Podcast, Politik dan Pilihan Raya

Share it

Podcast semakin menjadi medan penting dalam persaingan politik Malaysia. Melalui perbualan santai dan wawancara di platform digital, ahli politik kini mempunyai ruang untuk membentuk naratif, mempengaruhi persepsi pengundi dan mengetengahkan isu untuk keuntungan politik masing-masing.

Berbanding media tradisional, podcast menawarkan pendekatan yang lebih direct dan bersifat peribadi. Ahli politik tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada liputan media untuk menyampaikan pandangan. Sebaliknya, mereka boleh menentukan sendiri isu yang mahu dibincangkan, cara sesuatu hujah disampaikan dan kelompok masyarakat yang ingin didekati.

Namun, penggunaan medium komunikasi untuk membina pengaruh politik bukanlah sesuatu yang baru.

Seawal 1947, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menggunakan penulisan sebagai saluran menyampaikan pandangan politik menerusi akhbar The Sunday Times dengan nama pena C.H.E. Det. Pada 2008, beliau melancarkan blog peribadinya, Chedet.cc, sekali gus menjadi antara ahli politik terawal di Malaysia yang memanfaatkan blog untuk berkomunikasi secara langsung dengan orang ramai.

Di United Kingdom, bekas Perdana Menteri Boris Johnson turut menggunakan ruang penulisannya dalam akhbar The Daily Telegraph untuk mengetengahkan pendirian politik, termasuk ketika kempen Brexit pada 2016.

Di Malaysia, kemunculan podcast seperti Keluar Sekejap (KS), Yang Berhenti Menteri (YBM), Kerusi Biru, Minda Tok Abah, Lebih Masa dan Apa Kata MUDA memperlihatkan bagaimana perbincangan politik semakin beralih ke platform digital.

Setiap platform berusaha menguasai perhatian masyarakat, menentukan isu yang menjadi perbualan dan membentuk persepsi terhadap tokoh serta parti politik tertentu.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), keupayaan menguasai naratif digital berpotensi menjadi salah satu kelebihan penting dalam persaingan merebut sokongan pengundi.

Senarai Podcast di Malaysia mengikut Hubungan Politik

Keluar Sekejap: Daripada Podcast kepada Rangkaian Media

Keluar Sekejap (KS) boleh dianggap antara podcast yang membawa perubahan besar kepada landskap komunikasi politik Malaysia sejak dilancarkan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan pada Mac 2023.

Podcast ini muncul selepas Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023, manakala Shahril digantung keahliannya selama enam tahun.

Tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti, kedua-duanya memanfaatkan KS sebagai ruang untuk membincangkan isu semasa, mengkritik dasar kerajaan dan menyampaikan pandangan politik secara lebih terbuka.

Pendekatan tersebut menjadikan KS antara podcast terawal yang berjaya membawa perbincangan politik kepada khalayak lebih luas di Malaysia, dengan 1.5 juta pengikut.

Namun, perkembangan KS tidak terhenti sebagai sebuah podcast.

Pada Julai 2026, KS memeterai memorandum kerjasama dengan Free Malaysia Today (FMT) bagi memperluas penghasilan dan pengedaran kandungan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif FMT, Azeem Abu Bakar, menjelaskan bahawa kandungan episod KS berpotensi dikembangkan kepada pelbagai format, termasuk laporan berita dan analisis video.

Kerjasama ini penting kerana ia membolehkan kandungan KS menjangkau khalayak yang lebih besar melalui rangkaian media sedia ada.

Meskipun KS mempunyai platform beritanya yang tersendiri, Berita KS, jumlah pengikutnya di empat platform utama, iaitu Facebook, TikTok, Instagram dan X, hanya sekitar 230,000 orang.

Sebaliknya, FMT yang ditubuhkan pada 2007 mempunyai lebih 2.6 juta pengikut di empat platform sama, iaitu lebih 10 kali ganda berbanding Berita KS.

Perbezaan capaian ini menunjukkan nilai strategik kerjasama tersebut. Kandungan politik yang sebelum ini tertumpu kepada pengikut KS kini berpotensi disebarkan kepada kelompok masyarakat yang jauh lebih luas, termasuk mereka yang membaca di dalam Bahasa Inggeris.

Kerjasama ini juga boleh dianggap sebagai langkah politik, memandangkan FMT dimiliki oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini merupakan Menteri MITI.

