dan 4.2 hingga 5.2% bagi tahun 2027, ekonomi negara masih berdepan cabaran berstruktur.
“Pertumbuhan produktiviti yang perlu dipercepat, ketidakpadanan antara kemahiran dengan keperluan industri, jurang antara wilayah, serta perbezaan keupayaan PMKS berbanding syarikat besar.
“Pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan tinggi jika tenaga kerja dan pembekal tempatan tidak dapat menyertai rantaian nilai.
“Sebab itu, statistik pelaburan perlu dibaca bersama data pekerjaan, gaji, kemahiran, produktiviti dan keupayaan perusahaan,” katanya.
Beliau turut memetik Dasar Gaji Progresif— antara intipati Belanjawan 2027 — yang menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, kecuali bagi PMKS yang mencatat hasil jualan di bawah RM50 juta.
Akmal berkata, inisiatif kenaikan gaji sahaja tidak mencukupi, sebaliknya memerlukan penilaian menyeluruh yang mengambil kira struktur kemahiran, produktiviti serta kemampuan majikan, seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) melalui Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Bagi mengelakkan tekanan terhadap gaji (wage compression), PAKW menganggarkan perbelanjaan yang diperlukan oleh seisi rumah untuk mencapai taraf kehidupan wajar dengan mengambil kira lokasi, saiz dan komposisi rumah.
Untuk makluman, tekanan terhadap gaji adalah apabila perbezaan ganjaran antara pekerja baharu dengan pekerja lebih mahir atau berpengalaman semakin mengecil, menghasilkan perkembangan gaji yang tidak munasabah sepanjang kerjaya.
“PAKW membantu kita menilai kecukupan pendapatan dan perbezaan tekanan kos kehidupan antara keluarga serta kawasan.
“Apabila data gaji dan produktiviti digabungkan dengan PAKW, Kerajaan dapat melihat dengan lebih jelas jurang antara pendapatan dengan keperluan kehidupan, sekali gus merangka intervensi yang lebih tepat.
“Bagi sesebuah keluarga, kemajuan bermakna pendapatan yang mencukupi, pendidikan yang baik, pekerjaan bermutu dan sedikit ruang simpanan ketika kecemasan,” katanya.

