Tanah, rumah, wang simpanan dan saham sepatutnya menjadi aset yang boleh diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Namun, apabila urusan pusaka tidak diselesaikan, aset yang sepatutnya memberi manfaat kepada keluarga boleh terbiar selama bertahun-tahun.
Media sebelum ini melaporkan bahawa nilai harta pusaka yang masih belum selesai diagihkan di Malaysia mencecah sekitar RM90 bilion.
Keadaan ini boleh menimbulkan masalah, apabila rumah mungkin tidak dapat dijual, tanah sukar dibangunkan dan wang simpanan pula tidak dapat digunakan oleh waris ataupun mereka yang berhak menerimanya.
Mengapa urusan pusaka tertangguh?
Salah satu puncanya ialah kecenderungan untuk mengelak daripada membincangkan soal harta dan kematian ketika seseorang masih hidup.
Dalam situasi yang lain, perbincangan mengenai pembahagian harta sejurus selepas kematian pula boleh dianggap sensitif atau kurang sopan, sekali gus menyebabkan urusan ini tidak dapat diselesaikan dengan segera.
Kelewatan ini boleh membawa masalah berpanjangan. Sebelum pusaka diagihkan, tanggungan dan hutang si mati perlu dikenal pasti dan diselesaikan terlebih dahulu. Jika proses ini terus tertangguh, ia akan menyebabkan urusan pusaka menjadi lebih rumit.
Waris mungkin berpindah ke negeri atau negara lain. Ada yang mungkin meninggal dunia sebelum pusaka terdahulu sempat diselesaikan sehingga menyebabkan urusan pentadbiran pusaka menjadi lebih sukar.
Isu Dokumentasi Turut Menjadi Faktor
Kekurangan perancangan dan dokumentasi turut menjadi halangan.
Sebagai contoh, sebahagian pemilik aset mungkin tidak membuat penamaan bagi simpanan mereka di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Tabung Haji.
Dalam situasi yang lain, waris pula tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai aset yang dimiliki oleh si mati. Geran tanah, bukti pemilikan, sijil perkahwinan dan dokumen berkaitan mungkin hilang atau tidak disimpan dengan baik.
Pentadbiran pusaka sememangnya melibatkan proses undang-undang dan kewangan. Bergantung pada jenis dan keadaan harta, waris mungkin perlu mendapatkan dokumen daripada beberapa agensi, berurusan dengan pejabat tanah atau melalui proses mahkamah.
Apabila dokumen asas tidak lengkap, urusan yang sudah mempunyai beberapa peringkat akan memakan lebih banyak masa.
Peranan AmanahRaya Dalam Pentadbiran Pusaka
Di sinilah institusi seperti AmanahRaya memainkan peranan yang besar.
AmanahRaya, yang sejarahnya bermula sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka, mempunyai pengalaman lebih satu abad dalam urusan amanah dan pentadbiran pusaka di Malaysia.
AmanahRaya telah mentadbir lebih 350,000 kes pusaka serta mengendalikan sekitar 200,000 fail amanah dengan nilai melebihi RM22 bilion.
Operasinya juga tertakluk kepada Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
Antara peranan AmanahRaya ialah membantu pelanggan mengurus proses pentadbiran pusaka daripada mendapatkan kuasa untuk mentadbir harta, menyelesaikan hutang dan liabiliti berkaitan sehinggalah kepada pengagihan pusaka kepada waris atau benefisiari yang berhak.
Pendekatan bersepadu ini dapat mengurangkan keperluan waris untuk mengurus sendiri pelbagai proses pentadbiran dengan agensi berlainan, termasuk urusan berkaitan mahkamah dan pejabat tanah, bergantung pada keadaan sesuatu kes.
Bagi keluarga yang kurang arif mengenai proses pusaka, bantuan sebegini amat penting, memandangkan proses ini bukan sesuatu yang sering dilakukan oleh orang ramai. Cabaran sebenar selalunya bukan sekadar menentukan bahagian setiap waris, tetapi memastikan setiap peringkat pentadbiran diselesaikan dengan betul pada kos yang lebih efisien.
Berapa Kos Pentadbiran Pusaka?
Kos juga merupakan antara persoalan utama bagi keluarga yang mahu mendapatkan khidmat pentadbiran pusaka.

Bagi AmanahRaya, fi pentadbiran pusaka ditentukan berdasarkan nilai harta yang ditadbir. Kadar bermula pada 5% bagi nilai harta RM25,000 pertama dan berkurangan secara berperingkat mengikut nilai keseluruhan harta sehingga kadar 1% bagi julat nilai tertentu.
Struktur fi tersebut tidak dinaikkan sejak 1995.
Perancangan Perlu Bermula Ketika Masih Hidup
Sebahagian kerumitan proses dalam mengagihkan aset-aset untuk diwariskan ini boleh dikurangkan melalui perancangan lebih awal.
Langkah asas seperti menyimpan rekod aset dengan teratur, memastikan dokumen penting mudah dikenal pasti, menyemak penamaan bagi akaun yang berkaitan dan memahami proses pewarisan boleh mengurangkan beban keluarga pada masa hadapan.
AmanahRaya bukan sahaja bertindak sebagai Pemegang Amanah dan Pentadbir, malah instrumen perancangan pewarisan turut disediakan seperti wasiat dan amanah. Ini bagi memastikan proses pewarisan pusaka dapat dibuat dengan lebih pantas.
Bagi mereka yang ingin memahami perkara berkaitan pentadbiran pusaka dan perancangan pewarisan, boleh hubungi AmanahRaya melalui saluran rasminya atau talian WhatsApp 03-8600 9850.
Artikel ini diterbitkan secara bersama dengan AmanahRaya.