Beliau turut mempunyai kepentingan sebanyak 25% dalam Media Prima, kumpulan media yang mengendalikan beberapa rangkaian televisyen seperti TV3, NTV7, 8TV dan TV9, selain akhbar utama seperti New Straits Times dan Berita Harian.

Anaknya, Amir Rasyidi Johari, turut berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima dengan tanggungjawab terhadap kandungan dan rangkaian televisyen kumpulan tersebut.

Kerjasama strategik ini sudah semestinya memberi kelebihan kepada UMNO dalam membawa naratif-naratif mereka menjelang Pilihan Raya akan datang.

Rafizi Semakin Mendapat Perhatian Selepas Meninggalkan Kerajaan

Sementara itu, Yang Berhenti Menteri (YBM) kendalian Rafizi Ramli semakin muncul sebagai salah satu platform penting dalam perbincangan politik negara.

Podcast ini pada asalnya diperkenalkan sebagai Yang Bakar Menteri pada 2024, sebelum dijenamakan semula sebagai Yang Berhenti Menteri pada Jun 2025 susulan peletakan jawatan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi.

Melalui YBM, Rafizi yang kini menjadi antara figura utama Parti BERSAMA menggunakan platform tersebut untuk mengulas isu ekonomi serta menyerang dasar-dasar Kerajaan secara lebih ofensif.

Strategi Rafizi boleh dianggap berjaya. Berdasarkan data purata tontonan, YBM mencatatkan peningkatan daripada 115,000 tontonan pada Jun 2025 kepada 233,300 tontonan pada Oktober 2026. Malah, purata tontonan podcast tersebut mencapai kemuncak sebanyak 325,700 pada Julai 2026.

Graf purata tontonan YBM dan KS dari Jun 2025 hingga Oktober 2026

Sebagai perbandingan, KS mencatatkan penurunan daripada 204,500 kepada 147,500 tontonan dalam tempoh yang sama.

Purata tontonan KS merosot daripada 204,800 pada Mei kepada hanya 87,000 pada Jun, sebelum kembali meningkat kepada 147,500 pada Oktober.

Ada yang berpendapat bahawa penurunan populariti podcast KS ini adalah disebabkan keputusan Khairy untuk kembali ke pangkuan UMNO, dimana ulasan-ulasannya kini dianggap tidak lagi neutral.

Pakatan Harapan Bergelut Dalam Arena Podcast

Berbeza dengan KS dan YBM, beberapa podcast yang dikaitkan dengan kerajaan masih bergelut untuk membina pengaruh digital yang besar.

Antaranya ialah Kerusi Biru, sebuah podcast yang dikaitkan dengan PKR dan pernah menampilkan tokoh politik seperti Maszlee Malik, Altimet serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Meskipun menampilkan nama yang dikenali masyarakat, Kerusi Biru hanya mempunyai sekitar 32,000 pengikut gabungan dengan purata 700 tontonan bagi setiap video.

Prestasi ini jauh ketinggalan berbanding KS dan YBM.

Keadaan yang sama turut dapat diperhatikan menerusi Minda Tok Abah, podcast yang dihasilkan oleh bekas Ketua Pengarah J-KOM dan bekas senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ismail Yusop yang mendapat ruang siaran melalui saluran media Borak Daily.

Walaupun membincangkan isu berkaitan Kerajaan Perpaduan dan mempunyai sekitar 509,500 pengikut gabungan, terdiri daripada 371,000 pengikut di Facebook, 56,100 di TikTok, 48,100 di Instagram dan 34,300 di YouTube, podcast tersebut hanya mencatatkan purata sekitar 300 tontonan video.

Kelemahan ini tidak semestinya berpunca daripada PH semata-mata. Sebaliknya, ia mungkin mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapi oleh mana-mana parti yang sedang memerintah.

Parti kerajaan lazimnya perlu mempertahankan dasar, menjelaskan keputusan pentadbiran dan menjawab kritikan masyarakat. Kandungan sebegini sering bersifat defensif dan memerlukan penerangan yang lebih panjang.

Sebaliknya, parti pembangkang mempunyai ruang lebih luas untuk menyerang kelemahan kerajaan, membangkitkan kontroversi dan mengetengahkan isu yang mencetuskan reaksi masyarakat.

Dalam persekitaran media sosial yang bergantung kepada perhatian pengguna, kandungan yang bersifat menyerang dan mencetuskan perdebatan berpotensi mendapat sambutan lebih tinggi berbanding penerangan dasar yang kompleks.

Inilah antara masalah komunikasi politik kerajaan.

Walaupun mempunyai akses kepada sumber, tokoh dan saluran komunikasi rasmi, kelebihan tersebut tidak semestinya diterjemahkan kepada pengaruh digital yang lebih besar.

PAS Tidak Perlu Podcast untuk Membina Pengaruh

Berbeza dengan pendekatan parti dan tokoh politik lain, Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, tidak bergantung kepada podcast rasmi untuk membina pengaruh digital.

Sebaliknya, PAS mempunyai figura politik yang mampu menarik perhatian masyarakat melalui pendekatan komunikasi tersendiri.

Antara yang paling menonjol ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dengan sekitar 1,975,200 pengikut di media sosial dan purata 358,000 tontonan video, Sanusi membuktikan bahawa ceramah politik konvensional masih mampu mendapat sambutan besar apabila disebarkan melalui platform digital.

Gaya penyampaiannya yang lantang, bersahaja dan tidak berlapik menjadikan beliau antara figura politik yang mudah menarik perhatian pengguna media sosial.

Sanusi juga kerap membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan identiti Melayu, termasuk kenyataannya mengenai Tanah Melayu yang mencetuskan kontroversi pada Julai 2026.

Pendekatan ini berbeza daripada podcast seperti KS dan YBM yang lebih banyak menampilkan perbincangan isu semasa, dasar kerajaan dan analisis politik.

Kandungan Sanusi tidak semestinya bergantung kepada kupasan dasar yang mendalam atau analisis isu yang terperinci. Sebaliknya, kekuatan komunikasinya lebih tertumpu kepada gaya penyampaian, sentimen identiti dan keupayaan membangkitkan reaksi dalam kalangan penyokong.

Bagi sebahagian pengundi konservatif Melayu yang menjadi kelompok sokongan penting PN, pendekatan sedemikian mungkin lebih dekat dengan kecenderungan politik mereka.

Prestasi tontonan Sanusi menunjukkan bahawa pengaruh digital tidak semestinya memerlukan format podcast yang tersusun atau perbincangan dasar yang panjang.

Dalam politik, mesej yang mudah difahami dan dekat dengan sentimen penyokong kadangkala lebih berkesan untuk menarik perhatian berbanding hujah yang kompleks.

Namun, jumlah tontonan yang tinggi tidak semestinya membawa maksud sokongan politik yang sama besar. Ia tetap menjadi petunjuk kepada keupayaan seseorang tokoh untuk menguasai perhatian masyarakat dalam ruang digital.

Media Sosial Sekali Lagi Menjadi Medan Pertempuran Politik

Menjelang PRU16, persaingan politik di media sosial dijangka semakin sengit apabila parti dan tokoh politik berusaha memenangi perhatian serta membentuk persepsi pengundi.

Antara parti yang dilihat cuba memanfaatkan podcast secara lebih menyeluruh ialah Parti BERSAMA.

Selain Rafizi menerusi YBM, beberapa figura yang dikaitkan dengan parti tersebut turut mempunyai platform podcast masing-masing, termasuk Nik Nazmi melalui Lebih Masa dan Ibrahim Sani menerusi Momentum.

Kehadiran beberapa platform ini berpotensi memberikan BERSAMA ruang lebih luas untuk mengetengahkan pandangan politik, membincangkan isu semasa dan mendekati kelompok pengundi yang berbeza.

Namun, kewujudan banyak podcast tidak semestinya menjamin kelebihan dalam pilihan raya.

Seperti yang ditunjukkan oleh prestasi Kerusi Biru dan Minda Tok Abah, jumlah pengikut mahupun kehadiran tokoh politik terkenal belum tentu mampu menghasilkan tontonan yang tinggi.

Begitu juga dengan pendekatan PAS melalui Sanusi yang menunjukkan bahawa pengaruh digital boleh dibina tanpa bergantung kepada podcast.

Ini bermakna persaingan politik di media sosial jauh lebih kompleks daripada sekadar menghasilkan kandungan dan mengumpul pengikut.

Parti politik turut perlu mengambil kira penggunaan jentera siber, pemilihan poster boy, kekuatan mesej politik serta keupayaan menyesuaikan kandungan dengan kecenderungan pengundi.

Apa-apa pun, perhatian di media sosial juga tidak semestinya diterjemahkan kepada undi di peti pilihan raya.